KEWARASAN manusia akan lebih terserlah apabila mereka lebih tenang. Jiwa yang tenang adalah sasaran yang paling tinggi yang hendak dicapai oleh setiap manusia. Walaupun mereka tahu perbuatan mereka adalah salah dan sentiasa pula mengulangi perbuatan yang salah, namun keinginan untuk menjadi tenang masih menjadi keutamaan mereka.
Ketenangan ini tidak sedikit pun berkait dengan kekayaan, kepandaian serta darjat yang tinggi sebaliknya ketenangan adalah merentasi semua golongan. Bagi mereka yang dikurniakan ketenangan, apa yang mereka rasa tidak seperti mana apa yang kita lihat. Apa yang mereka fikir tidak seperti mana persepsi kita terhadap mereka. Apa yang jelas, mereka yang tenang adalah mereka yang telah reda dengan kehidupan mereka.
Berkaitan hal ini ALLAH telah berfirman, “Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal ALLAH menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan ALLAH adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (QS Al-Fath 48:4). Berpandukan kepada firman tersebut, adalah jelas bahawa ketenangan itu adalah kurniaan ALLAH semata-mata dan kita seharusnya berusaha untuk mendapatkannya.
Sebetulnya banyak usaha yang telah dilakukan oleh manusia untuk dekat dengan ALLAH sebagai seorang mukmin. Bagi mereka yang berharta, mereka lebih senang dengan sedekah mereka, bagi mereka yang kuat dan sihat, mereka lebih senang untuk solat pada waktu malam dan banyakkan puasa sunat.
Hadith:
Daripada Ibnu Umar R.huma katanya, bersabda Rasulullah SAW, “Orang mukmin sentiasa berada di dalam ketenangan agamanya (dengan mengharapkan rahmat Allah) selagi dia tidak menumpahkan darah secara haram (tidak pernah membunuh melainkan dengan kebenaran yang hak)”.
(Riwayat Bukhari)
Huraian Hadith:
1.Orang mukmin yang tenteram ialah orang mukmin yang sentiasa menjaga haknya dan menjaga hak orang lain serta tidak menganiaya.
2.Manusia itu sentiasa di dalam keadaan keluh kesah apabila menghadapi suatu ujian melainkan orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan menjaga hak-hak yang disuruh oleh Islam.
3.Hendaklah dijauhi daripada perbuatan aniaya sesama mukmin kerana perbuatan tersebut akan merugikan agama Islam.
4.Membunuh tanpa hak adalah dosa besar yang menutup harapan rahmat Allah dan menyebabkan pelakunya termasuk golongan orang yang putus asa daripada rahmat sekiranya dia tidak bertaubat.