≡ Menu

Masa Semakin Hampir. Bersediakah Kita Andai Hari Ini Hari Kita Yang Terakhir Di Dunia Ini?

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan banjir besar di beberapa negeri yang dikatakan berpunca daripada hujan yang amat luar biasa. Bahkan, ada kawasan yang tidak pernah dinaiki air selama 50 tahun, namun dikejutkan dengan kehadiran banjir mencecah sehingga paras leher. Kemungkinan pemanasan global dan peningkatan paras air laut akibat pencairan glasier di Kutub Utara dan Kutub Selatan mempunyai kaitan dengan jumlah air yang menyejat ke udara serta menurunkan hujan.

Mutakhir, saintis membuat penemuan yang mengejutkan apabila mereka mendapati sejak pertengahan 2020, bumi mula berputar lebih cepat mengakibatkan masa dalam sehari lebih pendek. Mereka percaya setiap hari kini sebenarnya adalah lebih pendek daripada 24 jam. Seorang saintis dari National Physical Laboratory (UK) menyatakan, bumi berputar pada paksinya lebih cepat sekarang berbanding sepanjang tempoh 50 tahun terakhir. Dianggarkan setiap hari pada 2021, bumi berputar lebih pantas sebanyak 0.5 milisaat sehari daripada 86,400 saat yang menyamai jangka masa 24 jam.

Beberapa saintis berpendapat, kepantasan putaran bumi ini mungkin disebabkan oleh pencairan glasier sepanjang abad ke-20 dan peningkatan paras air dalam jumlah besar di bahagian utara bumi. Hal ini turut menyebabkan pelbagai bencana alam berlaku. Bencana alam akibat cuaca ekstrem kesan perubahan iklim ini realitinya bukan semata-mata berlaku di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Menerusi al-Quran dan hadis telah pun mengkhabarkan kepada kita mengenai ketibaan hari kiamat yang boleh digambarkan dalam bentuk kegagalan penuh seluruh sistem cakerawala daripada berfungsi dan sampai waktu kehancurannya. Antaranya seperti firman Allah SWT: “Apabila langit terbelah, apabila bintang gugur bertaburan, apabila lautan pecah bercampur-baur dan apabila kubur dibongkarkan.” Surah al-Infitar: 1-4

Maka, untuk sampai ke peringkat itu, tidak mustahil prosesnya sudah pun mula berlaku pada masa sekarang sedikit demi sedikit. Sehinggalah nanti tiba kepada tahap yang lebih buruk apabila orbit sistem solar juga turut gagal berfungsi dengan baik. Kegagalan sistem ini turut menjadi tanda pemisah bagi membezakan antara orang yang beriman dengan orang tidak beriman. Ini berdasarkan hadis Abu Hurairah RA daripada Nabi SAW sabdanya: “Hari kiamat tidak akan bangkit sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat. Maka, apabila ia terjadi dan manusia melihatnya, mereka semua pun beriman. Namun, demikian itu adalah masanya iman seseorang tidak lagi memberi manfaat kepadanya.” Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Kita sebagai umat Islam wajib mempercayai apa yang dikhabarkan oleh Nabi SAW. Ini kerana apa yang disampaikan itu bukanlah satu ramalan, tetapi hakikatnya ia adalah perkhabaran yang benar. Putaran bumi lebih cepat yang mengakibatkan masa lebih pendek turut disebut oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, sabda baginda: “Hari kiamat tidak akan bangkit sehinggalah masa menjadi semakin dekat. Maka, setahun akan menjadi seperti sebulan, sebulan seperti seminggu, seminggu akan menjadi seperti sehari, sehari menjadi seperti sejam dan sejam pula menjadi seperti tempoh sisa bara yang menyala.” Riwayat at-Tirmizi. Hadis hasan

Tidak dinafikan terdapat dua tafsiran ulama mengenai maksud hadis ini. Kata Imam Ibn Abi Jamrah (wafat 695H) dalam kitab Bahjat an-Nufus: “Pendeknya masa itu boleh jadi berlaku secara hakiki dan boleh jadi juga berlaku secara maknawi (majazi). Adapun secara hakiki, ia belum muncul lagi (yakni pada zaman beliau) dan kemungkinan ia termasuk perkara yang akan berlaku apabila hampirnya hari kiamat. Adapun secara maknawi maka ia mempunyai tempoh masanya sejak ia muncul dan dapat diketahui oleh ahli agama serta ahli dunia yang bijaksana. Mereka akan mendapati diri mereka tidak mampu untuk mencapai tahap sesuatu pekerjaan mengikut kadar sama yang mereka pernah lakukan sebelum itu.

Lalu mereka pun mengeluh tanpa mereka tahu sebabnya, sedangkan kemungkinan ia disebabkan oleh kelemahan iman yang berlaku kesan daripada perkara menyalahi syarak yang dilakukan daripada berbagai aspek.” Kata Imam al-Kirmani (wafat 786H): “Pendapat yang hak adalah ia bermaksud hilangnya keberkatan daripada segala perkara termasuk masa dan itu adalah antara tanda hampirnya hari kiamat”.

Apa-apa pun menurut kedua-dua tafsiran, pendeknya masa yang kita rasai pada masa kini sama ada ia memang benar terjadi secara realiti atau kerana hilangnya keberkatan pada masa adalah kebenaran petanda hampirnya hari kiamat.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.