Ada satu ciapan di Twitter berbunyi, “Kat institusi zakat ni, dah makin ramai jadi asnaf selepas bersara sebab tiada pendapatan langsung atau habis simpanan.” Mengapakah situasi seperti ini boleh berlaku?
Laporan oleh Pusat Analisis Polisi Ekonomi Schwartz menyatakan hampir separuh rakyat Amerika akan bersara pada usia 65 tahun dalam keadaan miskin atau hampir miskin, iaitu dengan pendapatan kurang daripada $20 ribu setahun (sekitar $1,667 sebulan).
Antara punca yang menyebabkan situasi ini berlaku ialah simpanan persaraan yang tidak mencukupi, tidak mempunyai manfaat pelindungan takaful pada hari tua serta hilang punca pendapatan. Situasi ini menjadi lebih buruk akibat daripada pandemik Covid-19 yang menyaksikan lebih tiga juta orang rakyat Amerika mungkin terpaksa bersara awal tanpa rela (involuntary retirement). Dianggarkan kadar pengangguran di kalangan golongan berusia adalah lebih tinggi berbanding golongan muda dan kadar ini juga bergerak lebih pantas berbanding sebelum era Depresi Ekonomi dunia (Great Depression).
Situasi ini bukan perkara yang unik di Amerika sahaja. Isu penuaan, krisis persaraan dan gejala kemiskinan merupakan rantaian yang saling berkait di peringkat global. Realiti di Malaysia pada hari ini tidak jauh berbeza dengan negara-negara lain. Kajian yang pernah dilakukan oleh HSBC menggambarkan rakyat Malaysia mempunyai persepsi terlebih yakin (overconfident) berbanding realiti tidak bersedia untuk bersara. 75 peratus responden rakyat Malaysia yang menyatakan bahawa mereka yakin boleh bersara dengan selesa berasa kesal kerana tidak melakukan pelan persaraan lebih awal.
Statistik Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga menunjukkan lebih separuh pencarum KWSP yang menghampiri usia bersara mempunyai simpanan kurang daripada RM50 ribu ringgit dan wang simpanan persaraan ini biasanya habis digunakan dalam tempoh kurang daripada lima tahun. Pola demografi rakyat Malaysia juga telah berubah; terdapat hanya 5 peratus (0.5 juta) golongan tua pada tahun 1970 berbanding 10 peratus (3.4 juta) pada tahun 2020. Bantuan Orang Tua oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah meningkat daripada 11 ribu orang pada tahun 2002 (berjumlah RM17.6 juta) kepada 135 ribu orang pada tahun 2018 (berjumlah RM554 juta).
Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang lebih ketara kepada golongan bawahan; ada yang hilang pekerjaan dan ada yang terpaksa menutup perniagaan. Simpanan persaraan KWSP pula terpaksa dikeluarkan melalui program i-Lestari dan i-SINAR bagi menampung kehidupan semasa. Ibarat kais pagi makan pagi, mampu kah mereka menyediakan simpanan persaraan yang mencukupi untuk ‘makan petang’?
Adakah benar bahawa golongan kaya kalis miskin pada hari tua? Kajian menunjukkan rakyat Amerika yang mempunyai simpanan melebihi $2 juta berdepan dengan cabaran untuk mengekalkan gaya hidup dan pada masa yang sama mewariskan harta kepada anak dan cucu mereka. Tiga risiko persaraan yang dihadapi oleh kelompok ini ialah kerugian pelaburan, peningkatan inflasi dan kos rawatan penyakit kritikal.
Ini menunjukkan bahawa risiko asnaf selepas bersara dihadapi oleh semua peringkat tanpa mengira golongan berpendapatan rendah, sederhana atau kaya. Kunci kepada permasalahan ini ialah gaya hidup di luar kemampuan. Gara-gara biar papa asal bergaya, individu terjerumus ke dalam kancah hutang seperti pinjaman peribadi, kenderaan mewah dan rumah yang terpaksa ditanggung melepasi usia bersara. Malah, ada juga yang terpaksa mewariskan hutang kepada anak mereka.
Mungkin ada sebahagian yang tidak berasa bimbang untuk bersara kerana yakin memiliki anak-anak yang mampu menyalurkan rezeki serta menjaga mereka semasa tua. Kaji selidik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada tahun 2014 mendapati 9 peratus warga tua di Malaysia tinggal bersendirian, manakala 4.7 peratus menyatakan tidak pernah menerima sebarang bentuk bantuan daripada anak mereka. Hampir 30 peratus pula masih menanggung anak-anak mereka selepas usia bersara. Pengalaman penulis menziarahi rumah orang tua jelas menunjukkan ada yang rela berada di sana kerana tidak mahu menyusahkan kehidupan anak-anak yang bergelut mencari rezeki. Malah ada juga suami uzur yang telah bersara berada di sana kerana isteri mereka terpaksa bertungkus lumus bekerja bagi menampung kehidupan.
Tidak mustahil untuk lebih ramai golongan pesara dan warga emas menghabiskan saki baki usia di rumah atau kampung persaraan (retirement homes/villages). Pola masyarakat yang beralih kepada golongan menua dan tanpa waris akan menyebabkan peningkatan permintaan terhadap rumah persaraan mampu milik yang lengkap dengan kemudahan kesihatan dan penjagaan rapi warga emas. Walau bagaimana pun, gaya hidup persaraan seperti ini memerlukan bayaran untuk menampung kos penyelenggaraan dan perkhidmatan. Tanpa simpanan persaraan individu yang mencukupi, beban kewangan ini mungkin terpaksa ditanggung oleh pihak kerajaan.
Kisah seorang petugas sukarelawan yang sangat aktif di sebuah Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bagi membantu golongan miskin serta asnaf sejak lebih 30 tahun lalu boleh dijadikan iktibar. Beliau terpaksa berhenti membantu masyarakat kerana penyakit yang sedang dihadapi, selain tiada sumber pendapatan selepas bersara dan masih menanggung keperluan anak tunggalnya yang masih belajar.Menurut beliau,bantuan makanan dan wang tunai yang diterima oleh MAIN tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian dan ubat-ubatan.
Alangkah bagus jika kita mampu untuk terus menjadi penyumbang zakat selepas bersara dan bukan sebaliknya. Nabi Muhammad (SAW) pernah bersabda, “Tangan di atas adalah lebih baik daripada tangan di bawah” dan “barangsiapa berusaha untuk menjauhi daripada meminta-minta, maka Allah akan memeliharanya dan barangsiapa berusaha mencukupkan dirinya, maka Allah akan mencukupkannya” (HR Bukhari). Dengan ilmu dan perancangan persaraan yang rapi, tidak mustahil untuk kita mengelakkan diri daripada menjadi asnaf selepas bersara.