≡ Menu

Ketawakan Orang Ditimpa Musibah Itu Berdosa. Lebih Susah Dalam Dunia Serba Viral

KETAWA merupakan salah satu fitrah tabiat manusia. Tanpanya kehidupan akan menjadi hambar, sedih dan kurang bermotivasi untuk hidup dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam buku al-Halal wa al-Haram (ms.543) mengatakan: Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran al-Karim dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid. Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah buat mereka. Allah menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum.

Tetapi fitrah yang diberikan Allah kepada kita haruslah digunakan dengan sebaik-baiknya berlandaskan panduan al-Quran dan Sunah Baginda Rasulullah.

Mutakhir ini ramai yang menggunakan media sosial bagi tujuan mentertawakan orang lain apabila seseorang itu ditimpa sesuatu keadaan. Perbuatan demikian bukanlah satu perbuatan yang dibenarkan dalam Islam.

Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Al-Hujuraat ayat 11: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) kemungkinan puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) kemungkinan puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Pengertian sukhriyyah di dalam ayat adalah tindakan menghina, merendahkan, dan mengangkat aib serta kekurangan orang lain dengan jalan mentertawakannya. Hal itu dapat dilakukan dengan perbuatan atau ucapan, terkadang dengan isyarat dan petunjuk tertentu.

BACA:  Kalau Was-Was, Cepat-Cepatlah Baca Ayat Ini Kerana Surah Al-A'raf, Allah Sudah Pesan

Perbuatan sebegini hanya ada pada mereka yang tidak ada akhlak dan penuh dengan kebencian.

Sabda Baginda Rasulullah: Cukuplah seseorang dikatakan telah berbuat jahat jika ia merendahkan saudaranya muslim. – [HR Ibn Majah 4203].

Sebagai seorang muslim kita diajar oleh Baginda Rasulullah untuk sentiasa merasai kepahitan seorang muslim yang lain seperti jasad yang satu.

Bagi seseorang yang diuji oleh Allah dengan apa juga perkara yang dihadapinya itu merupakan kasih sayang Allah kepadanya agar dia segera kembali kepada Yang Esa.

Jika seseorang itu sabar atas ujian yang diberikan Allah kepadanya maka ganjaran dan pahala akan disediakan tetapi jika sebaliknya dan berdegil tidak mahu kembali kepada Allah maka tempatnya adalah neraka.

Bagi kita pula yang melihat seseorang itu diuji oleh Allah seharusnya kita sentiasa berdoa agar Allah memelihara kita daripada perbuatan-perbuatan yang tidak diredai Allah dan membuka hati si pelaku untuk bertaubat kepadaNya.

Jangan kita gunakan kejatuhan seseorang untuk bergelak ketawa. Ini berdasarkan di dalam sebuah hadis: Pada suatu hari, seorang pemuda Quraisy berkunjung kepada Aisyah, isteri Rasulullah, ketika dia sedang berada di Mina. Kebetulan saat itu para sahabat sedang tertawa, hingga Aisyah merasa hairan dan sekali gus bertanya: Mengapa kalian tertawa?

Mereka menjawab: Si fulan jatuh menimpa tali khemah hingga lehernya (atau matanya) hampir lemas. Aisyah berkata: Janganlah kalian tertawa terbahak-bahak kerana sesungguhnya aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Tidaklah seorang muslim tertusuk duri atau yang lebih kecil dari itu, melainkan akan ditulis baginya satu darjat dan akan dihapus satu kesalahannya. [HR Muslim 4664]

BACA:  Pemakanan Makanan Diproses Membahayakan Sel Kita

Imam Nawawi apabila mensyarahkan hadis ini mengatakan larangan bagi seorang muslim untuk mentertawakan orang lain disebabkan kejatuhannya melainkan jika dia tertawa tanpa sengaja (seperti seseorang yang tiba-tiba tergelincir jatuh di hadapan kita dan kemudian tidak sengaja kita tertawa).

Adapun bagi mereka yang sengaja maka ia adalah satu perkara yang keji kerana menghina orang lain dan menyebabkan hatinya terluka.

Berapa ramai hari ini yang mentertawakan orang lain seperti jika kita melihat seseorang itu terjatuh dari tangga, mungkin kita melihat orang yang kita tidak suka tersungkur dalam perniagaan atau kerana melihat penceraian seseorang dengan kita mengatakan ‘padan muka engkau’.

Ingatlah bahawa seseorang itu tidak mengetahui akan pengakhirannya bagaimana adakah hidupnya akan diakhiri dengan beriman kepada Allah atau sebaliknya.

Sabda Rasulullah: Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli syurga sehingga jarak antara dirinya dengan syurga tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli neraka, maka masuklah dia ke dalam neraka. Sesungguhnya di antara kamu ada yang melakukan amalan ahli neraka sehingga jarak antara dirinya dengan neraka tinggal sehasta, akan tetapi telah ditetapkan baginya ketentuan, lalu dia melakukan amalan ahli syurga, maka masuklah dia ke dalam syurga. – [HR Muslim 2643].

Maka muhasabahlah diri sendiri kerana di akhirat nanti kita hanya akan mengatakan diriku diriku. Sedangkan di atas muka bumi kita sibuk akan diri orang lain sehingga kita lupa akan diri kita sendiri.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.