≡ Menu

Kenali Bulan-Bulan Haram Dalam Islam. Dan Sebab Mengapa Ia Dipanggil Bulan Haram

Bulan Zulkaedah adalah satu dari empat bulan haram. Bulan haram adalah bulan yang amat dimuliakan. Bulan haram adalah bulan persaudaraan, perdamaian dan kemaafan. Masyarakat kafir Quraisy menangguhkan permusuhan dan peperangan di bulan haram maka kita sebagai umat Islam hendaklah lebih menghormati bulan-bulan haram ini. Eratkan silaturrahim, yang bermusuh, damaikanlah, yang berdendam, berlapanglah dan yang renggang, rapatkanlah, InsyaAllah hidup penuh berkat dan harmoni.

Tiada ibadah khusus dalam bulan Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu’ juga dimulakan di bulan Zulkaedah. Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Sya’aban

Elak lakukan kezaliman termasuk berperang:-Secara umumnya tiada waktu-waktu tertentu yang perlu diekslusifkan untuk bertaqwa. Tiada juga tempat-tempat tertentu yang dikhususkan untuk mentaati Allah. Samada pagi atau petang ketaatan kepada Allah tetap wajib setiap saat kehidupan. Begitu juga tidak mengira tempat, samada di masjid, pusat membeli belah, rumah, tempat kerja mahupun padang permainan sekalipun wajib kita mentaati Allah. Kerana Allah Maha Melihat. Di mana sahaja kita berada pasti diperhatikannya. Walaupun dalam Islam perlunya ketaatan tanpa mengira tempat dan waktu, namun dalam masa yang sama juga Islam meletakkan juga tempat dan waktu tertentu kelebihan dalam melaksanakan ketaatan.

Beribadat pada bulan Ramadhan, hari Arafah, hari Jumaat, solat pada sepertiga malam sebagai contoh menunjukkan ada kelebihan khusus Allah letakkan kepada hamba-hambaNya yang bijak memilih waktu terbaik. Begitu juga solat dan ibadah di Tanah Haram, adab di masjid dan perkuburan, doa di Raudhah dan banyak lagi tempat yang membuktikan Islam juga tempat tertentu dengan kelebihan berbanding tempat yang lain. Ini kerana Allah mahu melihat siapakah di kalangan hambaNya yang paling berjaya. Perkara ini bertepatan dengan firman Allah SWT : “Maha suci Allah yang di tanganNya segala pemerintahan dan Dialah yang Maha Kuasa atas segala sesuatu perkara. Dialah yang menjadikan kematian dan juga kehidupan untuk menguji siapakah di antara kamu semua yang lebih baik amalannya. Dialah yang maha Perkasa lagi Maha Pengampun”. (Surah al-Mulk: 1-2).

Dalam Islam terdapat dua belas bulan yang dimulai dengan bulan Muharram dan diakhiri dengan Zulhijjah. Di antara dua belas bulan ini terdapat empat bulan daripada bulan-bulan Hijrah ini yang disebut sebagai bulan-bulan haram. Firman Allah SWT: “Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah SWT itu adalah dua belas bulan sepertimana yang terdapat dalam Kitab Allah semenjak diciptakan langit dan bumi dan di antaranya empat bulan hurum”. (Surah al-Taubah :36).

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Firman Allah SWT yang lepas disebutkan bahawa Allah SWT menciptakan dalam kehidupan manusia empat bulan yang dinamakan ‘bulan-bulan hurum’. Perkataan ‘hurum’ merupakan kalimat Arab yang menunjukkan jama’ atau plural daripada perkataan ‘singular’nya iaitu ‘haram’ yang membawa maksud larangan. Apabila menyebut tentang bulan-bulan haram ianya menunjukkan tentang kemuliaan yang terdapat pada bulan-bulan tersebut. Hal ini termasuklah fadhilat-fadhilat mahupun tegahan-tegahan yang terdapat padanya. Bulan-bulan haram yang dimaksudkan adalah empat bulan Islam iaitu Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram.

BACA:  Penyakit Yang Boleh Membunuh Akibat Suka Tidur Lewat Malam. Banyak Bahayanya!

Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya zaman(tahun) telah berputar sebagaimana keadaannya sejak hari Allah menciptakan langit dan bumi. Setahun itu terdapat dua belas bulan dan di antaranya ada empat bulan yang suci, tiga berturut-turut iaitu Zulqaeddah, Zulhijjah dan Muharram dan keempatnya ialah bulan Rejab ‘Mudhar’ yang jatuh antara dua Jamadil (iaitu Jamadil Awal dan Jamadil akhir) dan Sya’ban”. ( Hadith Muttafaqun ‘Alaih).

Para ulama’ membahaskan tentang sebab penamaan empat bulan ini sebagai bulan-bulan haram. Para ulama’ bersepakat bahawa dinamakan keempat-empat bulan ini sebagai bulan-bulan haram kerana diharamkan dalamnya peperangan dan kezaliman. Al-Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’diy dalam kitab tafsirnya Taysir al-Karim al-Rahman menyatakan bahawa bulan-bulan ini dinamakan bulan-bulan haram kerana kehormatan dan pengharaman perang yang terdapat padanya. Firman Allah SWT: “Janganlah kamu menzalimi diri kamu semua dalamnya (bulan-bulan haram)”. (Surah al-Taubah: 6).

Al-Imam al-Syaukani dalam tafsirnya Fath al-Qadir menyatakan bahawa kezaliman yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah peperangan dan juga apa saja tindakan yang menjurus kepada kezaliman. Daripada ayat ini al-Hafiz Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa sesuatu kezaliman itu hukumnya adalah berdosa dan haram dan apabila dilakukan dalam bulan-bulan haram maka dosanya adalah lebih berat. Dalam mazhab al-Syafi’ie pula menetapkan bahawa sesiapa yang melakukan pembunuhan dengan tidak sengaja pada bulan-bulan haram maka diyah (denda) yang dikenakan ke atasnya adalah lebih berat berbanding bulan-bulan biasa.

