Soalan :
Assalamualaikum wbt ustaz Datuk. Tahniah di atas perlantikan sebagai Menteri agama. Saya ada satu persoalan yang sudah lama ingin ditanya. Kita sedia maklum adanya janji Nabi SAW kepada 10 orang para sahabat bahawa mereka akan masuk ke dalam syurga. Soalan saya, setahu saya kesemua 10 orang sahabat ini berasal dari keturunan Quraisy.Adakah Nabi SAW bersikap rasis bila menyatakan bahawa 10 orang sahabat ini dijanjikan syurga. Kenapa Nabi SAW tidak menyebut sahabat yang selain dari keturunan Quraisy seperti Bilal Bin Rabah, Suhaib Al-Rumi, Salman Al-Farisi dan lain-lain. Kenapa mesti 10 orang yang berketurunan Quraisy?. Mohon pencerahan dari pihak Datuk untuk saya yang jahil ini.
Jawapan :
Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Sahabat Nabi SAW adalah merupakan orang yang pernah melihat Nabi SAW dan beriman dengan Baginda dan risalah yang dibawanya. Mereka merupakan generasi terbaik yang mendapat didikan terus daripada Nabi SAW. Bahkan di dalam Al-Quran Allah SWT mengiktiraf kedudukan dengan gelaran ‘redha ke atas mereka’. Firman Allah SWT :
وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلْأَوَّلُونَ مِنَ ٱلْمُهَـٰجِرِينَ وَٱلْأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحْسَـٰنٍ رَّضِىَ ٱللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا۟ عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّـٰتٍ تَجْرِى تَحْتَهَا ٱلْأَنْهَـٰرُ خَـٰلِدِينَ فِيهَآ أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ ٱلْفَوْزُ ٱلْعَظِيمُ
Maksudnya : “Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”
(Surah Al-Taubah : 100)
Sheikh Mustafa Al-Maraghi di dalam tafsirnya menyebut bahawa ayat ini memberikan maksud Allah SWT meredhai keislaman dan keimanan para sahabat. Allah menerima amal ketaatan mereka dan mengampunkan kesilapan mereka. Dengan adanya mereka, Islam terus menjadi mulia dan musuh-musuh dari kalangan orang musyrikin dan ahli kitab ditundukkan. Allah redha terhadap mereka dengan diberikan nikmat agama dan dunia. Allah selamatkan mereka daripada kesyirikan, memberikan hidayah dari terus tersesat, Allah muliakan mereka dan menjauhkan mereka dari kefakiran. (Rujuk Tafsir Al-Maraghi, 11/11).
Di dalam riwayat-riwayat hadis, Nabi SAW seringkali menyebut kelebihan-kelebihan para Sahabat Baginda. Di antaranya :
- Daripada Abdullah Bin Mas’ud bahawa Nabi SAW bersabda :
خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ
Maksudnya : “ Sebaik-baik manusia adalah manusia yang berada di kurun aku (para sahabat), kemudian orang yang menuruti mereka kemudian orang yang menuruti mereka…”
Riwayat Al-Bukhari (3651)
- Daripada Abu Sa’id Al-Khudri bahawa Nabi SAW bersabda :
لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ
Maksudnya : “ Jangan kalian menghina Sahabatku. Jika ada salah seorang dari kalian menginfakkan emas sebanyak bukit uhud maka tidak akan sama dengan segantang atau setengah gantang yang diinfakkan oleh mereka.”
