
Jangan Tinggalkan al-Quran
=======
1. Dalam al-Quran, Allah mengingatkan kita bahawa Nabi akan mengadu di hadapan Allah tentang wujudnya dikalangan kaum ini yang meninggalkan al-Quran. Firman Allah:
وَقَالَ الرَّسُولُ يَا رَبِّ إِنَّ قَوْمِي اتَّخَذُوا هَذَا الْقُرْآنَ مَهْجُوراً
“Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”.
2. Ketika menghuraikan ayat ini, al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah memperincikan apa yang dimaksudkan dengan meninggalkan al-Quran iaitu:
(a) Mereka yang tidak suka mendengar al-Quran. Kata beliau:
هجر سماعه والإيمان به والإصغاء إليه
“Mereka yang meninggalkan dari mendengar al-Quran, beriman kepadanya dan tidak menumpukan pendengaran kepadanya.

(b) Mereka yang tidak beramal dengan al-Quran. Kata beliau:
هجر العمل به والوقوف عند حلاله وحرامه, وإن قرأه وآمن به
“Mereka meninggalkan dari beramal dengannya, tidak berpegang dengannya dalam urusan halal haram sekalipun mereka ini membaca al-Quran dan beriman dengannya.
(c) Mereka tidak berhukum dengan al-Quran. Kata Ibn Qayyim:
هجر تحكيمه والتحاكم إليه في أصول الدين وفروعه
“Mereka meninggalkan dari berhukum dengannya dalam perkara yang asas mahupun perkara yang cabang.”
(d) Mereka tidak bertadabbur dengan al-Quran. Kata beliau:
هجر تدبّره وتفهّمه ومعرفة ما أراد المتكلم به منه
“Mereka meninggalkan daripada bertadabbur, tidak cuba memahami apa yang dikehendaki dari apa yang disebut dalam al-Quran.”
Semoga Allah membimbing kita.