Kelebihan-Kelebihan Pada Bulan-Bulan Haram:    

Sepertimana yang kita ketahui, bulan-bulan haram terdapat kelebihan padanya. Antara kelebihan yang utama adalah disunatkan berpuasa pada bulan-bulan tersebut. Dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Abu Daud rhm, seorang sahabat datang bertemu Nabi SAW untuk memohon daripada Nabi SAW supaya memberi kebenaran kepada beliau untuk lebih banyak berpuasa. Dalam hadith tersebut Nabi SAW telah bersabda: “Puasalah beberapa hari daripada bulan-bulan haram dan tinggallah sebahagiannya.”

Daripada hadith ini dapatlah diketahui bahawa berpuasa pada beberapa hari dalam bulan-bulan haram hukumnya adalah sunat namun tidak boleh keterlaluan sehingga berpuasa keseluruhan hari dalam bulan-bulan tersebut.

Antara kelebihan-kelebihan khusus pada bulan-bulan haram adalah:

1. Rejab Bulan Rejab merupakan bulan ketujuh mengikut kalendar Hijrah. Antara catatan sejarah penting yang berlaku pada bulan ini adalah peristiwa Isra’ dan Mikraj yang berlaku pada 27 Rejab. Dalam peristiwa tersebut telah difardhukan solat lima waktu ke atas seluruh umat Islam.

Dinukilkan daripada Nabi SAW seperti berikut: “Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Sya’ban serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.” (Direkodkan oleh Imam Ahmad dan dinilai dhaif oleh al-Sayuti, al-Baihaqi, Ahmad Syakir dan al-Albani). Walaupun hadith ini merupakan hadith yang dhaif namun sebahagian ulama’ membenarkan untuk mengambil pengajaran daripada hadith dhaif selagi mana hadith tersebut bukanlah dikategorikan dalam darjat ‘dhaif syadid’ iaitu terlampau lemah antaranya disebabkan celaan ke atas ‘perawi’ (periwayat) hadith tersebut.

BACA:  Menamakan Anak Dengan Nama Malaikat

Berkenaan amalan dan kelebihan berpuasa pada bulan Rejab secara khusus, tidak terdapat sebarang dalil daripada al-Quran mahupun al-Sunnah. Manakala khabar-khabar berkenaan beberapa hadith yang menceritakan tentang kelebihan puasa pada bulan Rejab bukanlah hadith-hadith yang boleh dijadikan hujjah kerana para sarjana hadith telah mengklasifikasikan hadith-hadith tersebut sebagai hadith ‘maudhu’ (palsu) mahupun ‘dha’fun syadid’ iaitu terlampau lemah. Namun puasa pada bulan Rejab boleh dilaksanakan jika kita berniat untuk berpuasa pada hari-hari dalam bulan haram.

2. Zulkaedah Bulan Zulkaedah adalah bulan haram dan pada masa yang sama merupakan antara bulan-bulan pelaksanaan ‘manasik’ (tatacara ibadah) haji. Firman Allah SWT: “(Musim) Haji adalah bulan-bulan yang dimaklumi…” (Surah Al-Baqarah:197).

Bulan-bulan haji ini adalah bulan Syawal, Zulkaedah dan sepuluh awal Zulhijjah. Dalam Tafsir Ibnu Kathir dinyatakan bahawa dalam mazhab al-Syafi’ie, jika sesuatu ibadah haji diniatkan di luar bulan-bulan haji maka tidak sah haji tersebut. Pendapat ini juga merupakan pendapat kebanyakan para sahabat antaranya Ibnu ‘Abbas dan Jabir bin Abdillah. Al-Hafiz Ibnu Kathir juga telah menukilkan daripada Ibnu Abbas dengan kata beliau: “Daripada sunnah itu adalah tidak berihram dalam haji kecuali pada bulan-bulannya.”

Hal ini bertepatan dengan sunnah nabi SAW apabila nabi SAW memulakan ihram bagi haji Baginda SAW pada bulan Zulkaedah. Nabi SAW juga telah menunaikan umrah baginda sebanyak empat kali pada bulan Zulkaedah

3. Zulhijjah. Kelebihan utama dalam bulan ini ialah umat Islam akan menunaikan ibadat haji di Mekkah al-Mukarramah bermula daripada hari tarwiyyah pada 8 Zulhijjah sehinggalah 13 Zulhijjah. Pada bulan ini juga disunatkan berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah), bagi mereka yang tidak menunaikan ibadat haji. Pada bulan ini juga umat Islam menyambut perayaan Aidul Adha dan melakukan ibadat korban.

4. Muharram. Dalam bulan Muharram umat Islam disunatkan berpuasa pada hari-harinya. Sabda Nabi SAW: “Puasa yang paling utama setelah Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah iaitu Muharram” (Hadith riwayat Imam Muslim). Selain itu disunatkan juga untuk kita berpuasa pada hari ‘Asyura iaitu pada 10 Muharram sepertimana yang telah direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim dalam kitab Sahih mereka.

Konklusinya, bulan-bulan haram merupakan bulan yang terdapat padanya kemuliaan-kemuliaan tertentu. Namun setiap ibadah yang kita lakukan dalam bulan-bulan tersebut mestilah selari dengan Sunnah Nabi SAW supaya setiap ibadat kita itu diterima oleh Allah SWT dan tidak termasuk dalam amalan yang sia-sia.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.