≡ Menu

Keutamaan Nafkah Yang Suami Perlu Tahu. Ini Aturannya

Perkahwinan bukan sekadar suatu trend popular yang menjadi ikutan pada musim tertentu, tetapi ia sebuah keputusan dan tindakan bersama tanggungjawab dan peranan besar dalam membina institusi keluarga. Dalam ajaran Islam, pernikahan bertujuan mewujudkan perasaan damai dan sejahtera sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

Bagi mencapai tujuan tersebut, Islam menetapkan kaedah serta peranan yang perlu dilaksanakan pasangan suami dan isteri dalam membangun dan menjalankan fungsi sesebuah keluarga termasuk menyempurnakan keperluan kebajikan dan ekonomi rumah tangga.

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat).” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sebahagian ulama menjelaskan istilah al-ba’ah dalam hadis tersebut bukan sahaja bermaksud kemampuan dalam melakukan hubungan intim tetapi juga kemampuan untuk menanggung segala keperluan perkahwinan merangkumi mahar dan tanggungjawab memberikan nafkah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Kepentingan memelihara hak dan kebajikan isteri melalui tanggungjawab memberikan nafkah amat ditekankan dalam sesebuah perkahwinan sehingga dinyatakan dalam lafaz taklik yang dibacakan suami setelah selesai melaksanakan akad nikah. Pelanggaran terhadap perjanjian dalam lafaz taklik tersebut boleh menyebabkan jatuhnya talak atau pembubaran perkahwinan. Terdapat banyak hadis yang memberikan peringatan agar mengawasi tindak tanduk supaya tidak menzalimi golongan wanita khususnya yang bergelar isteri.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bertakwalah kamu kepada Allah dalam urusan wanita, sesungguhnya kamu telah mengambil mereka dengan amanah Allah dan perhubungan kamu dengan mereka telah dihalalkan dengan perkataan-perkataan Allah.” (Riwayat Muslim)

Allah SWT juga berfirman di dalam surah An-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. Maka perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya) dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan Allah dan pertolongan-Nya.”

Kemuliaan lelaki dan suami terletak pada sifat bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, prihatin, memimpin, mengawal dan membela kaum wanita. Bahkan berdasarkan ayat al-Quran tersebut Allah SWT juga menerangkan salah satu ciri terpenting ialah tanggungjawab lelaki memberikan nafkah kepada anak dan isteri. Manakala kemuliaan wanita dan isteri pula terletak pada ketaatan dan usaha mereka dalam menjaga maruah dan kehormatan diri.

Setiap pasangan mestilah mengamalkan sikap bertolak ansur dalam melaksanakan tanggungjawab memberikan nafkah serta saling membantu dalam urusan rumah tangga. Tujuan perkahwinan dalam Islam adalah supaya dapat melaksanakan tanggungjawab dan peranan secara adil dan saksama bukan untuk menyakiti dan menganiayai pasangan. Firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.”

Perkahwinan melatih individu membangunkan sifat kepemimpinan, memupuk kebersamaan dalam menghadapi cabaran, kematangan dalam membuat keputusan, melatih sifat sabar serta saling membantu dalam mencari nafkah untuk keluarga. Perkahwinan yang didirikan berpandukan syariat akan mewujudkan ikatan kekeluargaan yang kukuh dan berkekalan berteraskan kasih sayang dan rahmat Allah SWT.

BACA:  Berwaqaflah. Waqaf Untuk Kegunaan Generasi Hadapan, Menjamin Pahala Yang Berterusan

Bagi memastikan kaum lelaki mempersiapkan diri dengan bekalan secukupnya dalam memimpin bahtera rumah tangga dan keluarga, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil inisiatif membincangkan isu pemerkasaan peranan lelaki melalui Persidangan Meja Bulat Inisiatif Lelaki Qawwam. Antara resolusi terpenting adalah mendayaupayakan peranan lelaki sebagai bapa yang boleh menjadi ikon keluarga bagi mengukuhkan kestabilan institusi kekeluargaan dalam pembinaan bangsa dan negara serta meningkatkan keupayaan dan kemahiran kaum lelaki dalam memikul tanggungjawab lebih besar melalui pelbagai bidang pekerjaan terutama dalam sektor kritikal.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru-baru ini pula mengeluarkan arahan khusus kepada semua ketua jabatan di sektor awam bagi melaksanakan perintah mahkamah dalam kes tuntutan nafkah. Perkara tersebut bagi menyahut pengumuman Perdana Menteri untuk membantu golongan wanita yang terkesan disebabkan isu perceraian khususnya dari aspek pembayaran nafkah. Kerajaan juga meminda akta Pembiayaan Kewangan yang membolehkan pihak bank membekukan akaun bank suami atas arahan mahkamah dan pihak bank juga dibenarkan membuat bayaran daripada akaun suami yang dibekukan tersebut kepada isteri sekiranya isteri membuat tuntutan yang melibatkan wang ringgit di mahkamah melalui kaedah yang dikenali sebagai Hiwalah. Melalui arahan ini, ketua jabatan bertanggungjawab mengambil tindakan terhadap sebarang perintah terutama arahan pemotongan gaji yang diputuskan Mahkamah Syariah.

Kesedaran tentang tanggungjawab memberikan nafkah dalam rumah tangga ditangani lebih awal melalui ilmu dan pendidikan yang disampaikan dalam Kursus Pra Perkahwinan dan Pasca Perkahwinan Islam serta sesi runding cara yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Penguatkuasaan undang-undang dan hukuman sentiasa menjadi jalan terakhir setelah aspek pendidikan dan rundingan tidak berhasil.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.