Makanlah Yang Halal Dan Baik
Firman Allah SWT;
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Wahai manusia, makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. – (Q.S Al-Baqarah: 168)
Pengajaran
1. Dr.Yusuf al-Qaradawi mendefinisikan halal sebagai perkara yang dibolehkan atau perkara yang diharuskan dan telah terlepas dari ikatan atau simpulan bahaya dan merupakan perbuatan yang dibenarkan oleh syarak.
2. Makanan yang baik mestilah suci, berkhasiat, memberi tenaga kepada manusia dan melengkapi diet yang diperlukan oleh seseorang individu.
3. Dalam al-Quran banyak ayat memerintahkan manusia dan orang beriman memilih makanan yang halal dan baik
4. Tidak semua makanan halal itu baik. Setiap orang mesti bijak memilih makanan yang benar-benar berkhasiat dan tidak memudaratkan kesihatan seperti banyak makan makanan yang berproses seperti burger, pizza dan seumpamanya.
5. Allah mengaitkan perintah makan rezeki yang baik dengan perintah untuk bersyukur dengan pelbagai nikmat kurniaan Allah.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ
Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari rezeki yang baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika kamu benar-benar hanya menyembah kepada-Nya. – (Q.S Al-Baqarah: 172)
6. Walaupun dibenarkan makan makanan yang halal, tetapi Allah mengingatkan kita agar tidak melampaui batas kerana ini tidak baik untuk kesihatan dan akan membawa kepada pembaziran.
كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَلَا تَطْغَوْا فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي وَمَنْ يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي فَقَدْ هَوَى
Makanlah yang baik-baik dari rezeki yang telah Kami berikan kepadamu dan janganlah kamu melampaui batas, yang menyebabkan kemurkaan-Ku menimpamu. Barangsiapa ditimpa kemurkaan-Ku, maka sungguh binasalah dia. – (Q.S Thaha: 81)
6. Makanan yang halal dan baik akan membantu seseorang untuk melakukan amal soleh, sebaliknya makanan yang haram akan memberatkan seorang hamba untuk beramal.
يَا أَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ
Allah SWT berfirman, “Wahai para rasul, makanlah dari (makanan) yang baik-baik dan kerjakanlah amal kebajikan. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. – (Q.S Al-Mukminun: 51)
7. Didiklah diri dengan berpuasa untuk mengawal pemakanan agar tidak makan yang haram serta melampaui batas untuk meringankan diri untuk beribadah.