Riwayat Al-Bukhari (3673) & Muslim (2540)
Banyak lagi kelebihan-kelebihan para Sahabat yang disebutkan oleh Nabi SAW. Oleh kerana mereka ini mempunyai kedudukan istimewa di sisi Allah dan Rasulullah maka tidak boleh sewenang-wenangnya mencela dan menghina mereka. Apatahlagi merendah-rendahkan mereka. Imam Al-Tahawi menyebut :
“Kita mencintai sahabat Nabi dan tidak melampau. Tidak meyisihkan salah seorang dari mereka. Kita benci dan marah kepada orang yang membenci mereka. Kita tidak sebut tentang mereka melainkan yang baik-baik sahaja.Mencintai mereka adalah sebahagian dari agama dan iman. Membenci mereka adalah perbuatan yang kufur, nifaq dan merupakan sikap yang melampau.” (Rujuk Al-‘Akidah Al-Tahawiyah, hlm 43 no 93)
Justeru itu, seberang cacian atau penghinaan terhadap para Sahabat Nabi adalah perbuatan yang haram dan boleh keimanannya boleh dipertikai.
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, hadis-hadis berkenaan sepuluh orang para sahabat yang dijamin syurga banyak diriwayatkan di dalam kitab-kitab hadis yang muktabar. Di antaranya :
- Sahih Ibnu Hibban. Beliau berkata :
أخبرنا أبو خليفة حدثنا الحوضي عن شعبة عن الحر بن الصياح : عن عبد الرحمن بن الأخنس أنه كان في المسجد فذكر المغيرة عليا فنال منه فقام سعيد بن زيد فقال : أشهد على رسول الله صلى الله عليه و سلم أني سمعته يقول عشرة في الجنة : النبي صلى الله عليه و سلم في الجنة و ابو بكر في الجنة و عمر في الجنة و عثمان في الجنة و علي في الجنة و طلحة بن عبيد الله في الجنة و الزبير بن العوام في الجنة و سعد بن مالك في الجنة و عبد الرحمن بن عوف في الجنة ولو شئت لسميت العاشر قالوا من هو فسكت فقالوا من هو فقال : سعيد بن زيد
Maksudnya : “ Abu Al-Khalifah mengkhabarkan kepada kami daripada Syu’bah daripada Al-Hurr Bin Al-Siyah daripada Abdurrahman Bin Al-Akhnas bahawa ada satu ketika beliau berada di Masjid. Maka Mughirah menyebut tentang Ali dan beliau mencela Ali. Lalu Sa’id Bin Zaid bangun dan berkata : Aku bersaksi dengan nama Rasulullah SAW bahawa aku mendengar Baginda bersabda tentang sepuluh orang yang berada di dalam syurga : Nabi berada di syurga, Abu Bakar berada di syurga , Umar berada di syurga, Uthman berada di syurga, Ali berada di syurga, Talhah Bin Ubaidullah berada di syurga, Zubair Bin Al-‘Awwam berada di syurga, Sa’ad Bin Malik berada di syurga, Abdurrahman Bin ‘Auf berada di syurga. Kalau kamu mahu akan aku namakan orang yang kesepuluh. Para sahabat bertanya siapakah dia lalu Nabi SAW diam. Para sahabat bertanya lagi : siapakah dia?. Maka Nabi SAW menjawab : Sa’id Bin Za’id.”
