≡ Menu

Menyembunyikan Kecacatan Barangan Untuk Memperdayakan Pembeli.

Soalan

Assalamualaikum, saya nak jual kereta pada seorang pembeli non muslim. Ada sedikit kerosakan dalaman pada kereta itu, adakah boleh saya senyapkan sahaja tentang kerosakan itu?

Jawapan Ringkas

Haram hukumnya bagi seorang penjual muslim menyembunyikan kecacatan barang ketika jual beli sekalipun pelanggan tersebut adalah orang bukan Islam. Ini adalah kerana akhlak yang diajarkan Islam bersifat menyeluruh dan seorang penjual muslim mesti mempraktikkannya dalam semua keadaan baik ketika bersama muslim mahupun ketika bersama orang bukan muslim.

Huraian Jawapan

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Seorang penjual wajib memberitahu kecacatan yang ada pada barangannya sekiranya dia ingin menjual barang tersebut. Ini adalah kerana perbuatan menyembunyikan kecacatan produk dengan sengaja adalah satu perbuatan yang dilarang dalam jual beli bahkan akan menghilangkan keberkatan jual beli. Perbuatan sedemikian adalah sama seperti memakan harta orang lain dengan cara yang batil. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

Surah An-Nisa’ (29)

Di samping itu, Rasulullah SAW menyatakan bahawa kejujuran akan menyebabkan suatu jual beli mendapat keberkatan. Menyembunyikan kecacatan pada produk dan menipu akan menghilangkan keberkatan tersebut. Rasulullah SAW bersabda:

الْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا، فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُورِكَ لَهُمَا فِي بَيْعِهِمَا، وَإِنْ كَتَمَا وَكَذَبَا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا

Maksudnya: Penjual dan pembeli berhak untuk khiyar (menyimpan atau memulangkan produk) selagi mereka tidak berpisah dari majlis jual beli. Sekiranya kedua-dua pihak bersikap jujur dan menyatakan kecacatan produk itu, maka jual beli mereka itu akan diberkati. Namun, sekiranya mereka menyembunyikan kecacatan dan menipu maka hilanglah keberkatan atas transaksi jual beli mereka itu.

Riwayat al-Bukhari (2079)

Selain itu, terdapat sebuah riwayat lain yang turut melarang seseorang untuk menyembunyikan dengan sengaja kecacatan yang ada pada produk. Sekiranya produk tersebut ingin dijual juga, maka kecacatan tersebut perlu dinyatakan. Rasulullah SAW bersabda:

‌الْمُسْلِمُ ‌أَخُو ‌الْمُسْلِمِ، وَلَا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ بَاعَ مِنْ أَخِيهِ بَيْعًا فِيهِ عَيْبٌ إِلَّا بَيَّنَهُ لَهُ

Maksudnya: Seorang muslim adalah saudara kepada muslim yang lain, seorang muslim dilarang untuk menjual sesuatu barang yang ada kecacatan padanya kepada saudaranya kecuali dia menyatakan tentang kecacatan itu.

Riwayat Ibn Majah (2246)

Berdasarkan hadis-hadis di atas para ulama menyatakan bahawa haram bagi seorang penjual melakukan tadlis iaitu menyembunyikan kecacatan yang ada pada produknya. Sekiranya dia ingin menjualnya juga maka dia perlu memberitahu kepada pembeli tentang kecacatan itu. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 109[1] & 116[2]/12)

Tambahan lagi, pengharaman perbuatan ini bukan sahaja tertakluk antara penjual dan pembeli muslim bahkan termasuk juga antara penjual muslim dengan pembeli bukan muslim. Ini bermaksud, sekalipun pembeli itu adalah orang bukan Islam, seorang penjual perlu menyatakan kecacatan pada produknya sekiranya dia ingin menjual produk tersebut. Sesungguhnya akhlak yang diajar Islam adalah akhlak yang universal dan menyeluruh, maka seseorang mesti mempraktikkan akhlak yang baik sama sesama muslim atau bukan muslim. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 116/12[3]al-Fiqh al-Manhaji 26/6[4])

BACA:  Kelebihan 10 Hari Terawal Zulhijjah. Rebutlah Semua Amalan Ini

Kesimpulan

Haram hukumnya bagi seorang penjual muslim menyembunyikan kecacatan barang ketika jual beli sekalipun pelanggan tersebut adalah orang bukan Islam. Ini adalah kerana akhlak yang diajarkan Islam bersifat menyeluruh dan seorang penjual muslim mesti mempraktikkannya dalam semua keadaan baik ketika bersama muslim mahupun ketika bersama orang bukan muslim.

Wallahualam.

 

Rujukan:

[1] وَمَنْ مَلَكَ عَيْنًا وَعَلِمَ بِهَا عَيْبًا لَمْ يَجُزْ أن يبيعها حتى يبين عيبها لما رَوَى عُقْبَةُ بْنُ عَامِرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ سَمِعْتُ النَّبِيَّ ” صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ ‌المسلم ‌أخو ‌المسلم فلا يحل لمسلم باع من أخيه بيعا يعلم فيه عيبا

[2] فَالتَّدْلِيسُ حَرَامٌ بِالْقَصْدِ فِي نَفْسِهِ وَالْبَيْعُ لَيْسَ حراما لذاته ولكن حرام لغيره وهو كتمان العيب

[3] وَإِطْلَاقُ الْمُصَنِّفِ رَحِمَهُ اللَّهُ وَالْأَصْحَابِ وَالشَّافِعِيِّ ‌حُرْمَةَ ‌التَّدْلِيسِ ‌وَوُجُوبَ ‌الْبَيَانِ ‌يَتَنَاوَلُ مَا إذَا كَانَ الْمُشْتَرِي مُسْلِمًا أَوْ كَافِرًا

[4] ويلحق غير المسلم به استدلالاً بعموم الحديث الذي قبله، ولأن الأخلاق في الإسلام أخلاق ذاتية إنسانية، يجب التخلق بها مع المسلم وغيره

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.