≡ Menu

Kualiti Drama Dan Pembentukan Minda Dan Pemikiran Masyarakat.

Ketika membicarakan tajuk globalisasi dan media, khususnya media elektronik, dalam program perbincangan TV Malaysia baru-baru ini, saya memfokuskan perbincangan saya antara lainnya kepada satu perkara sahaja, iaitu dalam mengimbangi di antara matlamat media elektronik untuk menghibur, memberi maklumat dan mendidik para penonton, maka isu pembangunan pemikiran dan pencanaian minda haruslah dijadikan agenda utama dalam era globalisasi ini.

Program membangunkan pemikiran dan mencanai minda haruslah merupakan agenda utama yang disepadukan di dalam semua program TV, sama ada secara langsung di dalam program-program perbincangan, forum, sidang video, komentar peristiwa dan berita dan lain-lain, atau secara tidak langsung melalui program drama, filem cereka, komedi dan sebagainya.

Secara khususnya dalam program perbincangan tersebut saya menimbulkan isu hiburan dari segi definisi, konsep dan matlamatnya, apakah pihak yang merancang dan mengendalikan program media elektronik benar-benar memahami konsep hiburan yang dianggap sihat dan membangun dengan konsep hiburan melulu yang meracuni pemikiran dan meruntuhkan nilai-nilai murni dan nilai moral yang baik.

Dari satu segi yang lain, apakah lakonan dan drama-drama kita yang dihasilkan sebagai memenuhi keperluan membanyakkan program tempatan untuk media TV, benar-benar mempunyai kekuatan yang diperlukan untuk menghiburkan penonton, mendidik masyarakat dan merangsangkan pemikiran semua lapisan penonton yang mengikutinya? Atau sebaliknya merupakan longgokan beberapa pelakon glamour yang telah menempah nama dalam dunia hiburan, dengan rangkaian dialog menjemukan dalam bahasa rojak yang bercampur aduk di antara bahasa Melayu dan Inggeris yang terlalu banyak kesalahan struktur ayat dan nahunya?

Malah yang lebih penting dari itu, apakah skrip dan lakonan drama tempatan pada umumnya berjaya dikemukakan dalam sebuah persembahan yang menjadikan penonton berfikir, bertanya dan mendapatkan maklumat serta hiburan yang memuaskan, atau sebaliknya menyebabkan penonton yang matang merasa terperangkap dalam dunia kejahilan dan kedangkalan, atau terlalu kerdil untuk menggunakan daya intelek dan pemikirannya, kerana bahan yang ditontonnya hanya mengemukakan titik-titik kelemahan cerita dan pengolahan, memperkecil-kecilkan pemikirannya, malah ada kalanya seolah-olah memperbodoh-bodohkan para penonton yang menyaksikannya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Secara kebetulan selepas pembicaraan tentang isu ini di TV Malaysia, saya berpeluang menonton beberapa drama bersiri di TV Mesir semasa saya berada di Cairo baru-baru ini. Dari beberapa aspek yang tertentu pada umumnya saya dapat melihat persembahan yang agak berkualiti melalui siri drama tersebut yang saya percaya hasil dari skrip dan arahan yang baik oleh penulis skrip dan pengarah yang berpengalaman. Bahan-bahan sejarah yang diolahkan oleh penulis skrip drama berkenaan berjaya menggambarkan cara hidup, pemikiran dan tindak tanduk berbagai-bagai golongan masyarakat Mesir dalam sistem penjajahan dan sistem beraja yang dialami negara tersebut sebelum berlaku revolusi yang mengubah corak politiknya, dan seterusnya mengubah cara hidup dan pemikiran rakyat umumnya di bawah pemerintahan baru.

BACA:  Buli Siber: Berdosa Atau Tidak? Baca Untuk Faham

Perbandingan ini tidak bermaksud untuk memperkecil-kecilkan karya-karya drama tempatan, tetapi sekadar memberi sedikit gambaran bahawa skrip dan arahan yang baik, biasanya akan dapat menggambarkan dengan baik tradisi dan budaya hidup sesuatu masyarakat, serta konflik dan perkembangan pemikiran yang berlaku di kalangan masyarakat tersebut yang juga sekali gus dapat menonjolkan budaya dan nilai hidup masyarakat itu dalam bentuk yang jelas dan berkualiti.

