Apakah khasiat ikan keli kepada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat ikan keli, kandungan nutrisi dan kompaun penting di dalamnya.
Pengenalan
Ikan keli adalah sejenis ikan air tawar yang biasanya diternak untuk tujuan pemakanan. Ia juga biasanya boleh ditemui di kawasan air bertakung, kolam berlumpur, paya, sungai atau sawah padi.
Ikan keli mempunyai badan berbentuk silinder, tidak bersisik dan berlendir. Ia juga berwarna hitam atau sedikit keperangan dan mempunyai misai seperti kucing. Ia juga mempunyai kepala yang sedikit lebar, bertulang, leper dan mempunyai mulut yang agak luas.
Ikan keli sangat popular di Malaysia dan sering dijadikan juadah yang dimakan bersama dengan nasi, iaitu makanan ruji rakyat Malaysia. Ia biasanya dimasak dengan pelbagai cara termasuklah digoreng dengan sambal, dimasak lemak cili api atau dimasak asam pedas.
Kandungan berkhasiat dalam ikan keli
1. Protein
Majoriti tenaga bagi ikan keli disumbangkan oleh kandungan protein yang ada di dalam ikan keli itu sendiri. Protein ini terdiri daripada pelbagai jenis asid amino termasukalah trytophan, isoleucine, leucine, cystine, phenylalanine, tryrosine, histidine, arginie, alanine dan banyak lagi.
Protein dan asid-asid amino ini penting untuk fungsi badan seperti untuk sistem pencernaan, sistem pembiakan, meningkatkan imuniti badan atau terlibat dalam aktiviti otot di dalam badan.
2. Asid lemak tak tepu
Ikan keli juga kaya dengan asid lemak tak tepu yang terdiri daripada omega 3 dan omega 6.Omega 3 adalah sejenis asid lemak yang tak dapat dihasilkan oleh badan kita tetapi boleh memberi khasiat kesihatan kepada badan kita.
Oleh itu, untuk mendapatkan khasiatnya, omega 3 boleh didapati di dalam diet seharian kita seperti di dalam ikan keli. Antara jenis omega 3 yang terkandung di dalam ikan keli termasuklah Eicosapentanoic acid (EPA) dan Docosahexanoic acid (DHA).
Omega 3 memainkan peranan penting bagi mencegah penyakit kardiovaskular, mencegah kanser dan banyak lagi. Selain itu, omega 6 pula berfungsi untuk melindungi badan daripada jangkitan dan luka.
10 Khasiat ikan keli kepada kesihatan
Memandangkan ikan keli mempunyai beberapa komponen yang penting untuk kesihatan, ia sekaligus memberi khasiat kepada kesihatan kita. Berikut adalah beberapa khasiat ikan keli kepada kesihatan:
1. Sumber protein yang bagus
Antara khasiat ikan keli adalah ia merupakan sumber protein yang bagus untuk kesihatan. Setiap 100g ikan keli terdapat kira-kira 16.4g protein. Protein penting untuk kesihatan badan kerana ia boleh membantu dalam pembentukan otot, tulang dan tisu-tisu di dalam badan.
Di samping itu, protein juga penting untuk fungsi-fungsi badan termasuklah untuk pembinaan hormon dan enzim di dalam badan. Protein juga boleh memberikan rasa kenyang dan puas ketika makan. Oleh itu, adalah sangat penting untuk mengambil sumber protein ketika waktu makan utama di samping sumber karbohidrat dan sayur-sayuran lain.
2. Untuk menurunkan berat badan
Selain itu, ikan keli juga rendah dengan lemak berbanding dengan sumber protein yang lain seperti ayam dan daging. Oleh itu, ia bagus untuk diambil bagi individu yang ingin menurunkan berat badan bagi mengurangkan kandungan lemak dan kalori yang diambil seharian.
Namun begitu, cara masakan juga memainkan peranan penting memandangkan ia juga boleh menyumbang kepada peningkatan kandungan lemak di dalam diet pemakanan seharian.
Oleh itu, adalah digalakkan untuk mengambil ikan keli yang disalai atau dipanggang berbanding yang digoreng atau dimasak lemak.
3. Mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular
Di samping itu, pengambilan ikan keli juga berpotensi mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung dan penyakit koronari arteri (keadaan salur darah menjadi sempit dan keras).
Hal ini kerana ikan keli kaya dengan omega-3 yang berperanan untuk mengawal paras kolesterol, mencegah keradangan dan thrombosis (pengumpalan darah dalam salur darah) sekaligus mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular ini.
4. Bagus untuk masalah kemurungan
Di samping itu, ikan keli juga bagus untuk individu yang mengalami masalah kemurungan. Kemurungan adalah masalah atau gangguan perasaan yang boleh menyebabkan seseorang merasa sedih berpanjangan, sentiasa letih, tiada tenaga, kurang daya tumpuan dan boleh hilang minat untuk melakukan aktiviti harian.
Kajian soroton terhadap kesan omega 3 terhadap kemurungan telah mendapati bahawa omega 3 efektif dalam merawat masalah kemurungan dalam pesakit warga tua yang mengalami kemurungan.
Selain itu, terdapat juga kajian meta-analisis yang mendapati bahawa omega-3 dengan EPA lebih daripada 60% pada dos kurang atau sebanyak 1g sehari boleh memberi kebaikan kepada individu yang mengalami kemurungan.
