≡ Menu

Khasiat Tersembunyi Buah Mengkudu. Banyak Rupanya Khasiatnya

Mengkudu adalah sejenis tumbuhan yang bagus untuk kesihatan. Artikel ini akan membincangkan mengenai khasiat mengkudu dan komponen penting di dalamnya

Pengenalan

Mengkudu atau nama saintifiknya  Morinda citrifolia adalah sejenis tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat. Ia boleh didapati di seluruh dunia dan telah dikenali dengan pelbagai nama. Sebagai contohnya, ia dikenali sebagai Noni di Hawaii, mulberi India di India, Mengkudu di Malaysia dan Nhaut di Asia Tenggara.

Buah mengkudu mempunyai rupa yang unik iaitu memiliki bintik-bintik hitam dan berwarna hijau kekuningan. Buah mengkudu biasanya diproses menjadi jus dan diminum untuk khasiatnya. Pada masa sekarang, jus mengkudu juga telah banyak dijual di pasaran. Selain buahnya, daun atau pucuk pokok mengkudu juga boleh dimakan sebagai ulam.

Kandungan Berkhasiat Dalam Mengkudu

Mengkudu juga mempunyai pelbagai komponen penting yang baik untuk kesihatan kita. Buah mengkudu mengandungi kandungan karbohidrat yang terdiri daripada polisakarida seperti glikosida, asid glukoronik, rhamnose dan arabinose yang boleh memainkan penting bagi meningkatkan sistem pertahanan badan, mempunyai aktiviti antioksidan, antitumor dan antibaktria.

Selain itu, buah mengkudu juga mengandungi pelbagai jenis vitamin termasuklah vitamin C, B dan E. Vitamin-vitamin ini penting untuk fungsi badan sebagai contohnya vitamin B yang boleh membantu menukarkan makanan menjadi tenaga yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti harian. Di samping itu, buah mengkudu juga mengandungi mineral seperti kalsium, kalium, fosforus, natrium dan magnesium.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Mineral ini penting untuk keseimbangan fungsi badan seperti untuk pembentukan tulang dan sistem pertahanan badan. Buah mengkudu juga mengandungi pelbagai jenis antioksidan termasuklah quercetinscopoletinxeronine, beta karotena dan gallic acid. Kandungan antioksidan ini penting bagi membantu badan melawan radikal bebas sekaligus boleh mencegah pelbagai penyakit yang disebabkan oleh oksidatif stres daripada radikal bebas.

10 Khasiat Mengkudu kepada Kesihatan

Memandangkan pokok mengkudu mempunyai beberapa komponen yang penting untuk kesihatan, ia sekaligus memberi khasiat kepada kesihatan kita. Berikut adalah beberapa khasiat mengkudu kepada kesihatan:

1. Mengawal paras gula dalam darah

Antara khasiat mengkudu kepada kesihatan adalah ia boleh membantu mengawal paras gula dalam darah. Kajian ke atas pesakit diabetes jenis 2 telah mendapati bahawa pengambilan jus buah mengkudu (sebanyak 2ml/kg berat badan, 2 kali sehari, selama 8 minggu) boleh menambahbaik profil bacaan gula dalam darah dan menurunkan purata bacaan gula dalam darah selama tiga bulan(HbA1c).

Walaubagaimanapun, kajian itu juga mendapati bahawa kesan anti-diabetik oleh jus mengkudu ini hanyalah berkesan bagi pesakit diabetes sahaja dan tidak boleh mempengaruhi bacaan gula bagi pesakit yang tidak mempunyai masalah diabetes.

2. Menurunkan tekanan darah tinggi

Selain itu, mengkudu juga boleh membantu mengawal tekanan darah. Kajian yang dijalankan terhadap pesakit darah tinggi (hipertensi) telah mendapati bahawa pengambilan 59ml jus mengkudu (2 kali sehari selama 4 minggu) boleh menurunkan tekanan darah tinggi dalam pesakit hipertensi.

BACA:  10 Fakta Tentang Zakat Yang Perlu Diambil Berat

 

3. Merawat artritis

Di samping itu, buah mengkudu juga berpotensi untuk merawat masalah artritis. Artritis adalah sejenis penyakit yang menyebabkan kesakitan, kemerahan, bengkak dan kekejangan sendi akibat daripada kerosakan sendi atau jangkitan kuman.

Kajian ke atas tikus makmal yang mempunyai masalah artritis mendapati bahawa jus buah mengkudu mempunyai aktiviti anti-artritis yang boleh mengurangkan simptom-simptom artritis.  Hal ini kerana kandungan flavonoid dan fenol yang terdapat di dalam buah mengkudu.

Terdapat juga kajian yang dijalankan ke atas pesakit osteoartritis yang mendapati bahawa pengambilan jus buah mengkudu boleh mengurangkan atau melegakan sakit artritis dan mencegah ia daripada menjadi bertambah teruk.

Pengambilan sebanyak 88.5ml jus buah mengkudu selama 90 hari itu juga mampu meningkatkan kualiti kehidupan para pesakit osteoartritis. Oleh itu, jelaslah bahawa buah mengkudu bagus untuk pesakit yang mempunyai masalah artritis.

4. Bagus untuk penyembuhan luka

Pokok mengkudu juga berpotensi untuk membantu dalam proses penyembuhan luka. Kajian ke atas tikus makmal telah mendapati bahawa ekstrak daun mengkudu mempunyai aktiviti penyembuhan luka yang boleh menutup luka dengan cepat sekaligus mempercepatkan proses penyembuhan.

5. Aktiviti antioksidan

Selain itu, kajian tabung uji juga telah mendapati bahawa jus buah mengkudu mempunyai aktiviti antioksidan yang boleh membantu melawan radikal bebas di dalam badan. Hal ini kerana buah mengkudu kaya dengan antioksidan semulajadi seperti polifenol dan flavonoid.

