≡ Menu

Kalau Kita Memaafkan Orang, Insya’Allah, Allah Akan Lebih Mudah Mengampuni Kita

Apabila kita sedang marah atau berselisihan dengan seseorang, perasaan benci dan marah itu biasanya tidak dapat dielakkan. Ingatlah bahawa Allah SWT akan ampunkan mereka yang ada sifat pemaaf.

Apatah lagi untuk memaafkan seseorang itu jika dia ada berbuat salah dengan diri kita. Namun, Islam sangat menggalakkan sifat pemaaf dalam diri manusia. Mengapa?

Sifat pemaaf salah satu akhlak Nabi Muhammad SAW

Sifat pemaaf ini merupakan salah satu sunnah nabi. Ini kerana ia merupakan antara akhlak Nabi Muhammad SAW yang mulia. Allah Taala telah berfirman mengenai sifat pemaaf dalam surah Al-A’raf, yang bermaksud:

“Jadilah pemaaf, dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) orang-orang yang jahil yang degil dengan kejahilannya.”

(Al-Quran, surah al-A’raf, ayat 199)

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Allah Taala sendiri menyeru hambanya untuk sentiasa bersikap pemaaf. Sifat pemaaf ini juga banyak ditonjolkan melalui perbuatan Rasulullah SAW sebagai salah satu contoh dan ikutan bagi umatnya.

Antara peristiwa yang paling terkenal berkenaan dengan sifat pemaaf nabi ialah bagaimana baginda memaafkan Wahshi Ibnu Harb. Sebelum memeluk Islam, Wahshi adalah seorang hamba kepada Jabir Ibn Mu’tam, seorang bangsawan di Mekah.

Wahshi telah dijanjikan kebebasan oleh Hindun bin Utbah sekiranya dia berjaya membunuh bapa saudara nabi iaitu Saidina Hamzah r.a dalam Perang Uhud. Dia berjaya melakukannya dan telah dibebaskan daripada perhambaan.

Apabila Islam semakin berkembang, Wahshi menjadi semakin takut. Namun, apabila dia mendengar cerita mengenai sifat pemaaf Rasulullah SAW daripada beberapa orang yang telah memeluk Islam, Wahshi juga ingin memeluk Islam.

Rasulullah SAW telah memaafkan Wahshi atas perbuatannya membunuh Saidina Hamzah r.a. Tetapi disebabkan kesedihan Rasulullah terhadap kematian bapa saudaranya, Wahshi terpaksa bersembunyi daripada dilihat oleh baginda.

Kisah ini menjadi teladan kepada kita berkenaan sifat pemaaf nabi terhadap individu yang menyakitinya.

Memaafkan orang lain kerana Allah SWT

Tidak dinafikan bahawa untuk memaafkan orang lain itu bukanlah satu perkara yang mudah. Apatah lagi jika kesalahan atau kesilapan yang dilakukannya itu jauh melebihi batasan yang sepatutnya.

Namun, Allah SWT ada memberikan sedikit motivasi kepada kita bagaimana untuk terus menyemai sikap pemaaf dalam diri terhadap orang lain. Dalam Surah An-Nur, Allah Taala ada berfirman dengan maksud:

“…dan sebaliknya hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”

(Al-Quran, surah an-Nur, ayat 22)

Allah Taala menjanjikan kemaafan dan keampunan kepada mereka yang sanggup memaafkan orang lain. Kita sering mahukan kemaafan dan keampunan dari Allah atas kesilapan yang kita lakukan, namun kita sering lupa bahawa kita juga perlu bersifat pemaaf kepada orang lain.

BACA:  Umat Islam Itu Bersaudara. Saling Memahami Unsur Penting Dalam Mengekalkan Keharmonian

Selain itu, sifat pemaaf sebenarnya boleh menghapuskan keegoan dalam diri kita.

Tidak rugi memaafkan orang lain

Sifat pemaaf memberi banyak kebaikan kepada diri kita. Apabila kita memaafkan orang lain, hati pastinya menjadi lebih tenang dan tenteram. Kita juga berjaya menundukkan keegoan diri kita sehingga menjadi seorang yang merendah diri.

Selain itu, bermaaf-maafan juga memperbaiki hubungan sosial kita bersama orang lain. Paling penting, kita juga pasti akan diampunkan oleh Allah SWT atas segala kesilapan kita jika kita rajin memaafkan orang lain.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.