≡ Menu

Kesan Hasad Kepada Kehidupan Kita. Jauhilah

Segala puji dan puja kepada Kasih dan Cinta teragung, Allah ‘Azza Wa Jal, Tuhan sekalian alam. Yang memberikan setiap daya dan izin kepada manusia atas setiap apapun di dunia ini. Salam kecintaan dan selawat serta salam kepada kekasih umat, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Semoga kita semua masih kuat untuk menjalani kehidupan di dunia ini yang semakin hari semakin tidak mudah. Hanya kepada Allah kita berserah dan memohon kekuatan iman dan jasad ketika jiwa kita dihempas oleh ombak dunia dan saat kita menjadi lemah dengan permainan kehidupan.

Pernahkah kita mendengar apakah itu hasad? Boleh jadi saya sendiri memiliki hasad di dalam hati, boleh jadi juga hati anda sedang dihuni oleh hasad tanpa sedar. Mungkin kita pernah atau sedang menghidapi penyakit hasad sekarang ini.

Kedengaran sesuatu yang tidak menyenangkan, bukan? Ya, hasad bukanlah suatu yang menjadi kebanggaan dan terpuji. Bahkan suatu sifat yang jelik dan tercela.

Imam Nawawi di dalam kitab Riyadhussolihin mentakrifkan hasad sebagai seseorang yang tidak gembira kalau saudaranya mendapatkan sesuatu, sedangkan ia sendiri akan gembira kalau memperolehnya, maka orang yang sedemikian ini disebut orang dengki.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Buya Hamka juga di dalam Tafsir al-Azhar, mentafsirkan ayat kelima dari surah al-Falaq bahawa hasad sebagai satu penyakit yang tidak waras dimana seseorang itu akan mempunyai rasa sakit hati ketika melihat nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada seseorang sekalipun pemberian Allah itu tidak merugikan dirinya.

Mengetahui erti hasad saja sudah membuatkan kita tidak senang sebenarnya. Kerana ia suatu perkara yang tidak terpuji, bahkan satu penyakit yang tersembunyi. Sudah pasti, hasad itu akan memberi kesan bukan sahaja kepada orang yang dihasadkannya, tetapi juga kepada empunya diri yang mempunyai hasad dalam hatinya.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan, bahawa sesiapa yang mempunyai hasad dalam dirinya, sebenarnya adalah seseorang yang tidak tenang jiwa dan kehidupannya. Kerana apa? Kerana dia selalu melihat-lihat apa yang ada pada orang lain disertai dengan pandangan yang tidak berpuas hati. Dan tidak hairan sebenarnya jika dalam tanpa sedar, akan muncul kekufuran nikmat di dalam diri.

BACA:  Awasi Tekanan. Kerana Tekanan Yang Berlebihan Mengurangkan Daya Ingatan Kita.

Justeru apa sebenarnya kesan-kesan hasil daripada hasad?

#1- Jauh Daripada Allah ‘Azza Wa Jal

Bagaimana sifat dengki boleh menyebabkan kita jauh daripada Allah? Sedangkan kita hanya merasa dengki kepada Allah? Begitulah rumit urusan hati. Hati itu sangat rapuh. Sampai-sampai apa-apa yang memasuki fikiran dan hati, akan mempengaruhi bukan sahaja diri kita secara fizikal. Bahkan akan mempengaruhi kesihatan rohani dan iman kita keseluruhannya.

Allah SWT berfirman,

وَلاَ تَتَمَنَّوْاْ مَا فَضَّلَ اللّهُ بِهِ بَعْضَكُمْ عَلَى بَعْضٍ لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُواْ وَلِلنِّسَاء نَصِيبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ وَاسْأَلُواْ اللّهَ مِن فَضْلِهِ

“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. Bagi orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan mohonlah kepada Allah sebahagian daripada kurniaan-Nya.” (Surah An Nisaa’ 4: 32)

Apa kaitan dengki dan akan jauh daripada Allah? Kaitannya, adalah kerana kita akan sentiasa sibuk memikirkan apa yang ada pada orang lain dan apa yang tiada pada kita, tanpa kita sedar lama-kelamaan kita sudah membela jiwa yang tidak bersyukur kepada Allah.

