
Ujian Allah Terhadap Hambanya
ٱلَّذِیۤ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعࣲ
“Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan mereka dari kelaparan” [Surah Quraysh 4]
Antara nikmat yang dikurniakan Allah ialah nikmat kehidupan yang damai dan menyelamatkan kita daripada kelaparan dan kebuluran.
Kelaparan adalah satu ujian yang menguji dan meresahkan jiwa manusia.
وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَیۡءࣲ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِوَنَقۡصࣲ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَ ٰلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَ ٰتِۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِینَ
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar” [Surah al-Baqarah 155]
Ujian kelaparan menjadi antara ujian yang terbesar dalam kehidupan manusia. Di akhir zaman nanti, ketika datangnya Dajjal, kita juga akan diuji dengan keadaan lapar dan dahaga.
Lihatlah di zaman kini, tersebar dan terdengar pelbagai berita yang menunjukkan betapa peritnya ujian kelaparan. Sehingga manusia sanggup mencuri, merompak kerana tidak ada makanan. Bahkan sanggup membunuh orang kerana inginkan sesuap nasi. Nauzubillah minzalik.

Ketahuilah bahawa ujian kelaparan sangat menyakitkan. Bagi sesiapa yang mempunyai lebihan rezeki, tersangat perlu untuk membantu mereka yang dalam kelaparan. Janganlah hanya membazir dan terlalu mengumpulkan harta bertimbun-timbun sehingga kita terlupa ada orang yang sedang memerlukannya.
Oleh itu, tatkala Allah kurniakan kita nikmat kehidupan dan menyelamatkan kita daripada kelaparan maka banyakkanlah bersyukur serta mentaati Allah agar kehidupan kita sentiasa diberkati dan dirahmatiNya.
وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَىِٕن شَكَرۡتُمۡ لَأَزِیدَنَّكُمۡۖ وَلَىِٕن كَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِی لَشَدِیدࣱ
“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras” [Surah Ibrahim 7]
Jom berdoa dengan doa ini:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُوعِ ، فَإنَّهُ بِئْسَ الضَّجِيعُ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari kelaparan, kerana ia adalah sejelek-jelek teman tidur” (HR Abu Daud)
Bersyukurlah dengan nikmat kekenyangan dan kehidupan yang damai. Jangan sesekali mengkufurinya
