≡ Menu

Makanan Yang Sesuai Bagi Mereka Yang Menderita Angin Ahmar, Insya’Allah

Apakah makanan yang sesuai untuk pesakit angin ahmar? Artikel ini akan membincangkan beberapa jenis makanan yang sesuai untuk pesakit ini

Pengenalan

Adakah anda mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan angin ahmar? Angin ahmar membawa maksud yang sama seperti strok iaitu berlakunya penyempitan salur darah atau salur darah pecah pada bahagian salur darah yang membawa darah beroksigen ke bahagian otak (1).

Apabila ini terjadi, akan berlakunya gangguan pada fungsi otak lalu mengakibatkan gangguan pada anggota badan yang lain kerana otak merupakan pusat bagi anggota badan. Mereka yang mengalami serangan angin ahmar perlulah mendapatkan rawatan perubatan dengan segera untuk mengelakkan komplikasi yang lebih buruk.

Simptom Angin Ahmar

Antara tanda-tanda ataupun gejala bagi mereka yang diserang angin ahmar adalah (2):

  1. Merasa lemah, kebas pada bahagian muka, tangan, kaki terutamanya pada sebelah bahagian badan.
  2. Berasa keliru, susah untuk bertutur atau memahami sesuatu perkara.
  3. Mempunyai masalah penglihatan.
  4. Mengalami kesusahan untuk berjalan dan hilang keseimbangan badan.
  5. Mengalami sakit kepala yang teruk
  6. Mengalami masalah menelan (disfagia)

Punca Angin Ahmar

Berikut merupakan punca-punca bagi serangan angin ahmar (3).

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
  1. Tekanan darah yang terlalu tinggi dan tidak terkawal
  2. Disebabkan oleh trauma seperti kemalangan
  3. Tabiat merokok
  4. Menghidap penyakit kencing manis
  5. Tahap kolesterol yang tinggi di dalam darah
  6. Gaya hidup yang sedentari dan berat badan yang berlebihan
  7. Pengambilan alkohol yang berlebihan
  8. Mempunyai penyakit kardiovaskular (jantung)

10 Makanan untuk Pesakit Angin Ahmar

1. Sumber tenusu rendah lemak

Antara kunci untuk mengelakkan serangan angin ahmar adalah mengamalkan makanan rendah lemak. Antara sumber tenusu rendah lemak adalah yogurt rendah lemak, susu rendah lemak, susu skim dan lain-lain. Beberapa kajian telah menunjukkan kebaikan pengambilan sumber tenusu rendah lemak terhadap risiko mendapat angin ahmar. Kajian yang dijalankan di Swedish mendapati bahawa penambilan makanan ini tidak meningkatkan risiko untuk mendapat angin ahmar (4). Satu lagi kajian turut mendapati bahawa pengambilan makanan sumber tenusu rendah lemak mengurangkan risiko untuk penyakit jantung dan tidak meningkatkan risiko untuk mendapat angin ahmar (5).

2. Makanan kaya beta glukan

Antara makanan yang mengandungi beta glukan adalah oat. Oat merupakan salah satu makanan yang sihat dan boleh diamalkan untuk menjaga kesihatan jantung dan mengurangkan paras kolesterol di dalam darah untuk mencegah angin ahmar. Hal ini kerana oat mengandungi kandungan beta glukan, sejenis serat yang mampu untuk mengurangkan paras kolesterol di dalam darah. Cadangan pengambilan beta glukan harian adalah 3g sehari di mana jumlah ini boleh dicapai dengan pengambilan oat sebanyak 3 sudu makan sehari.

3. Sayur-sayuran hijau

Pengambilan sayur-sayuran hijau juga penting bagi pesakit angin ahmar. Kerana seperti yang kita sedia maklum, sayur-sayuran hijau mengandungi kandungan serat yang tinggi. Seperti yang diterangkan di atas, pengambilan serat dapat membantu pengawalan kolesterol di dalam darah dan mengurangkan risiko untuk mendapat angin ahmar. Cadangan pengambilan sayur-sayuran sehari adalah sekurang-kurangnya 3 hidangan sehari (1 hidangan sayur-sayuran = 1 cawan sayur mentah/ ½ cawan sayur dimasak).

