Mencari pendapatan untuk menyara keluarga adalah perbuatan terpuji namun harus diingatkan supaya tidak melanggar batas syarak seperti menjana pendapatan menerusi kaedah yang tidak pasti. Bisnes Like & Share seperti ISharefans mempunyai elemen yang tidak patuh syariah iaitu gharar (ketidakpastian) dan ghisy (penipuan dan manipulasi).
Oleh yang demikian hukumnya adalah haram dan umat Islam dinasihatkan supaya tidak terlibat dengan skim pelaburan seperti ini.
Selain itu, umat Islam turut disarankan untuk mengambil pendekatan seperti al-tabayyun (meneliti) dan al-ihtiyat (berhati-hati) sebelum menyertai mana-mana skim yang menawarkan keuntungan dengan cara yang mudah. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan daripada berlakunya kerosakan terhadap harta milik umat Islam sehingga boleh menjejaskan ekonomi dengan lebih teruk mereka di kemudian hari.
Dari segi perjalanan aktiviti bisnes Like & Share ini pada mulanya, semua peserta yang berdaftar akan dikelaskan pada tahap permulaan yang diistilahkan sebagai ordinary atau normal. Pada peringkat ini, mereka hanya diberikan sebanyak 1 hingga 3 buah task sahaja dalam tempoh sehari.
Tugas yang diberi ialah melakukan Like & Share di laman TikTok atau YouTube. Manakala kadar upah yang diberikan pula RM 1 bagi setiap task (kerja). Hal ini bermaksud, pulangan yang bakal diperoleh peserta yang berada pada level ini adalah dalam lingkungan RM 3 sehari. Keuntungan tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun peserta. Seterusnya, jika peserta ingin mendapatkan lebih banyak task dan kadar pulangan, mereka dikenakan syarat untuk membayar sebanyak RM100 hingga RM9,000 kepada pihak syarikat. Dalam maksud yang lain, berlaku urusniaga yang melibatkan pertukaran di antara kedua-dua belah pihak.
Pada awalnya, aktiviti ini mendapat sambutan yang positif apabila operasi perniagaan mereka dilihat berjalan dengan lancar. Dari aspek pembahagian task dan bayaran withdrawal (upah), semua peserta seolah-olah berpuas hati dengan sistem tersebut. Malah, ada dalam kalangan mereka yang berjaya mendapat pulangan sehingga mencecah 4 hingga 5 angka dalam sebulan. Walau bagaimanapun, lama-kelamaan agenda sebenar di sebalik aktiviti ini berjaya dibongkarkan. Semakin ramai peserta yang membuat aduan berkenaan kelewatan pembayaran upah oleh pihak syarikat. Sesetengah mereka juga mendakwa pihak syarikat bersikap tidak profesional apabila tidak menjawab panggilan yang dibuat oleh peserta.
Merujuk kepada isu bisnes Like & Share ini, meskipun dari sudut akadnya dilihat memenuhi rukun yang ditetapkan kerana ia boleh dianggap sebaga i ju’alah ataupun upah, namun pada masa sama pihak kami turut mendapati terdapat kecacatan yang menjejaskan urusniaga. Hal ini kerana terdapat beberapa unsur di dalamnya yang boleh membawa kepada justifikasi hukum yang lebih cenderung kepada haram antaranya adalah:
1. Wujud elemen gharar
Lazimnya, setiap syarikat yang menjalankan perniagaan sudah pasti akan mendedahkan identiti sebenar mereka kepada umum. Hal ini bagi membuktikan ketelusan dan keteraturan mereka dalam menawarkan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, setelah menyemak beberapa laman sesawang kumpulan-kumpulan yang terlibat dalam aktiviti Like & Share ini, terdapat keraguan yang jelas apabila mereka tidak melampirkan bersama butiran kakitangan yang terlibat. Perkara ini dilihat seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu daripada umum dan mempunyai motif yang tersendiri.
Oleh itu, bentuk perniagaan sebegini mengandungi elemen gharar ataupun ketidakpastian yang ditegah oleh syarak daripada menyertainya. Dibimbangi motif utama pelaksanaan aktiviti perniagaan ini adalah bertujuan mengaut keuntungan dengan cara mewujudkan tipu daya kepada peserta yang terlibat dengannya. Justeru, larangan daripada menzalimi harta orang lain dengan cara yang salah ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui.” (Surah Al-Baqarah, ayat 188)
Justeru, berdasarkan dalil di atas, sewajarnya kita sebagai umat Islam mempunyai sikap yang berwaspada terutama dengan menjauhi urusniaga dengan syarikat yang diragui dari sudut latar belakang organisasi mereka. Antara parameter yang dapat dijadikan sebagai ukuran dalam mengenal pasti sama ada sesebuah syarikat itu diyakini ataupun tidak adalah dengan merujuk kepada badan-badan berautoriti seperti pihak Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan lain-lain. Ketiadaan dalam senarai badan-badan tersebut memberikan isyarat bahawa terdapat keraguan yang besar dari sudut operasi mereka.
2. Wujud elemen manipulasi & penipuan (al-Ghisy)
Selain daripada unsur gharar, bisnes Like & Share yang dipraktiskan oleh beberapa syarikat ini juga mengandungi elemen lain seperti al-Ghisy (penipuan). Berdasarkan operasi aktiviti ini, peserta diminta membuat pembayaran dengan jumlah tertentu bagi mendapatkan akses kerja yang lebih banyak. Dengan itu, peserta yang membayar jumlah yang lebih tinggi berpotensi untuk mendapat pulangan yang boleh mencecah hingga ribuan ringgit dalam tempoh sebulan.
Walau bagaimanapun, timbul kemusykilan apabila pembayaran wang daripada peserta tersebut tidak dimasukkan ke dalam akaun milik syarikat. Sebaliknya, ia disalurkan kepada akaun peribadi milik perseorangan. Situasi sebegini secara tidak langsung mempamerkan salah satu bentuk manipulasi kepada peserta yang terlibat. Sebarang perbuatan yang jelas terarah kepada penipuan adalah bercanggah dengan firman Allah SWT yang memerintahkan manusia agar sentiasa menegakkan keadilan serta menjauhi penindasan ke atas manusia yang lain.
Firman Allah Taala yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan Allah melarang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (Surah al-Nahl, ayat 90)
Kewujudan elemen seperti penipuan dan penindasan ini secara tidak langsung menyalahi kaedah fiqh yang menekankan soal keadilan dalam melakukan akad maksudnya: “Asas di dalam setiap akad adalah keadilan.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 2/7)
Kesimpulannya, pihak kami menyarankan kepada umat Islam di negara ini untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengan sebarang aktiviti yang mempunyai elemen seperti gharar dan ghisy sebagaimana yang terdapat dalam bisnes Like & Share yang dibincangkan di atas. Selain itu, umat Islam turut disarankan untuk mengambil pendekatan seperti al-tabayyun (meneliti) dan al-ihtiyat (berhati-hati) sebelum membuat sebarang pelaburan terhadap mana-mana skim yang menjanjikan keuntungan dengan cara yang mudah. Perkara ini amat penting bagi mengelakkan daripada berlakunya kerosakan terhadap harta milik umat Islam sehingga boleh menjejaskan ekonomi dengan lebih teruk mereka di kemudian hari.
Maksudnya: Menolak kerosakan itu lebih diutamakan berbanding dengan mencapai kebaikan.
Semoga Allah SWT memberikan petunjuk dan rezeki yang baik kepada kita semua khususnya dalam mendepani cabaran getir kehidupan ketika ini.