
Deutschland,Baden-Württemberg,Mannheim,Seniorinoutdoor,Betreuung
Saban tahun Hari Ibu disambut pada Ahad kedua Mei oleh seluruh masyarakat dunia. Hari Ibu disambut untuk menzahirkan tanda penghargaan kepada wanita yang mengorbankan kehidupan demi kebahagiaan anak mereka.
Peranan ibu sangat penting dalam sesebuah keluarga dan mempunyai persamaan dengan bapa yang turut diiktiraf melalui sambutan Hari Bapa saban tahun sebagai tunjang kekuatan sesebuah keluarga.
Islam sangat menganjurkan supaya memuliakan dan menghormati ibu bapa sebagaimana dititikberatkan dalam al-Quran serta hadis tanpa terbatas atau terikat dengan masa atau tempat. Malah kewajipan kepada anak adalah berpanjangan dan berkekalan sepanjang hayat.
Perintah mentaati ibu bapa bukan setakat melakukan kebaikan, tetapi turut sebagai bukti keimanan dan ketakwaan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah, mengandungkannya sampai menyusukannya adalah tiga puluh bulan sehingga apabila dia dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun dia berdoa: ‘Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku serta supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau redai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk golongan orang yang berserah diri.'” Surah al-Ahqaf: 15
Seterusnya, anak perlu mengutamakan ibu bapa kerana Islam meletakkan kemuliaan ibu bapa selepas Allah SWT dan Rasul-Nya berdasarkan hadis keredaan serta kemurkaan Allah bergantung kepada ibu bapa.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Keredaan Allah terletak pada keredaan ibu bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.” Riwayat at-Tirmizi
Berbakti kepada ibu bapa bukan setakat semasa mereka masih hidup, malahan perlu berterusan walaupun sudah meninggal dunia. Anak yang baik dan taat kepada ibu bapa tidak akan melupakan jasa serta pengorbanan yang mereka dilakukan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kesayangan dan ucapkanlah: ‘Wahai Tuhanku, kasihanilah mereka kedua-duanya, sebagaimana mereka berdua mendidik aku waktu kecil.'” Surah al-Isra’: 24
Terdapat pelbagai cara dan kaedah untuk berbakti dan berbuat kebaikan kepada ibu bapa yang boleh dilakukan oleh anak.
Pertama, menzahirkan kasih sayang dan mendoakan kesejahteraan ibu bapa. Anak yang soleh sentiasa mendoakan ibu bapa diberkati dan dirahmati oleh Allah SWT.
Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara (iaitu) sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” Riwayat Muslim: no.1631; Sunan Abu Daud, no:2880; Sunan at-Tirmidi, no:1376
Selain itu, firman Allah SWT yang bermaksud: “Doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Rabbku! cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil.” Surah al-Isra’: 24
Kedua, menyediakan kemudahan dan tempat tinggal yang selesa. Menjadi tanggungjawab anak memastikan dan memberikan kemudahan sesuai kepada ibu bapa terutama yang berusia lanjut serta uzur.
Paling baik adalah sekiranya ibu bapa selesa dibawa tinggal bersama bagi menjamin keselamatan dan keperluan harian dapat diuruskan dengan baik.

Ketiga, menghulurkan bantuan kewangan atau keperluan. Anak bertanggungjawab memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa supaya mencukupi perbelanjaan kehidupan.
Sebenarnya nafkah dan sumbangan yang diberikan anak tidak mampu menandingi atau membalas pengorbanan ibu bapa yang membesar dan mendidik sewaktu kecil sehingga mampu berdikari.
Keempat, memenuhi dan menunaikan permintaan. Anak perlu mengutamakan dan memenuhi permintaan ibu bapa berbanding tugas yang lain.
Nabi SAW menunjukkan bahawa berbakti kepada ibu bapa menjadi urusan turutan kedua selepas melaksanakan perintah solat dalam hadis yang bermaksud:
Daripada Abdullah ibn Mas’ud RA berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Amalan apakah yang paling Allah sukai? Baginda menjawab: Solat pada waktunya. Kemudian apa, kataku. Baginda menjawab: Berbuat baik kepada ibu bapa. Aku bertanya lagi, kemudian apa? Baginda menjawab: Jihad di jalan Allah.'” Riwayat al-Bukhari
Kelima, bertutur dengan sopan dan lemah lembut terhadap ibu bapa. Islam mendidik masyarakat supaya menjauhkan diri daripada menengking, membentak, mengeluarkan kata kasar dan mengeluarkan pengucapan yang rendah nilainya.
Perlakuan dan pengucapan yang rendah nilai adalah seperti menunjukkan sikap tidak acuh, tidak peduli dan tidak suka semasa berkomunikasi dengan ibu bapa.
Anak dilarang meninggikan suara ketika bercakap dengan ibu bapa kerana dianggap perbuatan yang buruk dan tercela berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘ah!’…” Surah al-Isra’: 32
Keenam, meluangkan dan melapangkan masa bersama-sama. Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi mereka.
Bahkan, Nabi SAW menyarankan menjaga hubungan baik dengan saudara-mara, tetangga dan sahabat kepada ibu bapa dalam hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya sebaik-baik bentuk bakti (kepada orang tua) ialah seseorang anak itu menyambungkan tali persaudaraan keluarga sahabat karib ayahnya.” Riwayat Muslim
Ketujuh, tidak menderhaka kepada ibu bapa. Melakukan perkara yang tidak disukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka. Islam meletakkan bahawa menderhaka kepada ibu bapa tergolong dalam perbuatan dosa besar.
Hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Mahukah kamu aku sampaikan tentang sesuatu yang termasuk daripada dosa besar? Baginda mengulangi pertanyaan sehingga tiga kali (lalu berkata): Menyekutukan Allah, derhaka terhadap kedua-dua orang tua dan kesaksian palsu…” Riwayat Muslim
Demikianlah, kebaktian dan kebaikan yang boleh diberikan oleh anak dalam pelbagai sudut seperti keperluan material, emosi dan rohani kepada ibu bapa tercinta.
Kesimpulannya, sambutan Hari Ibu bukanlah perayaan keagamaan, tetapi adat sahaja. Sambutan diadakan adalah sebagai suatu penghormatan tambahan dengan tidak membataskan pada waktu dan tempat tertentu. Sebaliknya, sentiasa memberi penghormatan dan ketaatan kepada ibubapa selaras dengan syariat Islam
