≡ Menu

Keberanian Wanita Palestine Yang Wajar Dijadikan Pedoman Buat Kita

Simpati dan sokongan yang ditunjukkan oleh masyarakat global terhadap rakyat Palestin hari ini membuktikan bahawa Palestin tidak keseorangan di dalam perjuangan ini. Namun begitu, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tidak mungkin masyarakat global betul-betul dapat memahami penderitaan sebenar rakyat Palestin yang telah diusir dari tanah air mereka oleh rejim zionis Israel dan dinafikan hak dan kebebasan mereka. Kemusnahan yang dilakukan ke atas nyawa dan harta orang-orang awam Palestin atas nama hak untuk mempertahankan diri, telah membuktikan siapa sebenarnya Israel. Rampasan, pengusiran, kemusnahan terhadap tempat tinggal, penahanan dan penindasan yang dilakukan oleh rejim zionis Israel ini adalah satu bentuk kezaliman dan penjajahan moden yang dilakukan secara terang-terangan dan disokong oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan kebanyakan negara-negara Eropah. Ironinya, kuasa-kuasa ini juga yang sibuk melaungkan slogan-slogan hak asasi manusia, anti diskriminasi, penentangan terhadap rasisme dan dasar aparteid serta memperjuangkan keadilan. Namun, apabila tindakan-tindakan ini dilakukan oleh Rejim Israel ke atas rakyat Palestin, mereka seolah-olah menjadi tuli terhadap semua keganasan dan kezaliman ini.

Di sebalik penindasan yang dihadapi dan penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin, satu perkara yang mendapat perhatian adalah keberanian luar biasa yang dipamerkan wanita-wanita mereka di dalam mendepani segala tindakan zalim rejim Zionis Israel. Di wilayah Sheikh Jarrah, di mana pengusiran dan rampasan kediaman rakyat Palestin dilakukan baru-baru ini, wanita-wanita Sheikh Jarrah menjadi antara individu-individu yang lantang dan sentiasa bersedia menjadi benteng hadapan untuk mempertahankan kediaman dan tanah yang sememangnya ialah hak milik mereka sejak berketurunan lamanya. Sebuah portal akhbar dalam talian ‘Middle East Eye’ telah mengangkat wanita-wanita Palestine antaranya seperti Muna al-Kurd, Salwa Skafi dan Nuha Atieh sebagai lambang kecekalan wanita Sheikh Jarrah yang tidak akan berganjak daripada melindungi tempat tinggal mereka.

BACA:  Suami Yang Baik, Dia Akan Mengurut Isterinya Kerana Dia Tahu Isterinya Menggalas Tanggungjawab Isteri Yang Berat

Keberanian dan kecekalan luar biasa wanita Palestine juga zahir di dalam perjuangan wanita-wanita muda mereka seperti Ahed Tamimi yang dipenjara selama 8 bulan oleh Rejim Zionis Isreal kerana menampar tentera Israel ketika mereka menggeledah rumah beliau di Perkampungan Nabi Saleh pada Disember 2017, Hind Abu Ola yang diangkat sebagai simbol penentangan oleh Penganjur ‘Women March of Gaza’ 2018 kerana keberaniannya berhadapan tentera regim Zionis Israel dan Hanan Hroub, seorang guru yang membesar di Kem Pelarian Bettlehem serta merupakan penerima ‘Global Teacher Prize’ 2016 kerana usaha beliau mewujudkan kaedah pembelajaran bagi pelajar-pelajar sekolah untuk mengatasi trauma akibat keganasan dan peperangan serta baru-baru ini aktivis Maryam al-Afifi yang ditahan tentera Zionis kerana mempertahankan penempatan Sheikh Jarrah. Mereka adalah antara simbol keberanian dan kecekalan wanita Palestin yang harus diangkat oleh dunia sebagai wirawati-wirawati global yang menentang kejahatan, keganasan, kezaliman dan penindasan.

Wanita Palestin tidak pernah dilihat sebagai golongan lemah dalam kalangan rakyat Palestin sendiri kerana keberanian dan kecekalan luar biasa yang mereka miliki tidak mungkin dapat ditandingi oleh mana-mana kelompok wanita lain hari ini. Bagi rakyat Palestine, wanita-wanita mereka sentiasa berani dan bersedia untuk melibatkan diri di dalam sebarang gerakan penentangan terhadap pihak zionis.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Pengorbanan dan keberanian wanita Palestin yang juga merupakan ibu, isteri, kakak dan adik adalah seperti jelmaan semangat Al-Khansa’ binti ‘Amr RA yang memberi sokongan dan semangat kepada keempat-empat orang puteranya sehingga mereka gugur syahid di medan perang ketika zaman Rasulullah SAW, Saidatina Safiah binti Abdul Mutalib, ibu saudara Rasulullah SAW yang merupakan pahlawan wanita pertama menghunus pedang di medan jihad dan  Ummul Mukminin Ummu Salamah RA yang kehilangan suaminya Abu Salamah di dalam Peperangan Badar. Mereka adalah di antara ramai lagi wanita yang telah menyumbang tenaga dan kebolehan mereka dalam kapasiti masing-masing untuk berjuang demi menegakkan Islam dan mempertahankan hak mereka.

BACA:  Video didakwa detik akhir sebelum Lion Air JT610 terhempas rupanya palsu

Allah SWT berfirman di dalam Al Quran:

Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka dengan firmanNya: Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain: maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agamaKu, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur syahid dalam perang Sabil)-sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala di sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)”.

(Ali Imran, 3: 195)

Keberanian dan kecekalan luar biasa yang dimiliki oleh wanita-wanita Palestin perlu dijadikan contoh dan ikutan. Mungkin pengalaman dan persekitaran yang dihadapi oleh wanita di serata dunia ini adalah berbeza, namun yang paling penting adalah semangat untuk bangkit dari penindasan dan kemusnahan serta memahami apa yang perlu dilakukan untuk mempertahankan maruah diri, keluarga dan tanah air serta terlibat secara proaktif di dalam isu-isu yang diperjuangkan. Keberanian dan kecekalan in bukan hanya untuk dicontohi oleh wanita-wanita lain, tetapi harus menjadi ikutan oleh semua individu mahupun wanita atau lelaki. Semoga Palestin tetap kukuh didokong oleh wanita-wanitanya yang tidak gentar menghadapi kezaliman dan penindasan serta tetap di jalan memperjuangkan hak dan kebenaran.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.