≡ Menu

Mengumpat Kini Semakin Mudah. Dalam Dunia Serba Viral Sekarang Ini, Kita Terkadang Tak Sedar Yang Kita Sebenarnya Mengumpat

6 Perkara Mendorong Seseorang Mengumpat

Sikap suka mengumpat atau menceritakan keburukan dan kelemahan orang lain dilaknat oleh Allah S.W.T. Mereka yang bersikap demikian, secara disedari atau tidak mencela dan mengaibkan orang lain yang hukumnya berdosa besar.

Firman Allah bermaksud: “Hai orang yang beriman, kalau datang kepada kamu orang jahat membawa berita, periksalah dengan saksama supaya kamu jangan sampai mencelakakan suatu kaum yang tidak diketahui, kemudian kamu menyesal di atas perbuatanmu itu.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Sabda Rasulullah S.A.W seperti yang diriwayatkan oleh Al-Thabrani daripada Abu Hurairah bermaksud: “Yang paling dikasihi Allah antara kamu ialah mereka yang baik akhlaknya, merendah diri, suka pada orang dan disukai orang. Dan yang paling dimarahi Allah ialah mereka yang membawa fitnah, mencerai beraikan di antara sesama saudara dan mencaci orang yang tidak bersalah.”

Rasulullah SAW pernah bertanya: “Adakah kamu sekalian tahu apakah itu mengumpat?.” Sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda membalas: “(Iaitu) kamu membicarakan tentang saudaramu dengan sesuatu yang dia benci.” Seseorang bertanya: “Bagaimanakah menurut tuan jika memang terdapat pada saudaraku itu seperti apa yang aku ucapkan?” Baginda menjawab: “Jika memang terdapat padanya seperti apa yang kamu ucapkan maka bererti kamu mengumpatnya. Namun, jika tidak terdapat padanya, bererti kamu memfitnahnya.” Riwayat Muslim

Pengertian mengumpat yang diberikan oleh Nabi SAW di atas, hakikatnya membabitkan semua aspek berkaitan diri seseorang individu termasuk rupa, perbuatan dan pemikiran. Adakala ia bersifat halus tanpa kita sedari perbuatan itu sebenarnya adalah termasuk mengumpat.

Imam al-Ghazali ada menyebut 6 perkara yang mendorong seseorang itu mengumpat;

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

1. Ingin memuaskan hati disebabkan kemarahan yang memuncak hingga sanggup mendedahkan keaiban dan kesalahan orang lain. Jika kemarahan tidak dapat dikawal, ia boleh menimbulkan hasad dan dendam;

2. Suka mendengar dan mengikuti perbualan orang yang menyerang peribadi dan kehormatan seseorang;

3. Mahu bersaing dan menonjolkan diri dengan menganggap orang lain bodoh dan rendah;

4. Disebabkan dengki, dia iri hati dengan orang lain yang lebih beruntung dan berjaya, seperti dinaikkan gaji dan pangkat;

5. Bergurau dan suka melawak untuk mencela dan mengatakan kelemahan dan kecacatan hingga mengaibkan orang lain; dan

6. Sikap suka mengejek dan mencela disebabkan rasa bongkak dan sombong kerana memandang rendah orang lain.

Justeru kita sebagai umat Islam seharusnya menjaga akhlah dan juga lidah kerana lidah itu lebih tajam dari sebilah pedang. Bukan hanya boleh melukai hati tetapi tajamnya boleh memutuskan silaturrahim.

Bagi mengelakkan ‘penyakit’ halus seperti ini, doa itu sepatutnya dibaca secara sembunyi tanpa didengari oleh orang lain. Walhal jika rasa resah dan dukacita kita itu benar, pastinya kita tidak ingin memalukannya dan mendedahkan keaibannya. Dikhuatiri dalam kita melahirkan rasa dukacita terhadap keaibannya, kita sebenarnya mendedahkan keaibannya itu!

Allah SWT melarang hamba-Nya daripada mengumpat dan memberikan satu perumpamaan yang cukup keras dalam firman-Nya: “Janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging saudaranya yang sudah mati? (Jika demikian keadaannya) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” Surah al-Hujurat ayat 12

Allah SWT mengumpamakan orang yang mengumpat seperti orang makan mayat saudaranya. Gambaran jijik sebegini sepatutnya sudah memadai untuk kita sentiasa berwaspada dengannya. Antara cara yang dapat menghalang diri kita daripada mengumpat ialah dengan bermuhasabah diri sendiri. Jika kita sedar diri kita juga tidaklah sempurna dan mempunyai banyak keaiban sama ada zahir mahupun batin maka begitu juga diri orang yang kita umpat.

Sebagaimana dia lemah untuk melepaskan dirinya daripada sifat buruk yang kita sandarkan kepadanya, begitu juga sebenarnya dengan diri kita. Sebagaimana kita tidak suka dimalukan dan segala aib kita disebutkan, begitu juga dengannya. Oleh itu, jika kita menutupnya maka Allah SWT akan menutup keaiban kita. Sebaliknya jika kita membukanya, Allah juga akan membuka keaiban kita di dunia. Bahkan, akan memalukan kita di hadapan khalayak umum di akhirat nanti.

Menurut Imam al-Ghazali, orang yang tidak melihat sebarang keaiban dan kekurangan pada dirinya boleh jadi adalah orang jahil paling teruk tahap kedunguannya. Sebaliknya, orang bijak akan menginsafi keaiban dan kekurangan pada diri.

Melihat dunia komunikasi moden yang semakin mencabar pada hari ini, sewajarnya hadis di atas dijadikan sebagai azimat yang wajib dipegang teguh. Ini kerana pelbagai media sosial yang ada boleh menjadi platform yang mudah digunakan untuk mengata dan mengumpat orang lain. Sedangkan ia sewajarnya dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya tanpa melanggar batas sempadan yang ditetapkan oleh agama.

 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.