Daging kambing dikatakan merupakan makanan sunnah yang menjadi kegemaran Nabi Muhammad SAW. Daging kambing justeru dipercayai mengandungi kolesterol yang kurang jika dibandingkan dengan daging yang lain seperti lembu, khinzir, ayam dan arnab. Teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui benarkah daging kambing kurang Kolesterol ataupun tidak?
Kolesterol di dalam Daging Kambing
Kandungan kolesterol di dalam daging kambing sebenarnya tidak mempunyai banyak perbezaan berbanding daging-daging yang lain.[2] Pada umumnya kesemua jenis daging merah mempunyai kadar lemak tepu yang tinggi berbanding daging putih(Contoh ayam).[3]
Setiap 100gram daging kambing mengandungi lebih kurang 125kalori berbanding daging lembu dan ayam yang masing-masing yang mempunyai 270kalori dan 150kalori.[4] Kolesterol setiap 100g daging kambing juga mempunyai jumlah yang lebih rendah berbanding daging lain iaitu sebanyak 63 mg, sementara daging lembu dan daging ayam sebanyak 71mg dan 85mg.
Keseluruhannya, 100g daging kambing hanya mengandungi 4.2g lemak, sementara daging lembu boleh mencapai sebanyak 20.6g dan ayam 6.4g. Daging kambing juga merupakah salah satu sumber protein yang baik sama seperti daging lembu dan ayam. Jumlah protein dalam 100g daging kambing ialah lebih kurang 20.9g, manakala daging lembu dan ayam ialah lebih kurang 20.0g dan 22.3g bagi setiap satu.
Setiap hidangan 100g daging kambing boleh memenuhi hampir 50% keperluan harian protein. Jumlah kalori, lemak dan kolesterol bagi setiap daging adalah seperti di bawah:
*Sumber: Komposisi Zat dalam Makanan Malaysia.
Adakah Daging Kambing menyebabkan tekanan darah tinggi dan badan menjadi panas?
Ada sesetengah individu berpendapat bahawa daging kambing merupakan penyebab utama penyakit darah tinggi sehingga menyebabkan pening kepala dan panas badan selepas memakan daging kambing. Namun begitu, daging kambing sebenarnya bukanlah seperti yang diperkatakan. Dalam satu kajian saintifik yang dijalankan di Jepun pada tahun 2012, daging kambing sebenarnya tidak terbukti mempunyai kesan kadar termogenik yang tinggi selepas dimakan.
Efek termogenik ini merupakan kesan metabolisma badan memproses makanan sehingga memberikan kesan haba dan menyebabkan pening kepala bagi sesetengah individu.[1][4] Oleh itu, individu yang terkena gejala hipertensi selepas memakan daging kambing sebenarnya bukanlah disebabkan daging kambing itu sendiri, tetapi disebabkan bahan-bahan yang digunakan ketika memasak daging kambing tersebut.
Cara Memasak Daging Kambing
Daging kambing biasanya dimasak menjadi sate, dibuat gulai kari, digoreng dan dibuat sup kambing. Walaupun masakan tersebut sedap untuk dimakan, kambing yang dimasak tidak semestinya sihat dimakan. Kambing yang dimasak menggunakan minyak yang banyak, penggunaan sos dan perencah segera, santan dan garam yang tinggi menjadikan daging kambing tersebut mempunyai tinggi lemak dan garam yang mana berisiko meningkatkan risiko penyakit jantung, berlebihan berat badan dan tekanan darah tinggi.
Cara memasak daging kambing yang paling baik ialah dengan cara merebus daging kambing tersebut dengan air dan menggunakan api perlahan. Tindakan memasak daging kambing menggunakan api yang besar dan terlalu kuat boleh merosakkan nutrisi yang ada dalam daging kambing tersebut. Gunakan minyak yang sedikit untuk membuat sup kambing. Daging kambing yang dimasak menggunakan api secara terus juga boleh meningkatkan risiko penyakit kanser terutamanya apabila ada bahagian daging kambing yang terlebih masak dan berwarna hitam turut dimakan.
Gunakan pelbagai perencah asli seperti daun ketumbar, buah pelaga, rempah ratus tanpa menggunakan sos dan perencah segera ketika memasak daging kambing. Jika hendak menggunakan minyak, gunakan minyak yang mengandungi kandungan asid lemak poli tak tepu seperti minyak zaitun. Sukat setiap penggunaan minyak menggunakan sudu kecil untuk mengawal penggunaan minyak. Selain itu, hadkan penggunaan garam dan gula ketika memasak daging kambing agar daging dapat dimakan secara sihat.
Kesimpulan
Kesimpulannya, daging kambing boleh dimakan dan diambil secara bersederhana mengikut sukatan yang disarankan. Pengambilan makanan yang sihat dan seimbang mengikut pinggan sihat Malaysia dan menggunakan konsep suku suku separuh tetap menjadi keutamaan. Pengambilan daging yang berlebihan akan menyebabkan protein ditukar menjadi lemak seterusnya menyebabkan kenaikan berat badan.