Siri drama ini juga dapat memberikan gambaran umum tentang perasaan dan perjuangan golongan-golongan masyarakat untuk melakukan perubahan-perubahan yang tertentu dalam bidang pendidikan, pekerjaan, perjuangan hidup, pembinaan keluarga dan sebagainya. Drama, terutamanya drama bersiri, seharusnya mempunyai gambaran umum masyarakat tertentu, iaitu yang mewakili perwatakan dan menggambarkan peristiwa yang biasanya berlaku secara menyeluruh bagi sesuatu masyarakat yang digambarkan itu.

Dalam konteks ini, saya merasa amat tidak wajar dikemukakan drama TV yang menggambarkan perwatakan dan peristiwa serpihan yang berlaku di dalam masyarakat. Tidak semestinya peristiwa kecil yang berlaku di kalangan beberapa kerat manusia, atau di dalam satu dua keluarga yang tidak menggambarkan budaya hidup sebahagian besar masyarakat itu ditonjolkan begitu rupa seolah-olah itulah gambaran sebenar pemikiran, cara hidup dan budaya keseluruhan masyarakat yang cuba ditonjolkan itu.

Akibat dari keadaan inilah maka kita sering juga menonton drama TV yang mengemukakan budaya hidup dan pemikiran yang amat asing bagi masyarakat kita dan yang hanya mungkin mewakili peratusan yang terlalu kecil bagi masyarakat Malaysia. Hal ini tidak menafikan kepentingan konsep kesejagatan nilai kemanusiaan umumnya yang boleh dijadikan bahan persembahan lakonan dan drama. Tetapi konsep kesejagatan ini haruslah difahami dengan sebaik-baiknya, supaya konteks peristiwa dan perwatakan manusia dalam persembahan itu benar-benar difahami dan dipersembahkan dengan cara yang amat canggih supaya dapat memberi kepuasan sebenarnya kepada para penonton.

BACA:  6 Jenis Solat Sunat Yang Boleh Kita Dirikan Semasa Kita Qiamullail. Lazimi Qiamullail

Saya rasa, kita memerlukan para penulis skrip filem dan drama yang cekap dan mempunyai pandangan yang jauh dalam usaha membanyakkan filem dan drama yang bermutu di negara kita, di samping para penerbit dan pengarah yang sebenar-benarnya memahami seni penerbitan dan teknikal yang perlu, di samping mempunyai ketajaman hati nurani yang dapat menyelami pemikiran, perasaan dan emosi manusia umumnya. Manusia seni memerlukan pemikiran dan mental dinamik dan luas, di samping daya kreativiti dan imaginasi yang dikurniakan Allah S. W. T. sebagai satu keistimewaannya tersendiri.

Saya sentiasa merasakan bahawa pihak institusi pengajian tinggi dan akademi-akademi tertentu, seperti akademi TV3, amat wajar sekali menggabungkan tenaga dan pemikiran untuk mengendalikan kursus-kursus penulisan skrip drama, teknik pengeluaran dan arahan yang baik untuk menyediakan tenaga baru dalam hal ini yang diharapkan dapat mengubah imej drama kita yang selama ini tidak berdaya memikat hati para cerdik pandai dan golongan anak muda yang lebih gemar menonton siri-siri barat.
Era globalisasi bukan bererti kita hanya menjadi penerima dan menyalin segala-gala yang datang dari luar, terutamanya dari barat, tetapi kita harus turut aktif menyumbang dan mencipta sesuatu yang sesuai dan dapat memenuhi cita rasa kita sendiri.

Kita tidak seharusnya hanya berbangga dengan kuantiti program-program tempatan, kerana yang penting dan amat kita harapkan ialah kualitinya walaupun kuantitinya tidak banyak.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.