Riwayat Ibnu Hibban (6993)
- Sunan Al-Kubra oleh Imam Al-Nasa’i. Beliau berkata :
أخبرنا محمد بن المثنى قال أنا يحيى بن سعيد قال أنا صدقة بن المثنى قال حدثني جدي رباح بن الحارث أن سعيد بن زيد قال اشهد على رسول الله صلى الله عليه وسلم بما سمعت أذناي ووعاه قلبي وإني لم أكن لاروي عليه كذبا يسألني عنه إذا لقيته أنه قال أبو بكر في الجنة وعمر في الجنة وعلي في الجنة وعثمان في الجنة وطلحة والزبير في الجنة وعبد الرحمن بن عوف في الجنة وسعد بن مالك في الجنة وتاسع المؤمنين لو شئت أن أسميه لسميته فرج أهل المسجد يناشدونه يا صاحب رسول الله صلى الله عليه وسلم من التاسع قال ناشدتموني بالله العظيم أنا تاسع المؤمنين ورسول الله صلى الله عليه وسلم العاشر أبو عبيدة بن الجراح رضي الله تعالى عنه
Maksudnya : “ Muhammad Bin Al-Muthanna mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata : Yahya Bin Sa’id mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata: Sadaqah Bin Al-Muthanna mengkhabarkan kepada kami. Beliau berkata : Datuk aku, Rabah Bin Al-Harith menceritakan bahawa Sa’id Bin Zaid berkata : Aku bersaksi atas nama Rasulullah SAW yang mana aku dengar dengan kedua telingaku dan aku peliharanya dengan hatiku. Aku tidak akan meriwayatkan benda yang bohong. Nabi SAW bersabda : Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Ali di syurga, Uthman di syurga, Talhah di syurga, Zubair di syurga, Abdurrahman Bin ‘Auf di syurga dan Sa’ad Bin Malik di syurga. Dan orang yang kesembilan jika kalian mahu akan aku namakan. Lalu kesemua orang yang berada di masjid memintanya menamakan orang yang kesembilan. Mereka berkata : wahai sahabat Rasulullah, siapakh orang yang kesembilan?. Sa’id berkata : Demi Allah, akulah orang yang kesembilan dan orang yang kesepuluh adalah Abu Ubaidah Bin Al-Jarrah.”
Riwayat Al-Nasaie (8193) di dalam Al-Sunan Al-Kubra
Abu daud juga meriwayatkan dengan lafaz yang hampir serupa di dalam kitabnya Al-Sunan no 4651.
Sa’ad Bin Malik yang disebutkan di dalam hadis ini ialah Sa’ad Bin Abi Waqqas. Kerana nama sebenar Abu Waqqas ialah Malik bin Ahib Bin Abd Manaf Bin Zuhrah Bin Kilab Bin Murrah Bin Ka’ab Bin Luayy. (Rujuk Siyar ‘Alam Al-Nubala, 1/93).
Ya memang benar jika dilihat kepada kesemua sepuluh orang para yang sahabat yang dijamin syurga ialah mereka yang berasal dari keturunan arab Quraisy.
- Abu Bakar daripada Bani Tamim
- Umar Bin Al-Khattab daripada Bani ‘Adiyy
- Uthman nasabnya bertemu dengan Nabi pada Qusai Bin Kilab
- Ali merupakan sepupu Nabi
- Talhah Bin Ubaidullah merupakan Bani Tamim
- Zubair Bin Al-‘Awwam daripada Bani Asad
- Sa’ad Bin Abi Waqqas daripada Bani Zuhrah
- Abdurahman Bin ‘Auf juga daripada Bani Zuhrah
- Sa’id Bin Zaid daripada Bani Adiyy
- Abu Ubaidah Bin Al-Jarrah daripada Bani Al-Harith Bin Fihr yang merupakan saudara lelaki kepada Ghalib iaitu moyang Nabi SAW dan para sahabat yang disebutkan.
Kesemua nasab mereka bertemu pada moyang Nabi SAW iaitu Fihr Bin Malik Bin Al-Nadr Bin Kinanah Bin Khuzaimah Bin Mudrikah Bin Ilyas Bin Mudhor Bin Nazzar Bin Ma’ad Bin Adnan. Inilah nasab yang masyhur bagi keturunan Quraisy. Kebanyakan Mereka ini digelar sebagai Quraisy Al-Battah iaitu mereka yang merupakan anak cucu Ka’ab Bin Luayy yang juga mengendali dan menguasai hal ehwal di Mekah kecuali Abu Ubaidah. Keturunannya digelar sebagai Quraisy Al-Zawahir.(Rujuk Qalaid Al-Jumman Fi Al-Ta’rif Bi Qabail Al-‘Arab Al-Zaman, 1/40).
