Kini umat Islam berada pada 10 malam terakhir Ramadan. Sejak awal Ramadan, kita dimaklumkan tentang kelebihan bulan ini khususnya pada 10 hari terakhirnya. Terdapat satu malam daripada 10 malam terakhir Ramadan yang pahala beribadat padanya lebih baik daripada beribadat selama 1,000 bulan.
Rasulullah SAW memberi peringatan keperluan mencari Lailatulqadar pada 10 hari terakhir Ramadan. Sabda baginda SAW bermaksud: “Carilah oleh kalian Lailatulqadar (malam kemuliaan) pada malam ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.” Muttafaq ‘alaih
Baginda menunjukkan contoh yang terbaik mengenai keutamaan menggandakan amal ibadat pada 10 malam terakhir Ramadan bagi memperoleh kebaikan daripada Lailatulqadar. Sebuah hadis menjelaskan tentang amalan Rasulullah SAW tatkala berada pada 10 malam terakhir Ramadan: “Nabi apabila memasuki 10 malam terakhir (Ramadan), baginda mengikat sarungnya, menghidupkan malamnya dan membangunkan isterinya (untuk menunaikan solat malam).” Muttafaq ‘alaih
Ramai yang menyedari kelebihan malam terakhir Ramadan. Justeru, dengan kebenaran menunaikan amal ibadah di masjid dan surau, ramai orang yang tidak melepaskan peluang untuk menggandakan amal ibadat secara berjemaah di rumah Allah. Suasana ini sama seperti keadaan sebelum berlakunya wabak Covid-19. Inilah antara nikmat besar kurniaan Allah SWT kepada seluruh hamba-Nya.
Bagaimanapun, terdapat dalam kalangan umat Islam yang memilih untuk mula ‘menghangatkan’ suasana hari raya pada malam terakhir Ramadan. Ini dilihatkan berdasarkan perbuatan sesetengah umat Islam sendiri yang mula bermain mercun dan bunga api tatkala umat Islam lain sedang menunaikan solat di masjid atau surau.
Perbuatan ini perlu diberi perhatian serius agar masyarakat menjadi lebih peka terhadap tuntutan Islam. Bunyi mercun kuat yang mengganggu jemaah menunaikan solat boleh mengundang rasa tidak selesa bagi mereka yang sedang beribadah. Ingatlah perbuatan mengganggu orang yang sedang solat termasuk perkara mendatangkan dosa.
Allah SWT mengingatkan manusia mengenai dosa menyakiti orang lain khususnya kepada mereka yang sedang berusaha mencari keredaan-Nya. Allah berfirman dalam al-Quran bermaksud: “Dan orang yang mengganggu serta menyakiti orang lelaki beriman dan orang perempuan beriman dengan perkataan atau perbuatan tidak tepat dengan sesuatu kesalahan dilakukannya, sesungguhnya mereka telah memikul kesalahan menuduh secara dusta serta berbuat dosa yang amat nyata.” Surah al-Ahzab ayat 58
Rasulullah SAW juga mengingatkan umatnya agar menjaga tingkah laku supaya tidak menyakiti orang Islam lain. Tindakan bermain bunga api dan mercun yang menghasilkan bunyi kuat ternyata mengganggu jemaah jika ia dilakukan di kawasan berhampiran rumah Allah. Tidakkah umat Islam yang melakukan perkara itu berasa bersalah kerana melakukan perbuatan buruk dengan mengganggu orang lain yang sedang mendekatkan diri mereka kepada Allah?
Sedangkan dalam solat orang Islam, ada doa yang dibacakan bagi memohon kesejahteraan untuk seluruh umat Islam. Mana mungkin kebaikan orang yang menunaikan solat dengan ada bacaan padanya mendoakan orang Islam lain, tetapi perbuatan mulia itu dibalas dengan perbuatan menyakiti mereka.
Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Seorang Muslim yang baik adalah orang yang Muslim lain selamat daripada lisan dan tangannya.” Hadis Riwayat al-Bukhari
Daripada Abu Musa, beliau bertanya: “Wahai Rasulullah, amalan Islam manakah yang paling utama?” Rasulullah menjawab: “Sesiapa yang Muslimin selamat daripada lisan dan tangannya.” Hadis Riwayat al-Bukhari
Semua hadis yang dinyatakan menunjukkan kewajipan setiap Muslim untuk menjaga lisan (lidah) dan tangan masing-masing daripada melakukan perbuatan menyakiti orang Islam lain.
Isu orang bermain mercun berhampiran kawasan masjid boleh dikawal jika ibu bapa memainkan peranan menasihati anak masing-masing. Ibu bapa bertanggungjawab menegur ahli keluarga sendiri agar mereka tidak sewenang-wenangnya melakukan perbuatan yang bukan sahaja dilarang agama, tetapi turut menjadi punca berlaku kemalangan jiwa seperti yang berlaku saban tahun.
Kebiasaannya perbuatan bermain mercun ini dilakukan oleh remaja yang memerlukan nasihat daripada orang dewasa. Namun ada juga orang cukup dewasa yang tidak mempunyai rasa sensitif terhadap urusan orang lain yang sedang berusaha meraih keampunan daripada Allah SWT dengan solat, zikir, doa, membaca al-Quran dan sebagainya.
Ibu bapa perlu mengingati pesanan yang dimaktubkan oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat yang keras kasar (layanannya)…”Surah at-Tahrim ayat 6
Perbuatan mengganggu orang yang sedang menunaikan solat bukan hanya melibatkan perbuatan bermain mercun, ia juga boleh berlaku dalam masjid dan surau. Ada dalam kalangan umat Islam yang memilih untuk menghabiskan solat Tarawih awal sebelum imam menamatkan solat secara berjemaah. Lalu mereka yang selesai solat Tarawih lebih awal duduk bersembang dalam kawasan ruang solat di masjid.
Keadaan seumpama itu juga termasuk dalam perbuatan mengganggu orang yang sedang solat jika suara sembang terlalu kuat tanpa memikirkan orang lain masih menunaikan solat. Carilah tempat yang sesuai untuk bersembang dan elakkan melakukan perkara yang tidak membawa manfaat kepada diri. Apatah lagi jika perbuatan itu boleh mengganggu orang lain yang sedang beribadah.
Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesungguhnya di antara kebaikan Islam seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat.” Hadis Riwayat at-Tirmidzi
Bagi kanak-kanak yang dibawa ke masjid dan mereka membuat bising, tegurlah mereka dengan penuh kasih sayang. Ibu bapa perlu memainkan peranan agar mereka tahu mereka tidak boleh membuat bising kerana boleh mengganggu orang lain di masjid. Sesuai dengan fitrah kanak-kanak yang mungkin belum mumayyiz, mereka perlu dididik dengan penuh kasih sayang agar hati mereka terus bertaut di rumah Allah.
Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat dan keampunan-Nya kepada seluruh umat Islam pada 10 malam terakhir Ramadan bagi mencari Lailatulqadar. Lailatulaadar adalah satu malam yang diselubungi dengan kesejahteraan dan keampunan daripada-Nya. “Sejahteralah malam (Lailatulqadar) itu hingga terbit fajar.” Surah al-Qadr ayat 5