≡ Menu

Membaca Surah Al-Asr Di Akhir Majlis. Adakah Ia Sebahagian Daripada Nas Yang Sahih?

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk. Saya ada sedikit pertanyaaan berkenaan amalan membaca doa di akhir majlis. Adakah membaca tasbih kafarah beserta surah al-Asr terdapat di dalam nas?

Ringkasan Jawapan:

Amalan membaca kaffarah al-majlis atau tasbih kaffarah di akhir majlis merupakan amalan yang telah sabit serta dituntut melalui dalil hadis yang sahih. Manakala membaca surah al-‘Asr pula merupakan amalan sebahagian daripada sahabat nabi bagi tujuan memuliakan majlis dan ia seiring dengan tuntutan menjaga adab di dalam majlis.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Rasulullah, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Berkenaan dengan membaca doa di akhir majlis, doa tersebut lebih dikenali sebagai kaffarah al-Majlis merupakan amalan yang telah sabit dalam hadis. Perkara berkaitan ini  telah disebut oleh Abu Hurairah RA di dalam riwayatnya, Rasulullah SAW bersabda:

‌مَنْ ‌جَلَسَ ‌فِي ‌مَجْلِسٍ فَكَثُرَ فِيهِ لَغَطُهُ، فَقَالَ قَبْلَ أَنْ يَقُومَ مِنْ مَجْلِسِهِ ذَلِكَ: سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ، أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ

Maksudnya: “Sesiapa yang duduk dalam satu majlis lalu banyak bergurau senda dalam majlis tersebut, sebelum meninggalkan itu hendaklah dia berdoa: Maha suci Engkau ya Allah dan segala puji-pujian bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Engkau dan aku memohon ampun dan taubat kepada-Mu”.[1]

Riwayat al-Tarmizi (3433)

Manakala dalam riwayat yang lain pula, Imam al-Baihaqi menukilkan riwayat  Abu al-Barzah al-Asalmi. Riwayat berkenaan turut menyatakan hal yang sama bagi orang yang ingin meninggalkan majlis sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

)سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْك (. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ تَقُولُ كَلَامًا مَا كُنْتَ تَقُولُهُ فِيمَا خَلَا قَالَ: (هَذَا كَفَّارَةُ مَا يَكُونُ فِي الْمَجْلِسِ)

Maksudnya: “Maha suci Engkau ya Allah dan segala puji-pujian bagi-Mu. Aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan engkau dan aku memohon ampun dan bertaubat kepada-Mu. Mereka barkata: wahai Rasulullah SAW! Sesungguhnya kami mengucapkan perkataan yang diucapkan oleh Mu. Berkata Rasulullah SAW: ini adalah penutup bagi majlis”.[2]

Riwayat al-Baihaqi (259)

Manakala amalan membaca surah al-‘Asr di akhir majlis pula, didapati tiada riwayat yang khusus tentang amalan ini daripada Rasulullah SAW. Namun ia merupakan zikir yang diamalkan oleh beberapa orang sahabat RA sepertimana yang diriwayatkan oleh Abu Madinah al-Darimi:

كَانَ الرَّجُلَانِ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «إِذَا الْتَقَيَا لَمْ يَفْتَرِقَا حَتَّى يَقْرَأَ أَحَدُهُمَا عَلَى الْآخَرِ: {‌وَالْعَصْرِ ‌إِنَّ ‌الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ} [العصر: 2] ، ثُمَّ يُسَلِّمَ أَحَدُهُمَا عَلَى الْآخَرِ

BACA:  Pesta Arak dan Bala - Ustaz Syakir Nasoha

Maksudnya: “Dua orang daripada sahabat Nabi SAW apabila kedua-duanya bertemu, mereka tidak berpisah sehingga salah satu di antara keduanya membaca (‌وَالْعَصْرِ ‌إِنَّ ‌الْإِنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ) kemudian salah satu daripada keduanya memberi salam kepada yang lain”.[3]

Riwayat al-Tabrani (5124)

Oleh yang demikian, dapat difahami di sini bahawa amalan membaca surah al-‘Asr ini terdapat sandarannya tersendiri yang mana ia dilakukan oleh para sahabat RA dan amalan ini  menjadi ikutan serta ibadat yang diterima oleh masyarakat pada hari ini.

Kesimpulan:

Amalan membaca tasbih kaffarah di akhir majlis merupakan amalan yang telah sabit melalui dalil hadis yang sahih. Manakala membaca surah al-‘Asr pula merupakan amalan sebahagian daripada sahabat nabi bagi tujuan memuliakan majlis dan ia seiring dengan tuntutan menjaga adab di dalam majlis.

Wallahu A’lam.

 

Rujukan:

[1] Al-Tirmizi, Muhammad bin ‘Isa bin Surah. (1998). Sunan al-Tirmizi. Tahkik: Basyar ‘Iwad Ma’ruf. Beirut: Dar al-Gharb al-Islamiyah. Jld: 5, hlm:371.

[2] Al-Baihaqi, Ahmad bin al-Husin bin ‘Ali. (1988). Al-Adab Li al-Baihaqi. Ed 1, Lubnan: Muassasah al-Kutub al-Thaqafiyah. Hlm: 106.

[3] Al-Tabrani, al-Qasim Sulaiman bin Ahmad bin Ayub. al-Mu’jam al-Awsat. Tahkik: Tariq bin ‘Iwadhullah bin Muhammad.  Kaherah: Dar al-Haramain. Jld: 5, hlm: 215

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.