Di samping buah mengkudu, daun mengkudu juga telah dilaporkan mempunyai aktiviti antioksidan. Kajian telah menunjukkan bahawa rawatan menggunakan ekstrak daun mengkudu terhadap tikus yang mempunyai limfoma telah meningkatkan aktiviti enzim aktioksidan di dalam tikus tersebut sekaligus boleh membantu melawan radikal bebas.

6. Meningkatkan ketahanan fizikal

Mengkudu juga boleh membantu untuk meningkatkan ketahanan ketika melakukan aktiviti fizikal. Kajian yang dijalankan terhadap kumpulan atlet selama 3 minggu telah mendapati bahawa pengambilan 100ml jus mengkudu sebanyak 2 kali sehari telah meningkatkan purata masa untuk keletihan. Jus mengkudu berpotensi untuk melawan keletihan dan meningkatkan ketahanan fizikal atlet tersebut.

Hal ini telah dikaitkan dengan kandungan antioksidan yang ada di dalam mengkudu yang boleh mengurangkan keradangan atau kerosakan tisu otot yang biasanya berlaku ketika bersenam. Oleh itu, dapat dilihat bahawa pengambilan jus mengkudu berpotensi untuk meningkatkan ketahanan badan dan mengelakkan keletihan ketika melakukan aktiviti fizikal.

7. Sebagai antibakteria, antikulat atau antivirus

Di samping itu, mengkudu juga mempunyai aktiviti antibakteria, antikulat dan antivirus yang boleh membantu melawan jangkitan. Pelbagai kajian tabung uji telah membuktikan aktiviti ekstrak buah dan daun mengkudu yang boleh melawan pelbagai jenis mikroorganisma seperti Escherichia coli, Staphylococcus aureus, S. Aureus dan Candida albicans  yang biasanya menjadi penyebab kepada pelbagai jenis penyakit.

Oleh itu, hal ini menunjukkan bahawa mengkudu berpotensi bagi mencegah atau merawat jangkitan di dalam badan.

BACA:  Belajarlah Memberi Kemaafan. Allah Sayang Akan Orang Yang Memberi Maaf

8. Berpotensi mencegah masalah obesiti

Mengkudu juga mempunyai aktiviti antiobesiti yang boleh membantu mencegah masalah obesiti. Kajian telah menunjukkan bahawa pengambilan jus buah mengkudu oleh subjek dewasa yang obes selama 6 minggu telah menunjukkan kestabilan dalam proses penurunan berat badan iaitu dengan penurunan dalam ukur lilit pinggang dan indeks jisim tubuh.

9. Mengawal bacaan profil lipid

Selain itu, mengkudu juga berpotensi untuk mengawal bacaan profil lipid atau kandungan lemak dalam badan. Terdapat kajian telah menunjukkan bahawa jus mengkudu boleh menurunkan kadar jumlah kolesterol, trigliserida dan LDL-kolesterol (kolesterol jahat) di dalam subjek yang merokok.

Selain itu, pengambilan jus buah mengkudu juga boleh meningkatkan paras HDL-kolesterol (kolesterol baik) dalam darah. Di samping bacaan kolesterol dalam subjek perokok, terdapat juga kajian lain yang menunjukkan kesan jus buah mengkudu dalam menurunkan paras  jumlah kolesterol dalam pesakit yang mempunyai masalah tinggi kolesterol. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa mengkudu bagus untuk mengawal bacaan profil lipid dalam darah.

\10. Bagus untuk kesihatan kulit

Akhir sekali, mengkudu juga bagus untuk kesihatan kulit. Kajian yang dijalankan telah mendapati bahawa ekstrak daun mengkudu boleh melindungi kulit daripada sinaran UV yang boleh menyebabkan kemerahan dan bengkak.

Selain itu, kajian lain juga mendapati bahawa penggunaan jus buah mengkudu, minyak biji mengkudu dan jus daun mengkudu pada muka dan leher telah mengurangkan kedutan dan memperbaiki keanjalan dan ketegangan kulit dalam wanita berumur antara 38 ke 55 tahun.

Kajian itu juga tidak menunjukkan kerengsaan kulit bagi penggunaan mengkudu itu. Oleh itu, jelaslah bahawa mengkudu juga bagus untuk kesihatan kulit.

Kesimpulan

Kesimpulannya, dapat dilihat bahawa pokok mengkudu mempunyai pelbagai komponen penting seperti serat, vitamin dan mineral yang boleh memberi manfaat kesihatan kepada tubuh badan kita. Mengkudu berperanan penting untuk kesihatan tubuh badan seperti mengawal paras gula dan tekanan darah, merawat artritis, mengawal bacaan profil lipid dan bagus untuk penyembuhan luka.

Mengkudu juga mempunyai aktiviti antioksidan, antibakteria, antikulat dan antivirus yang boleh membantu melawan penyakit. Di samping itu, mengkudu juga boleh meningkatkan ketahanan fizikal, membantu menurunkan berat badan dan bagus untuk kesihatan kulit.

Oleh itu, untuk mendapatkan khasiat ini, anda bolehlah meminum jus buah mengkudu. Namun begitu, adalah diingatkan untuk tidak menambah gula atau meletak gula terlalu banyak di dalam jus tersebut kerana gula yang berlebihan juga boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Jika anda ingin membeli jus mengkudu di pasaran, pastikan anda mendapatkan dahulu nasihat daripada doktor atau pakar pemakanan anda agar ia tidak memberi kesan buruk kepada kesihatan anda. Akhir sekali, diharapkan artikel ini dapat memberi manfaat kepada pembaca mengenai khasiat mengkudu.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.