Kita kan mulai menjadi seseorang yang tidak bersyukur dengan kurniaan Allah yang ada pada kita dan akhirnya tidak mustahil kita akan menjadi seseorang yang sudah tidak berdoa lagi kepada Allah dalam kehidupan.

#2- Hilang Sifat Simpati dan Empati Dalam Diri

Pernahkah kita mendengar bahawa sifat hasad sebenarnya tidak harus ada dalam diri seorang Muslim. Kerana orang Islam itu diajar dan digalakkan untuk saling berkasih-kasihan, menolong antara satu sama lain. Jika saudara kita sedang bahagia dengan kehidupannya, maka kita juga akan bahagia. Jika keadaan saudara kita adalah sebaliknya, maka begitulah jua yang kita akan rasa.

Dan jelas, sifat hasad dalam diri seorang Muslim itu bertentangan dengan keadaan iman kita. Jauh sekali untuk berada dalam lingkungan sempurnanya iman kita. Kerana Nabi Muhammad sallallahu ’alaihi wa sallam sendiri sering menekan betapa pentingnya untuk kita mengasihi saudara kita sepertimana kita mengasihi diri kita sendiri. Sabda Nabi,

BACA:  Bolehkah Membaca Surah Yang Sama Dalam Setiap Rakaat?

اَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى يُحِبَّ لِأَخِيْهِ مَا يُحِبُّ لِنَفْسِهِ

“Salah seorang di antara kalian tidaklah akan beriman dengan sempurna hingga menginginkan untuk saudaranya hal-hal yang dia inginkan untuk dirinya sendiri.” (HR. Bukhari dan Muslim)

#3- Mengulangi Dosa Pertama Di Bumi, Bertambahnya Dosa

Jika ada seseorang yang mempunyai sifat hasad dalam dirinya, pastilah ada pula orang yang dihasadkannya, bukan? Biasanya selagi mana orang tersebut tidak tersungkur dalam hidupnya, selagi itu si orang yang ada hasad tadi tidak akan berpuas hati. Nampak tidak bahaya hasad dalam diri kita sebagai manusia ini?

Buya Hamka menyatakan di dalam kitab Tafsi al-Azhar bahawa hasad merupakan dosa yang pertama dilakukan di langit dan di bumi. Ia merupakan dosa kepada Allah yang pertama dilakukan di langit dan di bumi. Dosa di langit iaitu dengki Iblis kepada Nabi Adam ’alahissalam. Dan dosa di bumi ialah sifat hasad dengki Qabil kepada Habil yang membawa kepada pembunuhan pertama dalam sejarah manusia.

Kesimpulan

Hey, tiada yang sempurna antara kita. Pasti ada cacat celanya. Pasti ada baik buruknya pada diri kita. Mungkin kita juga pernah merasa hasad kepada orang lain dalam diam. Dan orang lain pula mempunyai hasad kepada kita.

Tapi kita ini manusia, bukan? Kita ini orang Islam, yang apabila kita sedar kita salah, maka paling sekecil-kecil perbuatan adalah menyedari kesilapan diri kita sendiri. Memohon keampunan kepada Allah ’Azza Wa Jal dan mohon kekuatan agar diri sentiasa berusaha ke arah perbuatan yang baik dan diredai olehNya.

Justeru, didiklah diri kita untuk sentiasa menjauhi sifat hasad dalam diri. Sampaikanlah kepada ahli keluarga, adik beradik kita akan bahaya sifat hasad. Kerana hakikatnya orang yang mempunyai sifat hasad dalam diri tidaklah mempunyai ketenangan dalam hidup. Bahkan akan sentiasa resah dan gelisah melihat pencapaian dan apa yang dimiliki oleh orang lain saban hari.

Semoga kita kuat untuk menghindarinya. Dan jadilah kita seorang yang menyebarkan kebaikan, bukannya menyebarkan hasad dan kedengkian.

Semoga Allah merahmati!

Sumber

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.