
1. Dahulu lagi Rasulullah berpesan, ada seorang wanita yang masuk ke neraka kerana menyeksa kucing. Hari ini kita menyaksikan sendiri bagaimana perlakuan tersebut dirakamkan. Tindakan seorang lelaki yang menjerut dan menggantung kucing tersebut sehingga mati adalah insiden yang sangat sadis.
2. Hadith tersebut disampaikan kepada kita melalui bentuk penceritaan. Sabda Rasulullah:
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ فِي هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا ، فَلَا هِيَ أَطْعَمَتْهَا ، وَلَا هِيَ أَرْسَلَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الْأَرْضِ ، حَتَّى مَاتَتْ هَزْلً
“Seorang wanita masuk ke neraka kerana seekor kucing yang diikatnya, dia tidak memberinya makan, tidak juga dia membebaskan kucing tersebut untuk mencari makan dibumi ini, sehinggalah kucing tersebut mati kelaparan.
3. Hadith ini mengingatkan kepada kita bagaimana satu perkara yang dianggap remeh oleh seseorang boleh mengheret dirinya ke neraka. Dengan sebab itu kita digesa untuk menjauhi segala kezaliman sekalipun dengan yang haiwan.
4. Hadith ini turut menggambarkan kepada kita manusia boleh menjadi lebih kejam dari binatang. Rasulullah menggunakan contoh seorang perempuan yang sifat semulajadinya sepatutnya lembut dan penyayang. Namun, ia boleh jadi keras dan zalim sekiranya tidak dipandu dengan syarak.
Moga Allah membimbing kita.