Oleh itu, oleh kerana ikan keli kaya dengan omega 3, ia boleh membantu mengatasi masalah kemurungan.
5. Untuk masalah artritis atau sendi
Artritis adalah sejenis penyakit yang menyebabkan kesakitan, kemerahan, bengkak dan kekejangan sendi akibat daripada kerosakan sendi atau jangkitan kuman. Antara masalah artritis yang biasa dialami orang dewasa termasuklah rheumatoid arthritis dan osteoarthritis.
Oleh kerana ikan keli kaya dengan kandungan omega 3 seperti EPA dan DHA, ia sekaligus bagus untuk individu yang mempunyai masalah artritis. Kajian telah menunjukkan bahawa omega 3 boleh berperanan sebagai antiradang seterusnya boleh mengurangkan keradangan seperti bengkak dan kesakitan.
Kajian juga menunjukkan bahawa diet pemakanan yang tingi dengan omega 3 juga berpotensi untuk mencegah masalah artritis dalam individu yang berisiko. Oleh itu, ini jelas menunjukkan bahawa ikan keli bukan saja boleh membantu mengurangkan kesakitan artritis, ia juga berpotensi untuk mencegah masalah ini.
6. Untuk kesihatan tulang
Selain itu, ikan keli juga bagus untuk kesihatan tulang. Kandungan omega-3 yang ada di dalam ikan keli tersebut boleh membantu meningkatkan penyerapan kalsium di dalam tulang sekaligus bagus untuk rawatan atau pencegahan masalah osteoporosis.
Selain itu, ikan keli juga mengandungi fosforus yang penting untuk pembentukan tulang di dalam badan.
7. Meningkatkan kesihatan mata
Di samping itu, ikan keli juga berpotensi untuk meningkatkan kesihatan mata. Hal ini kerana kandungan omega 3 yang ada di dalam ikan keli yang memainkan peranan penting dalam menjaga kesihatan mata.
Dalam satu kajian terhadap individu yang menghidap diabetes, pengambilan sekurang-kurangnya 500 mg omega 3 telah terbukti dapat mengurangkan masalah retinopati diabetes (kerosakan retina disebabkan komplikasi diabetes) dalam individu tersebut.
Di samping itu, terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa omega 3 boleh membantu meningkatkan kestabilan air mata di dalam individu yang mempunyai masalah mata kering. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa hampir 80% optometris di Australia dan New Zealand mencadangkan pengambilan makanan yang tinggi dengan omega 3 bagi individu yang mempunyai masalah mata kering.
Oleh itu, ini jelas menunjukkan bahawa omega 3 yang terdapat di dalam ikan keli bagus dalam meningkatkan kesihatan mata.
8. Berpotensi mencegah kanser
Selain itu, ikan keli juga berpotensi untuk mencegah kanser. Kandungan omega 3 seperti DHA dan EPA yang ada di dalam ikan keli boleh membantu mencegah kanser dengan menghalang pembentukan sel tumor melalui sifatnya yang antiradang.
9. Baik untuk fungsi kognitif warga emas
Proses penuaan biasanya boleh menyebabkan seseorang individu mengalami masalah kognitif seperti mempunyai masalah berfikir dan lupa ingatan.
Terdapat kajian yang telah menunjukkan bahawa pengambilan minyak ikan keli yang kaya dengan omega 3 selama 90 hari boleh meningkatkan fungsi kognitif dalam warga emas berusia lebih 60 tahun.
Hal ini kerana fungsi omega 3 yang boleh membantu meningkatkan kesihatan saraf di otak seterusnya meningkatkan kesihatan otak. Oleh itu, ini jelas menunjukkan bahawa ikan keli yang kaya dengan omega 3 bagus untuk meningkatkan fungsi kognitif dalam warga emas.
10. Membantu tumbesaran janin
Akhir sekali, ikan keli juga bagus untuk diambil ibu mengandung bagi memberi khasiat kepada tumbesaran janin. Omega 3 yang ada di dalam ikan keli sangat penting bagi pembinaan otak dan retina janin di dalam kandungan.
Di samping itu, omega 3 yang terdapat di dalam ikan keli juga penting bagi perkembangan pembelajaran dan tingkahlaku janin tersebut pada masa akan datang.
Oleh itu, adalah digalakkan bagi ibu mengandung untuk memakan makanan yang kaya dengan omega 3 seperti ikan keli bagi membantu tumbesaran janin mereka.
Kesimpulan
Kesimpulannya, dapat dilihat ikan keli adalah sumber protein yang bagus. Oleh itu, ia sesuai untuk menjadi sumber protein dalam diet seharian terutamanya untuk menurunkan berat. Selain itu, ikan keli juga kaya dengan omega 3 seperti DHA dan EPA.
Oleh itu, ikan keli juga boleh membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, mengurangkan masalah kemurungan, masalah artritis dan mencegah kanser. Ia juga bagus untuk kesihatan tulang, kesihatan mata, fungsi kognitif warga emas dan juga membantu tumbesaran janin di dalam kandungan.
Oleh itu, untuk mendapatkan kebaikan yang ada di dalam ikan keli, anda bolehlah memasukkan ikan keli di dalam diet pemakanan seharian anda. Namun begitu, adalah diingatkan untuk menggunakan cara masakan yang sihat seperti panggang atau salai bagi mengelakkan penambahan lemak dalam makanan. Akhir sekali, diharapkan artikel ini dapat memberi manfaat kepada pembaca mengenai kebaikan ikan keli.