Membungkus makanan dengan surat khabar kadang-kala sudah menjadi kebiasaan sesetengah daripada kita terutama sekali peniaga-peniaga kuih-muih, nasi lemak dan sebagainya.
Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Perlis mengeluarkan satu infografik bahawa menggunakan kertas surat khabar untuk balut, tutup atau letak makanan secara terus adalah salah.
“Elak pencemaran dakwat pada makanan anda! Tahukah anda, pencemaran boleh terjadi sekiranya pengendali makanan menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudian menyentuh makanan sedia dimakan secara langsung?”
Bahaya sebenarnya menggunakan surat khabar sebagai pelapik sebenarnya walaupun ia sudah dilapik dengan plastik. Hal ini kerana pencemaran silang masih boleh berlaku melalui tangan mengendali makanan yang sebelum itu menyentuh surat khabar kemudiannya menyentuh makanan.
Pencemaran juga boleh berlaku melalui pembeli itu sendiri. Semestinya sebelum makan, pembeli akan menyentuh surat khabar untuk membukanya sebelum makan, betul tak?
Surat khabar mengandungi bahan kimia seperti:
- Karbon
- Logam berat
- Pelarut
Apabila minyak yang diserap oleh surat khabar akan melarut dakwat dan seterusnya akan menyerap ke dalam makanan. Selain dari cemaran kimia, adakah kita pasti sumber surat khabar tersebut? Adakah ianya pernah diletakkan di lantai yang kotor Semestinya kita tidak tahu.
Tahukah anda, terdapat undang-undang yang mengawal kebersihan makanan. Di bawah Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pengendali makanan perlulah menyediakan, membungkus atau menghidang makanan untuk dijual dengan memastikan penyediaan, pembungkusan atau penghidangan makanan bebas daripada apa-apa pencemaran.
Jika gagal pengendali boleh dipenalti tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun. Jom beralih daripada pembungkusan surat khabar kepada pembungkusan yang lebih selamat dan bersih.
Sekiranya terpaksa menggunakannya, jadikan ia sebagai lapisan kedua untuk membungkus makanan. Menurut Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, ini kerana untuk mengelakkan pencemaran dakwat berlaku pada makanan.
Pencemaran boleh terjadi sekiranya pengendali makanan menyentuh kertas surat khabar terlebih dahulu dan kemudian menyentuh makanan sedia dimakan secara langsung.
Semoga maklumat ini bermanfaat terutama sekali buat peniaga-peniaga diluar sana.