Ramai orang gemar menggunakan air fryer yang dipercayai lebih sihat dan kurang berminyak berbanding gorengan biasa. Ia juga dikatakan lebih mudah digunakan berbanding kuali biasa selain mempunyai fungsi canggih lain seperti menggril atau membakar kek.
Namun, ada kalanya cara penggunaan alat ini tidak tepat sehingga mendapat hasil kurang memuaskan. Berikut adalah lima kesilapan ketika menggunakan air fryer yang mungkin kita sering lakukan.
1. Letakkan air fryer di tempat sesak
Sesetengah orang meletakkan air fryer mereka di tempat yang tertutup atau dikelilingi perkakasan lain. Pun begitu, menurut Thektchn, hal ini boleh menyebabkan ia tidak dapat berfungsi dengan baik kerana ia bergantung kepada proses perolakan untuk memasak makanan. Justeru, ia sebaiknya diletakkan dengan ruang keliling sekitar lima inci minimum ketika digunakan
2. Isi terlalu penuh
Ada yang berfikir memaksimakan ruang di dalam air fryer lebih mempercepatkan kerja. Namun, sebenarnya adalah lebih baik untuk memasak pada kadar optimum bagi memastikan makanan masak secara sekata. Malah, perolakan udara juga dapat berlaku dengan lebih cekap jika terdapat ruangan antara makanan di dalam air fryer.
3. Menggunakan terlalu sedikit atau terlalu banyak minyak
Ramai percaya makanan dimasak dengan air fryer adalah lebih sihat kerana kurang menggunakan minyak. Walaubagaimanapun, ia tetap memerlukan minyak pada kadar sekitar 1/2 sudu teh bagi menjadikan gorengan rangup tanpa ‘basah’ dengan minyak. Bagi sayuran atau makanan berprotein seperti ayam atau stik, gaulkan terlebih dahulu dengan 1/2 sudu teh minyak untuk mempermudah proses masakan.
4. Tak panaskan air fryer terlebih dahulu
Sememangnya ada resipi yang tidak mengarahkan kita memanaskan peralatan tersebut terlebih dahulu. Bagaimanapun, sesetengah orang mendapati tidak memanaskan air fryer terlebih dahulu membuatkan masakan tidak menjadi. Oleh itu, adalah disarankan memanaskan air fryer selama 10 hingga 15 minit terlebih dahulu sepertimana dicadangkan dalam manual pengguna kebanyakan model perkakasan ini.
5. Tak cuci peralatan dengan kerap
Setiap kali masak, kita mungkin akan meninggalkan sisa seperti cebisan kerak roti dan minyak ketika menggoreng akanan. Sekurang-kurangnya, lap air fryer setelah sejuk bagi meyingkirkan sisa makanan serta basuh dengan sabun selepas penggunaan yang lebih lama.
Walau bagaimanapun, anda juga dinasihatkan untuk mengikuti panduan dalam buku manual yang disediakan ketika anda membelinya.