≡ Menu

Kenapa Orang Dulu Dulu Makan Daun Sireh Macam Tu Saja? Ini Khasiat Yang Orang Zaman Sekarang Tak Tahu

Apakah khasiat daun sirih kepada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat daun sirih, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya

Pengenalan

Piper betel atau dikenali secara umum di Malaysia dan Indonesia sebagai daun sireh, diklasifikasikan di bawah keluarga ‘Piperaceae’. Hampir 700 spesis daun sirih yang berlainan boleh ditemui di India, Sri Lanka, Malaysia, Indonesia, Filipina, Afrika Timur dan negara Asia Tenggara yang lain.

Daun sirih dikatakan berasal dari Malaysia tetapi telah melalui proses kacukan lantas menghasilkan pelbagai jenis spesis. Daun sirih digunakan secara meluas di seluruh dunia hatta pada zaman moden ini kerana daun sirih mempunyai nilai perubatan didalamnya. Daun sirih turut digunakan dalam aspek kehidupan manusia yang lain seperti sosial, budaya dan agama.

Daun sirih adalah tumbuhan yang tidak lapuk dek zaman kerana daun sirih masih digunakan sebagai bahan dalam perubatan tradisional dalam merawat pelbagai penyakit.

Tambahan pula, daun sirih merupakan tumbuhan yang serbaguna kerana daunnya, akarnya, rantingnya, pucuknya dan buahnya boleh digunakan. Pokok daun sirih ini memerlukan sokongan tambahan untuk membesar dan ketinggian pokok daun sirih ini boleh mencecah 10 hingga 15 meter.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Uniknya, daun sirih berbentuk hati dengan saiz yang berbeza iaitu dari 7 hingga 20 cm panjang dan 5 hingga 15 cm lebar. Daunnya turut berbeza kerana ada yang berwarna kuning kehijauan dan ada yang berwarna hijau gelap. Batang pokok ini pula lebar dan berjalur merah jambu kekuningan.

Bunganya mempunyai 2 hingga 6 stigma dan diselaputi dengan bulu halus. Daun sirih mempunyai bau yang menyenangkan dan memberikan rasa manis yang akan bertukar kepada pahit kerana kandungan minyak didalamnya.

Komponen Penting Daun Sireh

Kajian menunjukkan bahawa terdapat 65 bahan kimia daripada minyak penting dalam daun sirih yang diesktrak menggunakan metodologi penyulingan air. Sebagai contoh, ‘5-(2-propenil)-1,3 benzodioxole’ (25.67%), ‘eugenol’ (18.27%) dan ‘2-methoxy-4-(2-propenyl) acetate-phenol’ (8.0%).

Namun demikian, kajian sebelum ini menunjukkan bahawa terdapat 14 bahan kimia daripada mintak penting dalam daun sirih. Sebagai contoh, ‘chavibetol’ (53.1%) dan ‘chavibetol acetate’ (15.5%), ‘allypyrocatechol diacetate (0.71%), ‘camphene’ (0.48%), ‘chavibetol methyl ester’ (methyl eugenol 0.48%), ‘eugenol’ (0.32%), ‘a-pinene’ (0.21%), ‘B-pinene’ (0.21%), ‘a-linonen’ (0.14%), ‘safrole’ (0.11%), ‘1,8-cineole’ (0.04%) dan ‘allypyrocatechol monoacetate’.

‘Allylpyrocatechol’ dikenali sebagai bahan antioksidan yang penting dalam daun sirih dan melindungi daripada ulser pada perut. ‘Hydroxychavicol’ dan ‘eugenol’ pula adalah sebatian dalam kumpulan ‘propenylphenol’. ‘Eugenol’ adalah bahan utama dalam daun sirih yang menghasilkan kesan anti kulat dan anti keradangan. ‘Chavibetol’ pula adalah sebatian organik kimia yang memberikan rasa yang tajam dan hangat.

Selain itu, daun sirih mengandungi polifenol, alkaloid, steroid, saponin dan tannin yang memberikan kesan analgesik dan menyejukkan badan. Kesan antioksidan ini membantu dalam mengurangkan sakit kepala, arthritis, sakit sendi, merawat sakit tekak dan rasa keletihan. Kesan antioksidan ini turut menghalang nafas berbau, ketidakselesaan pada sistem penghadaman, batuk dan serangan asma. Pelbagai lagi kebaikan daripada komponen penting dalam daun sirih yang akan dikupas dalam artikel kali ini.

