≡ Menu

Kenapa Nabi Muhammad Dinamakan Muhammad?

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Kenapa Rasulullah SAW dinamakan sebagai Muhammad? Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW :

لِي خَمْسَةُ أسْماءٍ: أنا مُحَمَّدٌ، وأَحْمَدُ وأنا الماحِي الذي يَمْحُو اللَّهُ بي الكُفْرَ، وأنا الحاشِرُ الذي يُحْشَرُ النّاسُ على قَدَمِي، وأنا العاقِبُ

Maksudnya : “Aku mempunyai lima nama iaitu aku adalah Muhammad dan Ahmad, Aku juga adalah al-Mahi (penghapus) yang mana Allah SWT menghapuskan kekafiran melalui perantaraanku, dan aku juga adalah al-Hasyir (penghimpun) yang mana manusia akan dihimpunkan di bawah kakiku dan aku juga adalah al-‘Aqib (iaitu tiada lagi selepasnya nabi).” Riwayat al-Bukhari (3532)

Sesungguhnya Allah SWT telah menyebutkan di dalam al-Quran dua nama daripada nama-nama Nabi SAW iaitu Ahmad dan Muhammad. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan seolah-olah ia merupakan isyarat bahawa kedua-dua nama ini adalah yang paling masyhur antara nama-namanya yang lain dan nama Muhammad adalah yang paling masyhur antara kedua-dua nama ini. (Lihat Fath al-Bari, 6/555) Imam al-Suyuti turut menyatakan bahawa Muhammad adalah merupakan nama baginda yang paling masyhur. (Lihat al-Nahjah al-Sawiyyah fi al-Asma’ al-Nabawiyyah, hlm. 41)

Kemudian, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada al-Qadi ‘Iyadh bahawa :

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْمَدَ قَبْلَ أَنْ يَكُونَ مُحَمَّدًا… لِأَنَّ تَسْمِيَتَهُ أَحْمَدَ وَقَعَتْ فِي الْكُتُبِ السَّالِفَةِ وَتَسْمِيَتُهُ مُحَمَّدًا وَقَعَتْ فِي الْقُرْآنِ الْعَظِيمِ وَذَلِكَ أَنَّهُ حَمِدَ رَبَّهُ قَبْلَ أَنْ يَحْمَدَهُ النَّاسُ وَكَذَلِكَ فِي الْآخِرَةِ يَحْمَدُ رَبَّهُ فَيُشَفِّعَهُ فَيَحْمَدُهُ النَّاسُ

Maksudnya : “Rasulullah SAW adalah Ahmad (manusia paling terpuji) sebelum menjadi Muhammad (yang dipuji)… kerana penamaannya sebagai Ahmad terdapat di dalam kitab-kitab terdahulu (kitab samawi yang lain). Manakala penamaannya sebagai Muhammad terdapat di dalam al-Quran. Dan perkara itu kerana Nabi SAW telah memuji Tuhannya sebelum manusia memuji dirinya. Begitu juga di akhirat kelak, Baginda SAW (terlebih dahulu) akan memuji Tuhannya, maka Allah SWT akan memberi syafaat kepadanya. Oleh itu, manusia memujinya.” (Lihat Fath al-Bari, 6/555)

BACA:  5 Fasa Umat Nabi Muhammad SAW Sebelum Kiamat. Lihat Sendiri kita Di Fasa Mana sekarang!

Imam al-Suyuti juga telah memetik kata-kata al-Qadi ‘Iyadh bahawa kedua nama ini iaitu Muhammad dan Ahmad termasuk salah satu tanda kebesaran Allah SWT dan keistimewaan bagi baginda. Allah SWT telah menjaga kedua nama tersebut daripada digunakan oleh seorang pun sebelum zamannya (kelahiran baginda). Sebelum baginda lahir, tidak ada seorang pun bangsa Arab mahupun bangsa lain yang menggunakan nama tersebut melainkan setelah tersebar khabar berita bahawa nabi yang akan diutuskan ini namanya Muhammad. Oleh itu, sebahagian kecil bangsa Arab telah menamakan anak-anak mereka dengan nama tersebut dengan harapan merekalah orang yang dimaksudkan. Dan Allah SWT Maha Mengetahui kepada siapa yang akan diberikan risalah-Nya. (al-Nahjah al-Sawiyyah fi al-Asma’ al-Nabawiyyah, hlm. 44)

Kenapa Nabi SAW dinamakan Muhammad?

