Ada segelintir masyarakat pada hari ini, khususnya mereka yang mempunyai sedikit ilmu pengetahuan tentang sirah Baginda SAW mempersoalkan kenapa bulan Muharram dikira dan disambut sebagai awal bulan dalam kalendar atau takwim tahun Hijriah sedangkan peristiwa hijrah Baginda Nabi SAW dari Mekah ke Madinah sebenarnya mengikut sejarah yang berlaku bukan dalam bulan Muharram?
Timbul dua persoalan di sini yang perlu difahami. Pertama, bagaimanakah takwim Islami atau tahun Hijrah itu bermula? Kedua, kenapa tahun Hijrah itu bermula dengan bulan Muharram?
Antara jawapan ringkas yang paling mudah diberikan oleh sebahagian ilmuwan termasuklah permulaan tahun hijrah itu bukan sangat bertepatan dengan bulan sebenar peristiwa hijrah Nabi SAW itu, tetapi hanya mengambil semangat tahun itu berlakunya hijrah Nabi SAW. Hal yang demikian kerana walaupun Nabi SAW berhijrah bukan pada bulan Muharram, tetapi para sahabat telah diperintahkan berhijrah lebih awal lagi daripada hijrah Baginda SAW sendiri. Bahkan Nabi SAW sendiri memulakan hijrah bermula dari bulan Safar dengan pergi ke rumah Saidina Abu Bakar RA, kemudian ke Gua Thur, dan seterusnya hingga tiba di Quba’ dan Yathrib pada 8 dan 12 Rabiulawal.
Kedua, dalam kiraan masyarakat Arab dahulu, bulan Rabiulawal kedudukannya adalah pada bulan ketiga dalam turutan bulan-bulan selepas Muharram dan Safar, sepertimana bulan Januari dalam kiraan bulan Masihi. Pada masa itu belum ada penggunaan atau kiraan tahun lagi dalam kalangan masyarakat Arab, jadi agak janggal untuk memulakan tahun baharu dengan bulan ketiga, iaitu Rabiulawal.
Pada awal Islam dahulu, tidak wujud kalendar Islam atau takwim hijriah kerana pada zaman itu bangsa Arab hanya menggunakan kiraan bulan sahaja. Pernah ketika Saidina Abu Hurairah RA mengutuskan surat kepada Amirul Mukminin Saidina Umar RA dan menulis “berlaku pada bulan Rejab”, maka dijawab balik kepada Saidina Abu Hurairah: “pada bulan Rejab yang mana satu, tahun lepas atau tahun sebelumnya lagi?” Disebabkan timbulnya kekeliruan tersebut, lalu selepas itu munculnya idea untuk mewujudkan takwim Islami yang turut mengambil tahun dan bukannya sahaja bulan.
Ada juga riwayat yang mengatakan bahawa bermulanya selepas Sayyidina Abu Musa Al-Ash’ari membalas surat Amirul Mukminin Saiduna Umar ibn al-Khattab RA dengan menulis “telah selamat sampai kepada kami kiriman (kitab) tuan yang tiada tercatat tarikhnya.” Lalu diadakan mesyuarat dalam kalangan para sahabat.
Ada yang mengusulkan pengiraan tahun Islam mengikut kiraan tahun Rom; ada yang kata tahun Parsi; ada yang mahu dimulakan dengan tahun kelahiran Nabi SAW, namun tidak disetujui oleh Saidina Umar kerana pada tahun kelahiran Nabi SAW, kaum Arab Musyrikin masih kuat menyembah berhala dan jahiliah masih menebal tiada apa-apa pun peristiwa berkaitan dengan umat Islam pasa masa itu; lalu diusulkan pula bermula dengan tahun Isra’ dan Mikraj, ada juga mengusulkan dengan permulaan turunnya al-Quran (Nuzul al-Quran) namun, akhirnya Saidina Umar memilih tahun bermula kalendar Islam dengan tahun Nabi SAW dan umat Islam mula berhijrah dari Mekah ke Madinah sebagai permulaan tahun takwim Islam kerana pada tahun itulah umat Islam mula memiliki sebuah negara, memiliki sistem tersendiri, hakim dan kerajaan. Sayyiduna Umar berkata “Sesungguhnya hijrah ialah peristiwa yang membezakan antara hak dan batil, maka kita kira tahun Islam bermula daripada peristiwa hijrah”.
Persoalan seterusnya, bulan manakah yang hendak diletakkan sebagai bulan pertama? Walaupun bulan sebenar Nabi SAW berhijrah bukan pada bulan Muharram, namun Saidina Umar melihat Muharram ialah bulan yang datang sebaik sahaja selepas bulan haji, iaitu bulan Zulhijah dan pada musim haji itu pula para jemaah haji telah melaksanakan ibadah haji, memohon keampunan daripada Allah SWT, bertaubat kepada-Nya dan jika diterima haji mereka nescaya hapus segala dosa-dosa mereka yang lalu.
Sepertimana mafhum hadis Baginda SAW “Barangsiapa yang melaksanakan haji di Baitullah ini kemudian tidak berkata kotor, tidak berbuat fasik maka dia kembali keadaannya seperti saat dilahirkan ibunya” (HR al-Bukhari dan Muslim). Maka Umar berfikir, sebaiknya bulan selepas bulan haji itu bulan yang baharu dan tahun baharu dan azam baharu bagi mereka membuka lembaran baharu dalam kehidupan yang lebih baik dan taat kepada Allah SWT.
Di sinilah letaknya hikmah yang paling besar, iaitu Allah SWT mengakhiri tahun dengan bulan Zulhijah, bulan haji yang penuh dengan pengampunan Maha Agung, dan bulan itu juga salah satu daripada bulan-bulan Haram, dan memulakan tahun baharu dengan bulan Muharram, juga merupakan satu daripada bulan-bulan Haram.
Dalam bulan Muharram itu pula terkandung 10 hari awal yang agung dan penuh dengan pelbagai kelebihan. Seorang Salafus Soleh bernama Abu Uthman al-Hindi amat membesarkan 10 hari awal bulan Muharram, 10 hari awal bulan Zulhijah dan 10 hari akhir bulan Ramadan dengan memperbanyakkan beramal soleh, berzikir kepada Allah SWT dan berselawat ke atas Nabi SAW.
Dengan memahami sejarah takwim Hijriah ini, diharapkan agar selepas ini tiada lagi suara-suara yang mempertikaikan persoalan kenapa sambutan Tahun Hijriah bermula dengan 1 Muharram dan bukannya pada 12 Rabiulawal, iaitu tarikh sebenar mengikut riwayat yang masyhur Baginda SAW tiba di Yathrib (Madinah) dari Mekah.