≡ Menu

Manjakani, Buah Yang Pelbagai Kebaikan Untuk Kesihatan. Wajib Tahu

Apakah khasiat manjakani kepada kesihatan? Manjakani adalah sejenis tumbuhan yang bagus untuk kesihatan. Artikel ini akan membincangkan mengenai komponen-komponen penting di dalam manjakani dan kebaikannya kepada kesihatan.

Pengenalan

Secara tradisionalnya, manjakani telah digunakan untuk penyembuhan luka dan dijadikan jamu untuk kesihatan wanita terutamanya setelah bersalin. Manjakani banyak didapati di Asia, India, Greece dan Iran. Ia dikenali dengan nama Majuphal di India, Manjakani di Malaysia dan Gall oak atau Dyers’ Gall Magic Nut di dalam Bahasa Inggeris.

Manjakani atau nama saintifiknya Quercus infectoria adalah sejenis keradangan atau bengkak yang terjadi pada pokok oak akibat disuntik telur daripada serangga gall wasp. Ia bukannya sejenis buah yang selalu difikirkan ramai orang.

Manjakani atau bengkak tersebut terhasil daripada tindakbalas pokok oak tersebut dengan bahan kimia yang dihasilkan oleh serangga atau telurnya. Telur yang ada di dalam bengkak itu akan menetas dan akan keluar dengan membuat lubang. Oleh itu, manjakani ini akan kelihatan berlubang. Manjakani juga mempunyai warna yang sedikit gelap dan keras.

Kandungan Berkhasiat Dalam Manjakani

Jadi, apakah yang membuatkan manjakani ini bagus? Manjakani mengandungi pelbagai komponen yang menjadikan ia berkhasiat kepada sesiapa yang mengamalkannya. Antaranya, manjakani mengandungi komponen tannin iaitu sejenis antioksidan yang tergolong dalam kelompok polifenol yang berperanan sebagai antioksidan dengan pelbagai fungsi. Hampir 50% hingga 70% komponen di dalam manjakani terdiri daripada tannin.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Oleh itu, ini menunjukkan bahawa majoriti kandungan komponen di dalam manjakani adalah terdiri daripada tannin. Antara komponen tannin yang biasa dijumpai di dalam manjakani termasuklah gallic acidellagic acid dan methyl gallate.

Di samping itu, manjakani juga mengandungi asid fenolik, flavonoid, triterpenoids, steroid, saponin, glikosida dan thraquinone. Komponen-komponen ini memainkan peranan penting melalui pelbagai mekanisma bagi merawat pelbagai jenis penyakit.

10 Khasiat manjakani kepada kesihatan

Memandangkan manjakani mempunyai beberapa komponen yang penting untuk kesihatan, ia sekaligus memberi khasiat kepada kesihatan kita. Berikut adalah beberapa kebaikan manjakani kepada kesihatan:

1. Untuk kesihatan mulut

Antara khasiat manjakani adalah ia bagus untuk kesihatan mulut. Terdapat satu kajian yang menggunakan ubat gigi yang mengandungi pelbagai herba termasuklah manjakani. Kajian itu telah mendapati bahawa ubat gigi tersebut boleh mengurangkan simptom sakit gusi(gingivitis) dan mengurangkan plak di dalam mulut.

Kajian itu juga mendapati bahawa penggunaan ubat gigi yang mengandungi manjakani dan herba-herba lain boleh mengurangkan bakteria anaerobik yang boleh menyebabkan jangkitan di dalam mulut.

2. Aktiviti antibakteria

Manjakani juga mempunyai aktiviti antibakteria yang boleh membantu membasmi bakteria. Kajian telah mendapati bahawa ekstrak manjakani mempunyai kesan antibakteria terhadap pelbagai jenis bakteria termasuklah Streptococcus aureus, S. Sanguis, S. Mutan, Helicobacter pylori, Escherichia coli  dan Salmonella spp. Hal ini kerana manjakani mempunyai tannin dan gallic acid yang memainkan peranan penting bagi aktiviti antibakteria tersebut.

3. Sebagai antikulat

Di samping itu, manjakani juga mempunyai aktiviti antikulat yang boleh membantu mencegah pembentukan kulat yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit. Kajian telah mendapati bahawa ekstrak manjakani mempunyai aktiviti antikulat terhadap Candida albicasn, C. krusei dan C. glabrata.

Oleh itu, ini menunjukkan potensi manjakani sebagai rawatan atau pencegahan kepada jangkitan kulat pada manusia. Selain itu, oleh kerana sifatnya yang antikulat ini, ia seringkali dijadikan bahan tambahan untuk membersih faraj wanita. Namun begitu, kajian klinikal terhadap manusia berkenaan tujuan tersebut masih lagi kurang.

Oleh itu, kajian yang lebih mendalam masih diperlukan bagi membuktikan keberkesanannya.