Namun, dakwaan mengatakan bahawa nasab mereka yang bertemu dengan Nabi menyebabkan Nabi memberi jaminan syurga kepada mereka sehingga menyebut Nabi SAW rasis kerana hanya mementingkan keturunan Quraisy adalah satu dakwaan yang salah dan tidak benar.
Jika dilihat, kesemua mereka mereka adalah di antara golongan yang awal menyahut seruan dakwah Nabi SAW. Dengan sebab pengorbanan yang telah mereka lalui bersama Nabi SAW, maka mereka selayaknya diberikan khabar gembira jaminan syurga oleh Nabi SAW.
Tambahan pula, kesemua mereka disebutkan oleh Nabi SAW di dalam satu hadis. Ini menunjukkan bahawa mereka semua mempunyai kelebihan dan kedudukan di sisi Nabi SAW. Dari sudut yang lain, Nabi SAW menyebut nama-nama mereka di dalam satu hadis berkemungkinan disebabkan mereka duduk di dalam satu majlis yang sama. Ini isyarat yang boleh dilihat menerusi hadis tersebut.
Walaupun Nabi SAW menjamin sepuluh orang sahabat dengan syurga, ianya tidak menafikan jaminan bagi Sahabat yang lain. Al-Munawi menyebut :
“Jaminan Nabi SAW terhadap sepuluh orang sahabat tidak menafikan jaminan terhadap para sahabat yang lain. Ini kerana secara zahirnya mereka yang dijamin syurga disebutkan dari kalangan 10 orang para sahabat adalah kerana nama-nama mereka disebutkan secara serentak. Adapun para sahabat lain disebutkan secara berasingan.”(Rujuk Faidh Al-Qadir Syarh Al-Jami’ Al-Saghir, 1/91).
Ini bermakna, sepuluh orang sahabat yang disebutkan oleh Nabi SAW tidak menafikan adanya jaminan terhadap para sahabat yang lain.
Imam Al-Nawawi menyebut bahawa memang sabit bahawa Nabi SAW memberi jaminan syurga kepada sepuluh orang sahabat. Namun begitu, sabit juga di dalam hadis bahawa Nabi SAW juga memberi jaminan syurga kepada sahabat yang lain seperti cucu Baginda, Hasan dan Husain yang mana mereka merupakan penghulu para pemuda di syurga. Begitu juga dengan Ukasyah,Thabit Bin Qays dan para sahabat yang lain.” (Rujuk Al-Minhaj Al-Muhaddithin Wa Sabili Tolibihi Al-Muhaqqiqin Fi Syarh Sahih Al-Imam Abi Al-Husain, 8/248).
Bahkan di dalam hadis yang lain, Nabi pernah memberikan jaminan syurga kepada para sahabat yang bukan daripada bangsa arab Quraisy. Di antaranya Thabit Bin Qays yang bukan berasal dari keturunan Quraisy. Beliau merupakan orang yang berasal dari kabilah Khazraj di Madinah. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Anas Bin Malik, beliau berkata :
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ افْتَقَدَ ثَابِتَ بْنَ قَيْسٍ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَا أَعْلَمُ لَكَ عِلْمَهُ فَأَتَاهُ فَوَجَدَهُ جَالِسًا فِي بَيْتِهِ مُنَكِّسًا رَأْسَهُ فَقَالَ لَهُ مَا شَأْنُكَ فَقَالَ شَرٌّ كَانَ يَرْفَعُ صَوْتَهُ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ وَهُوَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ فَأَتَى الرَّجُلُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ قَالَ كَذَا وَكَذَا فَقَالَ مُوسَى فَرَجَعَ إِلَيْهِ الْمَرَّةَ الْآخِرَةَ بِبِشَارَةٍ عَظِيمَةٍ فَقَالَ اذْهَبْ إِلَيْهِ فَقُلْ لَهُ إِنَّكَ لَسْتَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ وَلَكِنَّكَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ
Maksudnya : “Sesungguhnya Nabi SAW tidak menjumpai Thabit Bin Qays. Maka seorang sahabat berkata : Wahai Rasulullah, aku tahu di manakah dia. Maka sahabat tersebut pergi kepada Thabit dan menjumpainya dalam keadaan sedang menundukkan kepalanya. Maka dia berkata kepada Qays : Apakah yang berlaku kepada kamu. Qays kata : keburukan berlaku kepada aku. Dia (Qays) pernah meninggikan suara melebihi suara Nabi SAW maka telah hancurlah amalannya dan jadilah dia dari kalangan ahli neraka. Maka sahabat tersebut pergi menemui semula Nabi SAW dan menceritakan kepada Baginda bahawa Qays menyebut begini begitu. Maka Nabi SAW bersabda : Pergilah kepadanya dan katakan kepadanya : Wahai Qays kamu bukan dari kalangan ahli neraka tapi kamu adalah penghuni syurga.”
