1. Saya kira, jawapan balas Puan Latheefa Koya terhadap Mufti Wilayah dalam isu tudung ini adalah sesuatu yang tidak wajar. Ini kerana, adalah menjadi peranan Mufti dalam memberikan penjelasan terhadap kekeliruan yang ditimbulkan oleh pejuang Liberal berhubung isu forum “dehijabing” yang memberikan panduan tentang proses untuk wanita meninggalkan tudung mereka.
2. Hukum memakai tudung dan menutup aurat itu sendiri sudah pun jelas. Pihak Mufti telah memberikan pandangan yang jelas bahawa sesuatu perkara yang telah diwajibkan di dalam agama adalah sesuatu yang mesti disuruh. Apabila seseorang itu engkar dengan perintah agama, maka itu adalah urusan dia dengan Allah. Dalam isu ini, Mufti telah menjalankan tugas beliau.
3. Apabila Puan Latheefa mengkritik surat Mufti tesebut, ini menunjukkan beliau masih tidak jelas tentang peranan Mufti. Mufti berperanan memberikan penjelasan dalam persoalan yang timbul di dalam masyarakat dan menyatakan apa yang telah diperjelaskan oleh Syarak.
4. Di dalam surat tersebut, Puan Latheefa turut menggunakan dalil bahawa al-Imam al-Syafie dikatakan mendengar pandangan wanita dalam isu haid. Jadi menurut beliau, kita seharusnya mendengar pandangan wanita dalam isu tudung ini kerana suara dan pengalaman wanita adalah penting dalam perbincangan hukum-hakam fikah bahkan undang-undang secara umum.
Ini adalah sesuatu penghujahan yang lari dari isu asal perbincangan. Isu sebenar adalah isu tudung dan aurat wanita. Sekiranya Latheefa menjadikan al-Syafie sebagai hujah beliau, mari kita dengar apa yang dikatakan oleh al-Syafie tentang aurat. Kata al-Syafie:
وَكُلُّ الْمَرْأَةِ عَوْرَةٌ إلَّا كَفَّيْهَا وَوَجْهَهَا وَظَهْرَ قَدَمَيْهَا عَوْرَةٌ
“Dan seluruh tubuh wanita itu adalah aurat (yang mesti ditutup) melainkan tapak tangannya dan wajahnya. Sekiranya mereka menzahirkan kaki mereka, maka (kaki mereka) adalah aurat.” (al-Syafie, al-Umm).
4. Bahkan al-Imam al-Syafie ketika menafsirkan ayat tentang tudung di dalam surah al-nur jelas menyatakan bahawa aurat wanita itu adalah seluruh badannya melainkan muka dan tapak tangan. Perkara ini dinukilkan oleh al-Imam al-Muzni yang menyebutkan:
نقل المزني عن الشافعي أنه فسر الآية { وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا } قال الوجه والكفان
“al-Imam al-Muzni menukilkan bahawa al-Syafie ketika menafsirkan ayat al-Nur 31 ini (dan janganlah mereka menzahirkan perhiasan mereka kecual yang zahir sahaja), lalu al-Syafie menyebutkan (apa yang dimaksudkan dengan yang boleh dizahirkan itu adalah) muka dan tapak tangan sahaja.”
Bererti jelas daripada kalam al-Imam al-Syafie ini bahawa perempuan seharusnya menutup aurat mereka dan hanya boleh menzahirkan muka dan tapak tangan sahaja.
5. Dan sebagai penutup, sekiranya benar kita ingin mengikut jejak langkah al-Imam al-Syafie, maka dengarlah kata-kata hikmah dari beliau ini:
إذا حار أمرك في شيئين ولم تدري حيث الخطأ والصواب، فخالف هواك فإن الهوى يقود النفس إلى ما يُعاب.
“Sekiranya berlegar kepadamu satu perkara yang engkau tidak tahu mana satu yang benar dan mana satu yang salah, maka jauhilah nafsumu, tinggalkanlah hawa nafsu kerana ia hanya akan memimpin kamu kepada sesuatu yang mengaibkan.”
Tindakan liberal yang meninggalkan tudung adalah pendirian yang bersumberkan nafsu atau keinginan manusia sahaja sedangkan Allah berkehendakkan yang lebih baik dari itu.
Semoga Allah membimbing kita semua.