
“Bolehkah Saya Melakukan Korban Untuk Orang Lain?”
Ibadah korban ini bukanlah untuk memberi makan kepada orang yang memerlukan atau kepada tetamu yang hadir dalam majlis korban.
Sebenarnya ibadah korban ini adalah kerana Allah SWT.
Jadi tidak hairanlah ramai yang mengerjakannya jika diperbetulkan niat semata-mata kerana Allah.
Seperti ibadah sunah yang digalakkan yang lain seperti Solat Sunah Tarawih atau Membaca Doa Qunut, adakah ibadah itu niatnya untuk menjadi muslim yang baik?
Semestinya tidak.
Jika disemak semula niat yang dilafazkan ketika melakukan ibadah tersebut, kita akan lihat ibadah itu adalah semata-mata kerana Allah SWT.
Menjadi muslim terbaik cumalah hikmah sampingan selepas melaksanakan ibadah tersebut.
Sama juga seperti korban, niat yang betul semata-mata kerana Allah dan hati yang ikhlas melaksanakan ibadah tersebut akan memberikan hikmah sampingan seperti memberi makan kepada mereka yang memerlukan dan bersedekah.
Oleh sebab itu ramai yang berasa ralat sekiranya tidak mampu melaksanakannya.
Atas nekad untuk beribadah, mereka berusaha pula untuk mengumpul wang demi melakukan korban, dan paling indahnya silaturrahim sesama muslim, ada pula yang memilih untuk melakukan korban untuk orang lain.
Pihak EZ Qurban juga pernah menerima beberapa soalan atau permintaan sama ada boleh atau tidak untuk korbankan bagi pihak yang lain seperti ibu bapa, adik beradik atau suami isteri.
Ini adalah jawapannya hasil daripada rujukan laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Syariat Ibadah Korban
Ibadah korban ini adalah syiar Islam atau lambang kebesaran, keagungan Islam. Semua orang Islam perlu menjaga dan mengamalkannya kerana syiar ini adalah simbol kepada ke-Islaman seseorang.
Ibadah korban ini adalah sunnah muakkad yang memberikan semua orang Islam sedikit peringatan tentang pengorbanan Nabi Ibrahim AS yang rela anaknya Nabi Ismail AS disembelih sebagai korban kerana mengikut perintah Allah SWT.
Ini semata-mata untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT:
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
Maksudnya: Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)
Surah Al-Kausar: 2
Terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA katanya:
انَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ وَأَنَا أُضَحِّي بِكَبْشَيْنِ.
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW melakukan korban dengan dua ekor kambing dan aku juga melakukan korban dengan dua ekor kambing.
Riwayat al-Bukhari: 5553

Melakukan Korban Untuk Orang Lain
Setiap amal ibadah yang dilakukan dengan ikhlas ada ganjarannya. Mungkin tidak di dunia tetapi dapat ‘ditebus’ pada hari Pengadilan kelak.
Amalan yang dilakukan ada ganjaran mengikut apa yang diusahakan. Tentang hal ibadah pula, ia tidak boleh dilakukan oleh orang lain.
Melainkan sekiranya ada dalil yang membolehkannya.
Firman Allah SWT:
وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ
Maksudnya: Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.
Surah al-Najm: 39
Begitu juga Firman Allah SWT:
لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ
Maksudnya: Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.
Surah al-Baqarah: 286
Tentang ibadah untuk orang lain oleh orang lain, semakan dari kitab-kitab daripada ilmuwan Islam telah menyatakan:
Dr. Wahbah Zuhaili (al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu): “Mengikut pandangan ulama’ Syafi’e, tidak boleh melakukan ibadah korban selain daripada mendapat keizinannya. Begitu juga, ke atas orang yang meninggal dunia tidak boleh melainkan sekiranya diwasiat maka diharuskan”.
Imam Nawawi (al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab): “Sekiranya seseorang itu melakukan ibadah korban ke atas orang lain tanpa keizinan daripadanya, maka tidak terlaksana ibadah korban ke atasnya”
Dr. Muhammad Zuhaili (al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Stafi’e): “Bahawa tidak sah melakukan ibada korban ke atas seseorang yang hidup melainkan mendapat keizinan daripadanya. Ini kerana ibadat secara asalnya tidak boleh dilakukan oleh orang lain melainkan di datangkan dengan dalil. Terutamanya apabila tidak mendapat keizinannya. Akan tetapi sekiranya seseorang daripada isi rumah itu melakukan korban maka tertunai sunat kifayah ke atas keluarga yang lain walaupun mereka tidak mengetahuinya”
