Media Sosial
Perkembangan dunia teknologi dan media massa menjadikan kerja semakin mudah dan efisien. Banyak pekerjaan mampu dilaksanakan dengan berkesan oleh kepintaran teknologi yang tercipta hari ini. Walau bagaimanapun, perlu diambil cakna akan kehancuran yang bakal menimpa sesebuah tamadun sekiranya tidak diambil langkah waspada terhadap kesan-kesan negatif kemudahan teknologi yang ada.
Manusia berperanan menyusun dan merencana agar kebaikan sentiasa menjadi matlamat utama setiap tindakan yang ingin diambil. Misalnya, menggunakan platform yang wujud seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, WhatsApp, Telegram, TikTok dan banyak lagi bagi tujuan pendidikan, dakwah, perniagaan adalah inisiatif yang sangat baik.
Malangnya, terdapat golongan yang menyalahguna media sosial dengan melakukan perbuatan hina, keji dan terlarang dalam agama. Melakukan maksiat dan dosa dengan menyebarluas berita palsu, menimbulkan fitnah, menyalakan api kebencian dan permusuhan, menghasut, menipu, memperdaya dan banyak lagi. Tidakkah ini dipanggil sebagai mengkufuri nikmat?
Ingatlah firman Allah SWT;
إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu.” (Surah al-Maidah ayat: 91)
Nabi SAW dalam hadith yang diriwayatkan Huzaifah R.A:
لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ نَمَّامٌ
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba).” (HR Bukhari no: 6056)
Berusahalah kita menjadi ejen penyatu bukan pemisah apatah lagi pemusnah.
Sumber: https://t.me/kapsul_tazkirah