≡ Menu

Kaut Pahala Berlipat Ganda. Amalkan Sedeqah Dan Lazimi Bacaan Al-Quran

SETIAP kebaikan yang dilakukan oleh Muslim pasti akan diganjari dengan pahala oleh Allah SWT. Tidak ada istilah rugi atau sia-sia atas setiap perbuatan baik yang dilakukan oleh umat Islam selagimana ia menepati syarat yang ditetapkan. Amalan mestilah dilakukan hanya kerana Allah SWT dan bukan kerana selain daripada-Nya.

Maka sesiapa yang melakukan sesuatu ibadah untuk mendapat ganjaran istimewa daripada Allah SWT, maka dia akan memperolehnya. Bagi yang melakukan amalan kerana tujuan selain daripada mengharapkan keredaan daripada Allah SWT, maka sudah pasti Allah tidak akan melihat amalan tersebut. Meskipun orang sebegini akan mendapat habuan di dunia, namun malangnya dia tidak akan mendapat ganjaran di akhirat nanti.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud:  “Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di Akhirat, Kami akan memberinya tambahan pada faedah yang dikehendakinya dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya daripada kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan) dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”  (Surah asy-Syura, ayat 20)

Oleh itu, syarat utama untuk sesuatu ibadah diterima oleh Allah SWT, ia mesti dilakukan dengan ikhlas hanya kerana-Nya. Penjelasan tentang amalan yang dilakukan bukan kerana Allah SWT dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka kecelakaan besar bagi orang yang sembahyang. (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya. (Juga bagi) orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya).”  (Surah al-Ma’un, ayat 4-6)

Selain ibadah mesti dilakukan kerana Allah SWT, pelaksanaan ibadah juga perlu mengikut ketetapan sepertimana yang ditunjukan oleh Rasulullah SAW. Tidak boleh ada pihak yang mengajar sesuatu perkara yang dilabel sebagai ibadah tanpa ada sebarang petunjuk daripada Rasulullah SAW. Islam adalah agama samawi yang cukup jelas dalam menyatakan perkara-perkara berkaitan ibadah sama ada dengan dalil yang umum mahupun khusus.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang maksudnya:  “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”  (Surah Ali ‘Imran, ayat 31)

BACA:  Umrah DIY, Panduan Tunai UMRAH Sendiri Tanpa Pakej

Sesungguhnya setiap amalan baik yang dikerjakan oleh umat Islam akan diganjari dengan sebaik-baik ganjaran berupa pahala. Tidak ada orang yang pernah melihat pahala kerana ia termasuk dalam perkara ghaib. Namun Allah SWT memperlihatkan sifat Maha Pemurah dan Maha Mengasihani kepada setiap hamba-Nya dengan mengurniakan pahala berganda sekiranya sesuatu ibadah dilakukan dengan ikhlas dan mengikut petunjuk Rasulullah SAW.

Sedekah merupakan antara amalan yang dijanjikan oleh Allah SWT dengan pahala yang berganda. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “Bandingan (sedekah) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”  (Surah al-Baqarah, ayat 261)

Maha luas rahmat dan kasih sayang Allah SWT yang membalas perbuatan baik yang dilakukan oleh hamba-Nya dengan pahala yang berlipat ganda. Satu sedekah dibalas dengan tujuh ratus pahala sepertimana tujuh ratus benih yang tumbuh daripada satu benih sahaja. Allah SWT Maha Kaya dan Maha Pemurah kepada setiap hamba-Nya yang bersedekah hanya kerana-Nya tanpa mengharapkan sebarang pujian atau balasan duniawi.

Membaca al-Quran juga merupakan ibadah yang boleh mendatangkan gandaan pahala daripada Allah SWT. Umat Islam mestilah sentiasa mendekati al-Quran dengan sentiasa membacanya. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud:  “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan itu nilainya sepuluh kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa, Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.”  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Sebenarnya tidak cukup sekadar membaca al-Quran, lakukanlah  tadabbur  terhadap makna ayat-ayat al-Quran. Setiap ayat-ayat al-Quran yang dibaca perlu difahami maknanya dengan betul dan mengaitkan pengajaran pada ayat tersebut dengan kehidupan seharian. Hakikatnya al-Quran tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan manusia kerana ia panduan buat kehidupan yang penuh cabaran ini.

BACA:  Sunnah yg dilupakan. Sunat anak ketika bayi,8 kelebihan Ibubapa tak tahu.

“(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad). Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya dan untuk orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar.”  (Surah Sad, ayat 29)

Satu lagi amalan yang jika dilakukan maka akan mendapat gandaan pahala kebaikan daripada Allah SWT ialah melakukan kebaikan yang diikuti oleh orang lain. Ada keadaan yang menunjukkan sesuatu perkara baik boleh menjadi ikutan orang lain. Lebih-lebih lagi sekiranya individu yang melakukan perbuatan baik terdiri daripada mereka yang mempunyai pengaruh atau dirinya dijadikan ikutan orang ramai. Hanya dengan satu perbuatan baik yang dilakukan maka ribuan orang yang akan melakukan perkara yang sama.

Inilah yang dikatakan usaha menunjukkan jalan kebaikan kepada orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Dan barang siapa yang memulakan suatu pekerjaan yang jahat di dalam Islam maka ke atasnya dosanya dan dosa mereka yang beramal dengannya selepasnya, tanpa dikurangkan daripa dosa mereka sedikit pun.”  (Hadis riwayat Muslim)

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menyatakan:  “Sesungguhnya orang yang menunjuk kepada perkara kebaikan, pahalanya seperti orang yang melakukannya.”  (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Sesungguhnya Allah SWT memiliki sifat-sifat terpuji yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapa pun daripada kalangan makhluk-Nya. Sifat Maha Pemurah Allah SWT membuktikan bahawa Dia tidak berkehendak kepada amalan hamba-Nya, sebaliknya setiap hamba-Nya amat memerlukan rahmat dan kasih sayang daripada Allah SWT.

Renungilah firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekalipun seberat zarah (debu). Dan kalaulah (amal yang seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi dari sisi-Nya, pahala yang amat besar.”  (Surah an-Nisa’, ayat 40)

 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.