≡ Menu

Luluh Hati Dapat Tahu Makin Banyak Kes Bunuh Diri. Nauzubillah, Supaya Tidak Terjadi Pada Orang Terdekat

TEKANAN emosi boleh mengakibatkan seseorang itu mengambil satu tindakan yang di luar jangkaan seperti membunuh diri, memukul, mencederakan diri sendiri dan bermacam-macam lagi reaksi apabila mereka berada dalam keadaan sangat tertekan.

Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kita dikejutkan dengan pelbagai insiden membunuh diri dengan berjustifikasikan seperti menghadapi kemelut dan tribulasi kehidupan.

Fenomena seperti ini perlu dikaji dan ditekuni dengan lebih terperinci dari semua aspek, sama ada peribadi seseorang, gaya kehidupan, ekonomi, sosio budaya, faktor keluarga, dan pelbagai bentuk yang lain.

Ini semua boleh menyumbangkan ke arah tekanan yang melampau.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) jumlah mereka yang membuat panggilan bagi tujuan bantuan dan sokongan psikososial dari 1 Januari 2021 sehingga 18 Jun 2021 ialah sebanyak 122,328. Mereka mengadu dalam pelbagai masalah.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Ini merupakan satu jumlah yang cukup tinggi dan merunsingkan apabila masyarakat hidup dalam keadaan tertekan sehingga sanggup mengambil tindakan dengan membunuh diri.

Antara penyebab dan penyumbang kepada ingin membunuh diri ialah mereka yang datang daripada keluarga yang porak peranda, mempunyai masalah kemiskinan, tempat tinggal yang kurang memuaskan, kelemahan personaliti kendiri dan juga akibat ketakutan seperti kepada along atau seseorang.

Mereka yang membunuh diri tidak akan sama sekali masuk ke dalam syurga Allah.

Dalam Islam hukum membunuh diri merupakan salah satu perbuatan dosa besar yang boleh menyebabkan pelaku dicampakkan ke dalam api neraka.

Ini berdasarkan dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah: Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan disiksa dengan cara seperti itu pula. – [HR Bukhari 6047 dan Muslim 110].

Dalam hadis yang lain pula, Baginda menegaskan bahawa mereka yang membunuh diri tidak sama sekali akan masuk ke dalam syurga Allah.

Sabda Baginda Rasulullah: Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hambaku telah menyegerakan untuk mati, Aku telah mengharamkan ke atasnya syurga. – [HR Bukhari 3463].

Hadis ini menunjukkan pembunuh diri tidak dimasukkan ke dalam syurga adalah sebagai ancaman yang amat keras. Punca tekanan emosi itu bukan dari tekanan mental semata-mata bahkan ia berpunca daripada kecelaruan dan kelemahan hati, roh, nafsu dan akal.

BACA:  7 Doa Untuk Menangani Rasa Resah Dan Gelisah. Insya'Allah

Kelemahan hati yang menyebabkan rapuhnya hubungan individu itu dengan Allah menyebabkan kehidupannya menjadi sempit, seolah-olah tiada jalan keluar dari setiap inci masalah yang dihadapinya.

Oleh yang demikian, Jika seseorang dalam keadaan tertekan maka Islam mengajarkan beberapa tindakan yang boleh dilakukan agar seseorang itu dapat menghadapi cabaran kehidupan. Antaranya ialah:

Hanya kepada Allah sahaja tempat meminta kebaikan dunia dan akhirat.

1. Kembali kepada Allah

Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Tidak ada yang kekal melainkan Allah. Allah menjadikan dunia ini sebagai tempat untuk diuji dan bukan sebagai tempat untuk beristirahat hatta jika seseorang itu dikurniakan Allah dengan banyaknya ilmu, harta dan kebahagiaan namun ia tetap merupakan satu ujian dari Allah.

Seseorang perlu kembali kepada Allah dengan membetulkan keimanannya agar ia hanya bersandarkan kepada Allah.

Firman Allah di dalam Surah Al-Ikhlas ayat 2: Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.

2. Berjumpa pakar kesihatan

Tidak dinafikan ketika kita mencari jalan bagi menyelesaikan segala masalah yang kita hadapi adalah dengan bertanya kepada mereka yang pakar dalam bidangnya. Ini kerana dengan bertanya boleh menghilangkan keraguan.

Firman Allah di dalam Surah Al-Nahl ayat 43: Oleh itu bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan jika kamu tidak mengetahui.

Dalam kita mendekatkan diri kepada Allah jangan sesekali kita lupa untuk mengambil sebarang pendekatan yang dibenarkan syarak agar masalah tidak ditambah dengan masalah yang lain.

3. Jadikan bezikir sebagai amalan

Zikrullah adalah satu ibadat yang istimewa kerana ia terbuka dan mudah diamalkan meskipun seseorang itu berada dalam apa-apa keadaan pun. Maka, umat Islam perlu ambil peluang ini untuk tidak meninggalkan amalan ini, apatah lagi ia adalah arahan Allah dan Rasulullah yang mempunyai banyak kelebihan.

Bagi mereka yang berpaling dan tidak mengingati Allah maka kehidupannya akan berada dalam kesempitan seperti mana firman Allah di dalam Surah Ta Ha ayat 124: Dan sesiapa yang berpaling dari mengingatiKu maka buat dirinya kehidupan yang sempit dan Kami akan bangkitkan dia pada hari kiamat kelak dalam keadaan buta.

4. Mohon perlindungan daripada Allah daripada bisikan syaitan

BACA:  Perokok Dan Penghisap Vape Jika Dijangkiti Covid, Komplikasinya Teruk!

Syaitan Tsabr ditugaskan untuk menghasut manusia yang ditimpa musibah. Ia akan menghasut mereka yang ditimpakan musibah oleh Allah supaya berlebih-lebihan dalam bersedih sehingga mereka tidak reda akan ujian Allah.

Contohnya berlebih-lebihan dalam mengambil tindakan dalam menyelesaikan masalah hidup antaranya dengan membunuh diri.

Oleh kerana itu, perlu bagi seseorang untuk meminta perlindungan Allah daripada syaitan yang menyesatkan dengan melafazkan “Aa’uzubillahiminassyaitonirrojim” yang bermaksud: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam.” Ini kerana syaitan sentiasa menyuruh manusia melakukan sesuatu perkara yang di luar fitrah manusia.

5. Berkawan dengan sahabat yang positif

Sahabat adalah seorang yang setia kawan, boleh membantu apabila kita berada dalam kesusahan, mampu meredakan kesedihan, menghilangkan kebimbangan dan sanggup berjuang demi kebaikan kita. Sahabat adalah orang yang mampu menyimpan rahsia dan keaiban kita. Mereka akan sentiasa melindungi kita.

Betapa pentingnya memilih sahabat yang baik sehinggakan baginda Rasulullah menyebut di dalam hadisnya: Seorang mukmin itu cermin bagi mukmin lainnya, dan seorang mukmin itu saudara bagi mukmin lainnya; ia membantunya saat kesulitan serta menjaganya (membelanya) dari belakang. – [HR Abu Daud 4272].

Ingatlah membunuh diri bukan satu cara untuk menyelesaikan masalah di dunia bahkan ia akan menambahkan masalah di akhirat nanti yang mana mereka akan melakukan perkara yang demikian berulang-ulang kali.

Sabda Baginda Rasulullah: Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barang siapa membunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barang siapa membunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya. – [HR Muslim 109].

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.