Riwayat Al-Bukhari (4846)
Begitu juga Nabi SAW pernah memberikan khabar syurga kepada Bilal Bin Rabah yang berkulit hitam berasal dari Habsyah. Nabi SAW bersabda :
يَا بِلَالُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الْإِسْلَامِ فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الْجَنَّةِ قَالَ مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُورًا فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ
Maksudnya : “ Wahai Bilal, ceritakan kepada aku amalan yang paling banyak kamu lakukan di dalam Islam. Kerana sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kasut kamu di syurga. Bilal berkata : Tidak ada amalan yang banyak aku lakukan. Cuma aku akan bersuci siang dan malam dan aku akan solat selepas bersuci.”
Riwayat Al-Bukhari (1149)
Jika Nabi SAW seorang yang rasis sudah pasti Nabi SAW tidak akan menyebutkan perkara ini. Tambahan pula, Bilal bukan seorang yang berbangsa arab apatahlagi berketurunan Quraisy. Beliau adalah seorang yang berasal dari Habsyah. Tempat di mana penduduknya berkulit hitam.
Di dalam riwayat yang lain, Nabi SAW pernah bersabda :
لَا يَدْخُلُ النَّارَ أَحَدٌ مِمَّنْ بَايَعَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ
Maksudnya : “ Tidak akan ada seorang yang berbai’ah di bawah pokok (Bai’ah Ridhwan) masuk ke dalam neraka.”
Riwayat Al-Tirmizi (3860) & Abu Daud (4653).
Maka dapat difahami bahawa Nabi SAW menjamin syurga ke atas mereka yang menyertai Bai’ah Al-Ridhwan yang mana peristiwa ini bukan sahaja disertai oleh sahabat yang berketurunan Quraisy akan tetapi terdapat juga para sahabat yang lain. Maka jaminan syurga bukan hanya pada para sahabat yang berketurunan Quraisy. Sesiapa sahaja yang menyertai Bai’ah Al-Ridhwan sama ada berketurunan Quraisy ataupun tidak, maka dia mendapat jaminan syurga daripada Nabi SAW.
Di samping itu, dakwaan mengatakan Nabi SAW rasis sangat bercanggah dengan firman Allah SWT :
وَمَآ أَرْسَلْنَـٰكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَـٰلَمِينَ
Maksudnya : “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
Surah Al-Anbiya’ : 107
Kesimpulannya, dakwaan mengatakan Nabi SAW adalah seorang yang rasis hanya semata-mata Nabi memberikan jaminan syurga kepada sepuluh orang para sahabat yang berketurunan arab Quraisy adalah satu dakwaan yang salah dan tersasar dari kebenaran. Ini kerana di sana terdapat juga jaminan syurga oleh Nabi SAW yang diberikan kepada para Sahabat yang bukan dari bangsa keturunan arab Quraisy seperti Thabit Bin Qays, Bilal Bin Rabah dan lain-lain lagi.
Semoga Allah SWT memberikan taufiq dan kefahaman kepada kita semua. Wallahu’alam.