≡ Menu

Jangan Sesekali Mendekati Arak. Nauzubillah. Ada Sebab Yang Jelas Kenapa Allah Melarang Kita

Ketika kita diuji pandemik COVID-19, masih lagi kedengaran isu minuman keras termasuk tanggapan ia termasuk dalam barangan keperluan atau tidak, penjualan di premis tertentu dan memandu dalam keadaan mabuk.

Bagi umat Islam, pengharaman arak tidak kira dalam apa juga situasi, masa dan tempat. Ini kerana Islam tidak mengharamkan arak secara ‘suka-suka’, sebaliknya jelas memberikan mudarat kepada masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.

Banyaknya laporan kes kemudaratan membabitkan arak sudah memadai untuk membuktikan mengapa Islam mengharamkan arak, malah ia membuktikan arak tidak termasuk dalam barangan keperluan masyarakat.

Hukum haram minum sesuatu memabukkan sudah jelas seperti dibincangkan dalam kitab fiqh sama ada arak atau khamr diperbuat daripada perahan anggur atau benda lain.

Firman Allah SWT: “Wahai orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Al-Ma’idah: 90)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Dalam ayat ini, perintah menjauhi arak lebih kuat daripada tegahan meminumnya. Ini kerana tegahan minum sahaja tidak termasuk larangan lain berkaitan seperti melayan seseorang peminum, membeli atau menjualnya.

Amaran hidari arak

Oleh itu, perintah menjauhinya pula bermaksud amaran supaya menghindari segala perkara berkaitan dengan arak.

Jika diteliti ayat ke-60 surah al-Ma’idah itu hanya mengharamkan arak diperbuat daripada anggur sahaja. Hakikatnya, pengharaman itu tidak terhad kepada perahan anggur sahaja, sebaliknya termasuk semua benda boleh memabukkan.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW: “Semua yang memabukkan adalah haram.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjelaskan maksud arak ialah semua perkara memabukkan. Semua benda memabukkan walau apapun namanya, hukum minumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram.

Menurut ijmak ulama, ilah (sebab) pengharaman arak kerana ia memabukkan. Oleh itu, pengharaman itu mestilah sama terhadap semua minuman memabukkan tanpa perbezaan walau apapun bahan buatannya.

Hal ini berdasarkan hadis diriwayatkan Abu Malik al-Asy’ari RA bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Demi sesungguhnya manusia dalam kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama lain.” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)

Kita sering mendengar arak itu memabukkan. Mabuk ini bermaksud pemikiran terlalu kacau dan tidak waras yang menghalang fungsi akal kerana tidak dapat mengawal de ngan bijak dan sepatutnya.

Maksud memabukkan pula ialah sesuatu diminum itu biasanya menyebabkan seseorang mabuk tanpa mengira kadarnya. Oleh itu, tidak harus sama sekali mengambil sesuatu pasti memabukkan peminumnya sama ada kadar itu sampai had memabukkan atau tidak dan sama ada peminum itu mabuk ataupun tidak.

Hal ini berdasarkan hadis diriwayatkan Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila benda ba nyak memabukkan, maka yang sedikit pun adalah haram.” (HR Abu Daud dan Ibnu Majah)

Dalam hadis lain diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Setiap yang memabukkan adalah haram, sesuatu yang kadarnya satu faraq boleh memabukkan, maka segenggam daripadanya pun haram.” (HR Tirmizi dan Abu Daud)

Allah SWT mengharamkan arak kepada manusia bertujuan memelihara nikmat akal dikurniakan. Dengan nikmat itu, Allah SWT membezakan dan memuliakan manusia berbanding makhluk lain.

BACA:  Ibadah Puasa: Tempoh Suci Antara Dua Haid? Ini Penjelasan Mufti

Kestabilan hidup manusia sama ada sebagai individu atau sebagai anggota masyarakat bergantung kepada kesempurnaan dan kekuatan akal.

Oleh itu, semua minuman memabukkan akan merosakkan akal dan menyebabkan manusia kehilangan banyak faedah dan kelebihannya. Ini mengakibatkan jiwa mereka menjadi lemah, tidak terkawal, dikuasai hawa nafsu, timbul rasa benci-membenci dan persengketaan dalam kalangan orang Islam hingga putus hubungan persaudaraan serta hilang rasa kasih sayang.

Halang mengingati Allah.

Kesan minum arak juga menghalang manusia mengingati Allah SWT dan menjauhi mereka daripada rahmat, kurniaan dan ihsan-Nya. Ini dinyatakan dalam firman-Nya: “Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu, dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?” (Al-Ma’idah: 91)

Berhubung perkara ini, Rasulullah SAW bersabda; “Hendaklah kamu menjauhi arak, sesungguhnya arak kunci segala kejahatan.” (HR Hakim).

Itulah sebahagian hikmah pengharaman arak dan semua jenis makanan atau minuman memabukkan.

Mudarat arak juga dapat dapat dilihat dalam kajian semasa, malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan tiada paras selamat buat minuman beralkohol.

Sebagai kesimpulannya, seluruh rakyat perlu menghindarkan diri daripada hanyut dengan arak atau membiarkan arak dijual dengan bebas. Ia terbukti menjadi ibu segala kerosakan masyarakat, kemaksiatan, perpecahan, keruntuhan rumah tangga dan kemalangan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.