Apakah khasiat bayam terhadap kesihatan seseorang? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat sayur bayam ini dan penjelasan berkenaan perkara tersebut.
Bayam ialah sejenis sayuran yang digunakan secara meluas di Malaysia. Bayam juga dikenali sebagai Spinacia Oleracea. Di Malaysia, umum mengetahui penggunaan sayur bayam di dalam masakan seperti tumis, goreng, cucur, mahupun di buat sebagai pastri. Sayur bayam mempunyai pelbagai jenis mengikut warna mahupun bentuk bayam tersebut. Jenis bayam mengikut warna ialah bayam merah. Manakala bagi mengikut bentuk bayam ialah bayam pasir, bayam putih dan bayam hijau. Namun, adakah anda tahu khasiat sebenar bayam terhadap kesihatan tubuh badan anda sehingga diberi gelaran Superfoods.
1. Mencegah anemia
Anemia ialah suatu keadaan di mana bacaan sel darah berkurang di dalam badan. Selalunya bacaan ini di baca melalui Haemoglobin (Hb). Anemia terjadi apabila bacaan Hb kurang daripada 13.5 bagi lelaki, dan bacaan bagi perempuan kurang daripada 12. Antara gejala anemia ialah muka pucat, kesejukan dan kebas pada jari-jari tangan dan kaki, degupan jantung yang tidak sekata, dan rasa penat tanpa membuat aktivit berat.
Bayam mempunyai kandungan zat besi yang tinggi. Zat besi merupakan elemen penting di dalam pembuatan darah di dalam badan. Pembuatan darah di dalam badan bermula di dalam tulang dan perlu dibantu oleh zat besi untuk pembuatan yang lebih berkesan.
Selain itu, bagi ibu mengandung juga sering mendapat anemia ketika mengandung. Hal ini sekiranya tidak diambil perhatian, kandungan janin mungkin akan terjejas. Maka, sekiranya anda mengalami anemia atau kekurangan sel darah merah di dalam badan pengambilan sayur bayam mampu mengurangkan risiko anda mengalami gejala anemia tersebut.
2. Mencegah kecacatan tiub neural pada bayi
Adakah anda mengambil makanan tambahan asid folik daripada pihak hospital. Ianya diwajibkan bagi setiap ibu mengandung untuk mengambil asid folik. Hal ini bagi mencegah kecacatan tiub neural seperti kecacatan pada tulang belakang. Asid folik diperlukan untuk proses tumbesaran dan membantu proses perkembangan sistem saraf yang betul. Contohnya, kekurangan asid folik menyebabkan kecacatan spina bifida pada bayi. Bayi yang mempunyai kecacatan spina bifida sangat berisiko untuk mati.
Dengan mengambil sumber asid folik daripada sumber makanan yang segar seperti bayam, serta mengambil makanan tambahan asid folik mampu mencegah kecacatan neural tiub.
3. Mencegah kerapuhan tulang (Osteoporosis)
Bayam kaya dengan kalsium. Di mana kalsium merupakan elemen penting dalam menjadikan tulang menjadi tumpat dan lebih kuat. Pengambilan tulang berkait rapat dengan tulang rapuh dan sekaligus dalam mencegah dan menghalang seseorang daripada osteoporosis. Mineral ini juga penting untuk mengekalkan kesihatan gigi dan kuku yang sihat.
4. Sumber bagi vitamin K
Bayam kaya dengan vitamin K. Di mana, vitamin K membantu dalam pembekuan darah dengan menghasilkan prothrombin dan ini membantu proses pembekuan darah bagi seseorang yang mengalami masalah darah lambat beku. Manfaat vitamin K ini juga memberi peranan dalam proses pembentukan tulang kerana membantu dalam mengawal paras kalsium dalam darah.
Namun, sekiranya anda mengambil warfarin atau juga dikenali sebagai antikoagulan, anda perlu mendapatkan nasihat dan berbincang bersama doktor atau pakar pemakanan sebelum mengambil bayam ini dalam jumlah yang banyak. Hal ini kerana, ubat cair darah seperti warfarin bersifat untuk mencairkan darah, dan bayam pula bersifat membekukan darah.
5. Membantu kesihatan mata
Bayam kaya dengan karotenoid seperti zeaxanthin dan lutein. Karotenoid ini yang bertanggungjwab terhadap memberikan warna pada sesuatu tumbuhan dan sayuran. Mata manusia juga mempunyai pigmen yang tinggi. Pigmen ini berfungsi sebagai pelindung kepada mata daripada rosak akibat terkena cahaya matahari.
Selain itu, beberapa kajian mendapati pigmen zeaxanthin dan lutein membantu mencegah pembentukan katarak pada mata. Di mana pembentukan katarak ini akhirnya akan mengakibatkan buta
6. Sumber vitamin C
Keperluan vitamin C ialah 70mg sehari bagi dewasa Vitamin C juga boleh didapati pada bayam . 1 genggam bayam yang sudah dimasak mempunyai 15mg sumber vitamin C. Vitamin C penting dalam pembentukan kolagen iaitu sejenis protein yang bertanggungjawab di dalam memberi struktur tulang, otot dan salur darah.
Vitamin C juga dikenali sebagai antioksidan semulajadi. Di mana membantu melindungi sel daripada serangan radikal bebas. Radikal bebas ini menyebabkan kerosakan pada sel-sel badan, dan DNA.
7. Mengurangkan risiko sakit jantung
Sakit jantung disebabkan oleh atherosclerosis disebabkan oleh pengerasan pada arteri. Di dalam sayur bayam mempunyai satu jenis pigmen. Ianya dikenali sebagai lutein dan lutein dikatakan mempu mengurangkan risiko mendapat serangan sakit jantung, dan strok. Hal ini kerana bayam mengandung nitrat. Nitrat berperanan dalam meningkatkan oksida nitric dan membantu merehatkan tisu otot, meningkatkan pengedaran darah dan menghalang pembentukan plak pada salur darah.
8. Menurunkan tekanan darah tinggi
Bagi yang mempunyai penyakit darah tinggi, pengambilan bayam berkesan dalam mengurangkan tekanan darah tinggi kerana mempunyai nitrat. Bayam boleh dijadikan sayuran yang murah dan berkesan di dalam mengawal tekanan darah tinggi.
Kesimpulan
Akhirnya, bayam merupakan suatu sayuran yang bukan sahaja enak malah mempunyai pelbagai manfaat kepada kesihatan. Mulakan dari sekarang dengan mengambil satu hidangan sayur bayam dan rasai kebaikan sayuran superfood ini.
Diharap artikel khasiat bayam ini dapat memberikan sedikit sebanyak pengetahuan berkenaan kebaikan sayur ini kepada para pembaca