
Pernah tak makan kacang botol? Kacang botol ini juga dikenali dengan nama kacang botor, kacang sirek, atau kacang kelisa.
Dalam bahasa Inggerisnya, ia digelar winged beans, sesuai dengan rupanya yang seakan bersayap. Nama saintifiknya pula ialah Psophocarpus tetragonolobus.
Ada yang suka hiris dan masak sambal.
Tapi selalunya kacang botol ni dijadikan ulam-ulaman dan dimakan segar begitu saja. Cicah dengan sambal belacan pun sedap!
Walaupun ia bukanlah sayuran yang popular, namun khasiatnya tak kurang hebat tau.
Sebenarnya ada banyak khasiat kacang botol yang telah dinyatakan mengikut kajian.
7 KHASIAT KACANG BOTOL YANG LUARBIASA, RAMAI TAK TAHU!
Tahu tak, sebenarnya hampir semua bahagian tumbuhan ini boleh dimakan.
Daripada daunnya, akarnya, batangnya dan bunganya – semuanya memiliki khasiat yang tersendiri dan kaya dengan nutrisi termasuklah protein, mineral, dan vitamin, terutamanya vitamin A dan vitamin C.
Berikut adalah antara khasiat kacang botol yang mungkin ramai belum tahu:
1. MENGURANGKAN SAKIT KEPALA / MIGRAIN
Menurut maklumat dari Dr Farrah MD, kajian telah mendapati bahawa kacang botol mengandungi kandungan trytophan yang dapat membantu menngurangkan simptom sakit kepala atau migrain.
Ia juga berpotensi mengelakkan masalah tidur dan loya yang sering dialami oleh pesakit migrain.
2. MENGAWAL PARAS GULA DALAM DARAH
Kacang botol merupakan sumber kalsium yang amat baik untuk mengopitimakan metabolisme glukos dan mencegah diabetes.
Ia dikatakan mampu menunjukkan kesan yang terbaik apabila diambil bersama vitamin D kerana kedua-dua ini mempunyai kesan langsung terhadap sel pankreas yang berfungsi mengawal perembesan insulin dan paras gula dalam darah.

3. MENINGKATKAN IMUNITI
Kacang botol amat kaya dengan vitamin A dan vitamin C.
Kedua-dua jenis vitamin ini membantu meningkatkan pertahanan tubuh dan menghalang daripada jangkitan penyakit.
4. SUMBER FOLAT YANG BAIK
Kacang botol juga merupakan salah satu makanan tambah darah yang baik untuk diamalkan, mudah didapati dan murah harganya.
Pengambilan kekacang seperti kacang botol ketika hamil adalah digalakkan kerana ia mempunyai kandungan folat dan asid folik yang membantu mengurangkan risiko anemia ketika hamil
5. AWET MUDA
Orang selalu kaitkan makan ulam ni awet muda kan?
Memang pun!
Sebabnya, ulam-ulaman seperti kacang botol ini memiliki kandungan antioksidan yang tinggi dan sekaligus membantu melindungi membran sel daripada radikal bebas yang boleh menyerang sistem organ.
Serangan oleh radikal bebas inilah yang boleh menjadi punca kanser, masalah pada fungsi organ serta kesan-kesan penuaan.
Jadi kalau nak nampak muda, amalkanlah makan ulam dan kacang botol ni ya!
6. TINGGI SERAT
Semua jenis sayuran dan buah-buahan memiliki kandungan serat yang amat baik untuk membantu penghadaman serta mengurangkan berat badan.
Kacang botol juga antara salah satu sayuran yang baik untuk diamalkan untuk berdiet, apatah lagi jika ia dimakan mentah tanpa menambah sebarang perasa, sos, kicap atau minyak.
7. SESUAI UNTUK SEMUA PERINGKAT UMUR
Oleh kerana khasiatnya yang luarbiasa ini, kacang botol amat sesuai untuk dimakan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira peringkat umur.
Malah, kita juga patut galakkan anak-anak kita makan kacang botol ni sebab ia bukan saja berkhasiat, malah mampu menguatkan sistem imun mereka. Ia turut disarankan oleh Dr Taufiq Razif dalam salah sebuah post beliau.
Kita yang duduk dekat Malaysia ni memang mudah jumpa kacang botol kan? Harganya pun murah.
Jadi, kita patut manfaatkan dan amalkan memakan kacang botol sebab ia mempunyai begitu banyak khasiat yang tersendiri.
KACANG BOTOL SAYUR YANG AMAT VERSATILE!
- Lenggai mudanya yang digunakan sebagai sayur atau ulam merupakan bahagian tumbuhan yang paling banyak dimakan, dan boleh dituai dalam tempoh 2-3 bulan selepas penanaman.
- Kacang mempunyai rasa yang seakan sama dengan pucuk asparagus.
- Bunganya yang berwarna biru keunguan sering digunakan untuk mewarnakan beras dan pastri.
- Daun muda boleh dimasak sebagai sayur daun yang serupa dengan daun bayam.
- Akar yang mempunyai perisa kacang boleh digunakan sebagai sayur berubi yang serupa dengan ubi kentang.
- Biji-biji kering boleh dijadikan minuman seakan-akan kopi.
Oleh kerana hampir kesemua bahagian kacang botol ini boleh dimakan, tak rugilah kita menanamnya sendiri di rumah.