Khasiat Daun Sirih Kepada Kesihatan

1. Mengawal Paras Gula Dalam Darah

Penyakit kencing manis adalah antara penyakit kronik yang dihidapi oleh penduduk Malaysia. Menurut dapatan Tonjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, seorang daripada lima individu dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap penyakit kencing manis.

Pesakit kencing manis telah meningkat daripada 13.4% pada tahun 2015 kepada 18.3% pada tahun 2019. Daun sirih berpotensi dalam mengawal paras gula dalam darah. Satu kajian terhadap haiwan dijalankan dimana haiwan tersebut diberikan daun sirih sebanyak 75 mg/kg berat badan dan 150mg/kg berat badan selama 30 hari.

BACA:  Jambu Air Mengurangkan Risiko Angin Ahmar? Subhanallah

Keputusan menunjukkan bahawa terdapat penurunan bacaan gula dalam darah sebanyak 205.00+/- 10.80 mg/dL hingga 151.30+/- 6.53 mg/dL). Kajian tambahan dijalankan terhadap dua kumpulan tikus yang menghidap kencing manis dimana satu kumpulan tikus diberikan daun sirih dan satu lagi kumpulan tidak diberikan daun sirih.

Keputusan menunjukkan bahawa paras gula tikus yang diberikan daun sirih lebih rendah daripada tikus yang tidak diberikan daun sirih.

 

2. Mengurangkan Paras Kolesterol

Sedarkah anda bahawa paras kolesterol yang tinggi dalam darah akan meningkatkan risiko untuk mendapat serangan sakit jantung? Paras kolesterol yang tinggi akan menyebabkan saluran darah menjadi sempit dan tekanan darah akan meningkat. Pengambilan daun sirih berpotensi dalam mengurangkan paras kolesterol dalam darah.

Ini kerana daun sirih mengandungi eugenol yang membantu dalam mengurangkan jumlah kolesterol yang dihasilkan oleh organ hati. Terdapat dua sumber kolesterol iaitu kolesterol yang dihasilkan oleh hati dan kolesterol daripada pemakanan.

Apabila kolesterol yang dihasilkan oleh organ hati berkurang, ini akan mengurangkan lemak yang diserap ke dalam usus daripada saluran darah. Ini akan mengelakkan tragedi dimana saluran darah menjadi sempit kerana kolesterol menempel pada dinding saluran darah.

 

3. Kesan Anti Kanser

Walaupun terdapat kajian menyatakan bahawa risiko pengambilan biji sirih sama seperti pengambilan bahan tembakau yang lain namun demikian, daun sirih mempunyai sebatian anti kanser didalamnya. Daun sirih mengandungi sebatian fenolik yang menghasilkan kesan anti bakteria, anti mutagen, antioksidan dan anti percambahan.

Daun sirih mempunyai paras fitokimia yang tinggi yang berupaya dalam melawan kanser mulut dan kanser usus. Daun sirih membantu dalam melawan tekanan oksidatif dan memusnahkan radikal bebas. Sebatian fenolik dan fitokimia adalah dua bahan penting dalam menghalang penyakit kanser.

4. Kesan Anti Mikroorganisma

Minyak penting dalam daun sirih menghasilkan kesan anti bakteria. Minyak penting membantu dalam melawan jangkitan yang disebabkan oleh bakteria. Tambahan pula, daun sirih mengandungi sebatian fenolik dan fitokimia yang membantu dalam melawan bakteria jenis gram positif dan bakteria jenis gram negatif.

5. Membantu Dalam Merawat Luka

Ekstrak daun sirih menghasilkan kesan yang efektif dalam merawat luka terutamanya luka yang disebabkan oleh terbakar. Ini kerana daun sirih mengandungi antioksidan, dimana antioksidan ini membantu dalam mengurangkan tekanan oksidatif dalam badan. Tekanan oksidatif yang tinggi akan melambatkan proses penyembuhan luka. Oleh itu, daun sirih membantu dalam proses penyembuhan luka dengan mengurangkan tekanan oksidatif dalam badan.

6. Mengelakkan Berlaku Serangan Asma

Ramai telah mengetahui bahawa penyakit asma adalah penyakit yang berkaitan dengan masalah pernafasan. Namun demikian, tidak semua orang tahu bahawa penyakit asma juga berlaku disebabkan oleh keradangan. Daun sirih mengandungi kesan anti keradangan yang dapat membantu pesakit asma.