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, Imam Ibn ‘Asakir telah menyebutkan di dalam kitabnya daripada riwayat Ibn ‘Abbas R.A bahawa :

لما ولد النبي صلى الله عليه وسلم عق عنه عبد المطلب بكبش وسماه محمدا فقيل له يا أبا الحارث ما حملك على أن تسميه محمدا ولم تسمه باسم آبائه قال أردت أن يحمده الله عز وجل في السماء ويحمده الناس في الأرض

Maksudnya : Apabila Nabi SAW dilahirkan, Abd al-Muttalib telah melakukan akikah ke atas baginda dengan menyembelih kibasy dan menamakannya Muhammad. Ditanyakan kepadanya : “Wahai Abu al-Harith apakah yang menyebabkan engkau memberinya nama Muhammad dan bukan dengan nama nenek moyangnya?” Jawabnya : “Aku ingin agar Allah SWT memujinya di langit dan juga manusia memujinya di bumi.” (Lihat Tarikh Dimashq, 3/32)

Begitu juga, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan daripada Imam al-Baihaqi bahawa :

أَنَّ عَبْدَ الْمُطَّلِبِ لَمَّا وُلِدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَمِلَ لَهُ مَأْدُبَةً فَلَمَّا أَكَلُوا سَأَلُوا ماسميته قَالَ مُحَمَّدًا قَالُوا فَمَا رَغِبْتَ بِهِ عَنْ أَسْمَاءِ أَهْلِ بَيْتِهِ قَالَ أَرَدْتُ أَنْ يَحْمَدَهُ اللَّهُ فِي السَّمَاءِ وَخَلْقُهُ فِي الْأَرْضِ

Maksudnya : Apabila Nabi SAW dilahirkan (ke dunia), Abd al-Muttalib telah mengadakan jamuan untuknya. Ketika sedang makan, para hadirin telah bertanya kepadanya : “Apakah yang telah engkau namakannya?” Jawabnya : “Muhammad.” Mereka bertanya lagi : “Apakah yang menghalang engkau daripada menamakannya dengan nama-nama ahli keluarganya?” Jawabnya : “Aku ingin (berhasrat) agar Allah SWT memujinya di langit dan juga menusia memujinya di bumi.” (Lihat Fath al-Bari, 7/163)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa Rasulullah SAW dinamakan Muhammad oleh datuknya sendiri kerana mengharapkan baginda SAW akan dipuji oleh Allah SWT di langit dan juga dipuji oleh manusia yang lain di bumi.

Perkara ini bertepatan dengan makna Muhammad itu sendiri yang bermaksud orang yang dipuji dan padanya juga terdapat makna al-Mubalaghah iaitu paling banyak dipuji. Selain itu, sebagaimana yang diketahui bahawa para nabi adalah merupakan orang yang paling banyak memuji Allah SWT dan baginda SAW adalah orang yang paling banyak pujiannya antara para nabi tersebut (أَكْثَرُهُمْ حَمْدًا) atau yang paling besar sifat terpujinya (أَعْظَمُهُمْ فِي صِفَةِ الْحَمْدِ). (Lihat Fath al-Bari, 6/555)  Demikianlah juga, Syeikh Ibn al-Uthaimin ketika mengulas mengenai firman Allah SWT di dalam surah al-Saff ayat 6 menyebutkan Nabi Muhammad SAW adalah adalah manusia yang paling terpuji dan manusia yang paling berhak untuk dipuji. (Lihat Syarh al-Manzumah al-Baiquniyyah, hlm. 24)

Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dalam mengikuti Rasulullah SAW serta menjadikannya sebagai contoh tauladan dalam setiap perkara. Ameen.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.