
Kencing tidak lawas dan istihadah adalah satu keuzuran.
Terdapat hukum khas mengenai cara berwuduk dan solat bagi bagi pengidap penyakit kencing tidak lawas dan istihadah.
Dalam panduan ini, saya akan menerangkan secara ringkas kaedah wuduk dan solat bagi kedua jenis keuzuran ini.

Penyakit Kencing Tidak Lawas
Jika pengidap kencing tidak lawas hendak mendirikan solat, dia hendaklah melakukan perkara-perkara berikut:
- Apabila masuk waktu solat, dia hendaklah kencing terlebih dahulu.
- Selepas kencing, wajib baginya istibrak iaitu memastikan tiada lagi air kencing yang mengalir dari kemaluannya.
- Selesai istibrak, dia hendaklah terus beristinjak iaitu membasuh kencing.
- Sesudah istinjak, dia hendaklah membalut zakar dengan kain. Bagi perempuan pula memadailah dengan memakai tuala wanita.
- Sesudah itu, terus berwuduk tanpa berlengah-lengah.
- Sesudah berwuduk, hendaklah terus melakukan solat. Jika selepas berwuduk dia tidak terus mendirikan solat, maka dia wajib mengulangi langkah 1 hingga 5.
- Jika sedang solat, tiba-tiba air kencing terkeluar, maka hendaklah dia meneruskan solat sehingga selesai. Solatnya sah walaupun air kencing keluar ketika sedang solat kerana dia berada dalam keuzuran.
Bila Perlu Berwuduk?
1.Jika dia hendak melakukan solat fardu, dia hendaklah berwuduk setiap kali masuk waktu solat kerana satu wuduk hanya sah untuk satu solat fardu sahaja.
2.Sebaliknya, jika dia hendak melakukan solat sunat, maka memadailah baginya berwuduk sekali sahaja. Dia boleh melakukan seberapa banyak solat sunat mengikut kemampuannya.
3.Begitu juga jika dia berwuduk kerana hendak melakukan solat fardu, dengan wuduk itu dia boleh melakukan solat-solat sunat seperti solat sunat rawatib.