4. Buah-buahan

Selain sayur-sayuran, buah-buahan juga merupakan antara sumber serat yang kaya dengan sumber vitamin dan mineral yang lain. Cadangan pengambilan buah-buahan adalah 2 hidangan sehari dan ini harus diambil perhatian oleh pesakit kencing manis untuk mengelakkan kenaikan gula di dalam darah. Kajian turut mendapati bahawa pengambilan buah-buahan dapat mengurangkan risiko mendapat serangan angin ahmar (6).

5. Protein rendah lemak

Pesakit angin ahmar digalakkan untuk mengambil sumber protein yang rendah lemak seperti ikan, ayam yang dibuang kulit dan protein sumber tumbuhan seperti tempeh dan tauhu. Hal ini kerana lemak yang terdapat pada protein sumber haiwan seperti kulit ayam mengandungi kandungan kolesterol dan lemak tepu yang tinggi di mana pengambilan yang berlebihan akan meningkatkan paras kolesterol tidak baik di dalam darah.

6. Makanan bijirin penuh

Makanan bijirin penuh merupakan antara pilihan makanan yang bagus bagi pesakit angin ahmar. Hal ini kerana makanan ini turut mengandungi kandungan serat yang tinggi seperti sayur-sayuran hijau dan buah-buahan. Antara makanan bijirin penuh adalah roti dan biskut bijirin penuh, barli, jagung dan lain-lain. Satu kajian yang dijalankan terhadap wanita di Amerika Syarikat mendapati bahawa pengambilan makanan bijirin penuh berkait dengan risiko yang rendah untuk mendapat serangan angin ahmar (7).

BACA:  Teruslah Berdoa Diberikan Hidayah Walaupun Dilahirkan Dalam Islam. Insya'Allah

7. Makanan kaya lemak baik

Antara contoh lemak baik adalah omega 3. Antara contoh makanan yang kaya dengan omega 3 adalah ikan salmon, sardin, biji chia, kacang soya dan lain-lain. Omega 3 mempunyai sifat anti radang dan dapat mencegah inflamasi pada sel.

8. Makanan rendah natrium

Apakah itu makanan rendah natrium? Pada bahasa mudahnya, makanan rendah natrium merupakan makanan yang rendah kandungan garam. Elakkan pengambilan makanan terproses dan penggunaan garam yang berlebihan kerana ianya dapat meningkatkan tekanan darah. Tekanan darah yang terlalu tinggi dapat menyebabkan saluran darah pecah dan menyebabkan serangan angin ahmar.

9. Makanan yang mengandungi stanol dan sterol tumbuhan

Stanol dan sterol tumbuhan adalah sejenis komponen tumbuhan yang boleh didapati daripada tumbuhan dan mempunyai kebaikannya yang tersendiri iaitu dapat menurunkan paras kolesterol di dalam darah. Paras kolesterol yang berada di dalam julat normal dapat mencegah serangan angin ahmar. Antara makanan yang mengandungi stanol dan stenol tumbuhan adalah susu omega, sayur-sayuran, bijirin penuh dan minyak sayuran.

10. Makanan tinggi kalium

Kalium merupakan mineral penting yang diperlukan untuk pengecutan dan pengenduran otot badan. Antara makanan yang kaya dengan kalium adalah buah-buahan kering seperti kismis, pisang, avokado, bayam, brokoli dan lain-lain. Pengambilan kalium dikaitkan dengan pengawalan tekanan darah. Kajian mendapati bahawa pengambilan kalium berkait dengan risiko yang rendah untuk mendapat serangan angin ahmar (8).

Konklusinya, pesakit yang pernah mengalami serangan angin ahmar perlulah mengamalkan pengambilan makanan yang seimbang dan tidak meninggalkan pengambilan ubat-ubatan yang diberi oleh pegawai perubatan anda untuk mengelakkan serangan semula angin ahmar.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.