4. Sebagai antiradang

Selain itu, manjakani juga berpotensi sebagai antiradang yang boleh membantu mencegah keradangan. Keradangan adalah sejenis tindakbalas badan terhadap kecederaan,jangkitan kuman atau benda asing di mana keradangan yang berpanjangan di dalam badan boleh menyebabkan penyakit seperti obesiti, diabetes, sakit jantung dan banyak lagi.

Terdapat pelbagai kajian yang telah menunjukkan bahawa ekstrak manjakani mempunyai aktiviti antiradang. Hal ini kerana manjakani mempunyai flavonoid dan tannin seperti gallic acid dan ellagic acid yang sememangnya terbukti mempunyai aktiviti antiradang.

5. Aktiviti antioksidan

Manjakani juga mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi. Hal ini kerana ia mempunyai pelbagai jenis antioksidan seperti fenol dan tannin. Kajian telah menunjukkan bahawa ekstrak manjakani boleh meningkatkan enzim antioksidan di dalam binatang.

Oleh itu, ini menunjukkan bahawa manjakani mempunyai aktiviti antioksidan yang boleh membantu melawan radikal bebas seterusnya mencegah oksidatif stres yang boleh menyebabkan penyakit.

6. Untuk penyembuhan luka

Oleh kerana aktiviti antibakteria dan antioksidan yang ada pada manjakani, ia membuatkan manjakani juga bagus untuk proses penyembuhan luka. Kajian ke atas tikus makmal mendapati bahawa ekstrak manjakani boleh mempercepatkan proses penyembuhan luka pada tikus yang mempunyai ulser atau luka yang disebabkan komplikasi diabetes (diabetic ulcer).

BACA:  Berbuat Baik Dengan Segelas Susu. Ingatlah, Sekecil-Kecil Perbuatan Baik, Besar Impaknya

Di samping itu, kajian yang dilakukan terhadap pesakit diabetes yang mempunyai luka di kaki (diabetic foot ulcer) juga telah mendapati bahawa penggunaan larutan ekstrak manjakani untuk mencuci luka telah membantu mempercepatkan proses penyembuhan luka tersebut.

7. Kesan antidiabetik

Di samping itu, manjakani juga mempunyai kesan antidiabetik. Terdapat kajian telah menunjukkan bahawa ekstrak manjakani mempunyai kesan antidiabetik yang boleh membantu menurunkan paras gula dalam darah.

8. Untuk ‘mengetatkan’ faraj wanita

Selain itu, manjakani juga telah digunakan secara tradisional untuk kesihatan wanita. Kajian yang dijalankan menggunakan gel yang mempunyai ekstrak manjakani telah mendapati bahawa gel tersebut boleh ‘mengetatkan’ faraj, meningkatkan cecair faraj sekaligus mengurangkan masalah kekeringan pada faraj wanita berbanding gel tanpa ekstrak manjakani.

Hal ini kerana manjakani mempunyai aktiviti antioksidan, antikulat, antibakteria dan antiradang yang boleh meningkatkan kesihatan wanita. Namun begitu, pemakanan manjakani perlulah mendapatkan nasihat daripada pakar kerana manjakani juga mempunyai kandungan logam berat yang boleh menyebabkan pelbagai kesan buruk sekiranya diambil secara berpanjangan terutamanya bagi ibu hamil atau berpantang.

9. Bagus untuk kesihatan tulang

Di samping itu, manjakani juga bagus untuk kesihatan tulang. Kajian dalam tabung uji telah mendapati bahawa ekstrak manjakani mampu membantu pembentukan tulang sekaligus berpotensi untuk mencegah masalah osteoporosis (tulang rapuh).

10. Mencegah kanser

Manjakani juga berpotensi untuk mencegah kanser. Kajian tabung uji telah mendapati bahawa ekstrak manjakani mempunyai aktiviti antikanser terhadap sel kanser serviks dan kanser ovari. Hal ini kerana kehadiran antioksidan seperti tannin yang terdapat di dalam manjakani yang boleh membantu mencegah penyakit.

Oleh itu, ini menunjukkan manjakani juga berpotensi untuk mencegah kanser dalam wanita.

Kesimpulan

Kesimpulannya, dapat dilihat manjakani mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan. Manjakani mempunyai aktiviti antioksidan, antibakteria, antikulat dan antiradang yang boleh membantu mencegah pelbagai jenis penyakit. Ia juga bagus untuk kesihatan mulut, untuk penyembuhan luka, untuk kesihatan wanita dan untuk kesihatan tulang.

Walaubagaimana, pemakanan manjakani sebagai supplemen tambahan perlulah mendapatkan nasihat daripada pakar memandangkan manjakani sering ditambah dengan herba lain yang boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan badan.

Oleh itu, pengguna haruslah bijak sebelum membuat keputusan dengan bertanyakan pendapat pakar. Akhir sekali, diharapkan artikel ini dapat memberi manfaat kepada pembaca mengenai khasiat manjakani.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.