BACA:  Setiap Penyakit Ada Penawarnya Kecuali Mati. Ketahui Kebaikan Khasiat Ubi Jaga Dan Manfaatnya Terhadap Kesihatan

Serangan asma selalunya tercetus disebabkan oleh histamin yang menyebabkan pengecutan pada bronkus. Daun sirih menghasilkan kesan anti histamin yang membantu dalam menghalang dan mengawal serangan asma. Minyak daripada daun sirih turut membantu dalam mengelakkan berlakunya serangan asma.

7. Mengelakkan Penyakit Kemurungan

Penyakit kemurungan merupakan penyakit yang serius dan tidak boleh dipandang enteng. Walapun pada zaman kini terdapat pelbagai ubat anti kemurungan, orang ramai masih lebih memilih perubatan herba kerana kesannya lebih mujaran dalam merawat dan mengawal penyakit ini.

Salah satu contoh perubatan herba adalah mengunyah daun sirih. Ini kerana daun sirih akan merangsang aktiviti dalam sistem saraf pusat dan menghasilkan perasaan gembira dan tenang. Daun sirih mengandungi sebatian fenolik aromatik yang berperanan dalam merangsang katekolamin dan mengurangkan kemurungan.

8. Meningkatkan Kesihatan Mulut

Daun sirih digunakan sebagai bahan dalam produk penyegar mulut di India kerana keupayaannya dalam meningkatkan kesihatan mulut.

Daun sirih membantu dalam mengurangkan pertumbuhan dan pembiakan bakteria dalam mulut. Ini akan menghalang berlakunya jangkitan mulut dan penyakit mulut.

Daun sirih turut melindungi kaviti daripada karies dengan mengurangkan jumlah asid yang menghasilkan bakteria dalam air liur.

9. Melindungi Sistem Pencernaan

Daun sirih mengandungi fitokimia yang bertindak sebagai antioksidan dan anti ulser. Ulser perut akan menyebabkan kerosakan pada dinding usus, mengurangkan penghasilkan mukus dalam usus dan menghasilkan tekanan oksidatif yang tinggi.

Pengambilan daun sirih akan mengecutkan ulser, meningkatkan jumlah penghasilan mukus dalam usus dan mengurangkan tekanan oksidatif. Daun sirih bukan hanya membantu dalam merawat sistem pencernaan dengan mengecutkan ulser tetapi melindungi daripada penyakit yang disebabkan oleh ulser.

10. Kesan Anti Parasit

Terpenes adalah sebatian dalam daun sirih yang menghasilkan kesan anti malaria yang kuat. Malaria adalah penyakit disebabkan oleh parasite plasmodium.

Penyakit ini merebak melalui gigitan nyamuk Anopheles yang telah dijangkiti parasit yang dipanggil sebagai sporozoites. Selain daripada terpenes, flavonoid dalam daun sirih turut menghasilkan kesan anti parasit dan membantu dalam melawan parasite yang berkait dengan malaria.

Daun sirih digunakan dalam melawan penyakit malaria sejak zaman dulu lagi dan perubatan ini diperkenalkan pertama kalinya di Malaysia. Oleh itu, daun sirih berupaya dalam melindungi diri daripada penyakit malaria.

Penutup

Sebagai penutup, daun sirih sangat dikenali di seluruh dunia kerana mempunyai pelbagai sebatian aktif biologi yang bertanggungjawab untuk kesan perubatan. Sebagai contoh, antioksidan dan fitokimia yang memberikan kesan perubatan dalam daun sirih dan berpotensi dalam merawat pelbagai penyakit.

Kajian yang lebih mendalam sangat digalakkan yang fokus kepada kesan metabolik daun sirih terhadap manusia. Ini akan meningkatkan penggunaan daun sirih dalam bidang perubatan dan memberikan kebaikan kepada manusia.

Mungkin, negara kita boleh menjadikan daun sirih sebagai tanaman komersial kerana daun sirih masih menjadi pilihan utama dalam perubatan tradisional. Namun demikian, sedikit saranan untuk para pembaca yang menghidap sebarang penyakit kronik, mohon dapatkan saranan daripada doktor sebelum mengamalkan pengambilan daun sirih. Ini kerana daun sirih masih belum boleh menggantikan ubat-ubatan yang sedia ada.

Diharapkan artikel khasiat daun sirih ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat kepada pembaca berkenaan khasiat daun sirih ini.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.