Sebelum ini kita sudah menghuraikan secara ringkas tentang kepentingan dan kerasionalan sikap hidup mengingati mati dalam kerangka besar untuk mempromosi model hidup zuhud sebagai model hidup Islam.
Dan kini bertitik tolak daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seseorang anak Adam meninggal dunia, amalannya terputus kecuali tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaat daripadanya dan anak yang soleh yang sentiasa berdoa kepadanya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Ia cukup jelas Islam mengiktiraf manfaat sebahagian daripada usaha seseorang Muslim boleh melangkau batas pemisah antara hidup dan mati. Ini adalah suatu insentif yang disediakan oleh ajaran Islam agar kalangan Muslim mengambil peluang dalam tempoh hidup di dunia bagi mendapatkan habuan berbentuk dividen dan bonus iaitu pahala berganda sekalipun mereka sudah tidak lagi mengusahakan kerja-kerja berkenaan.
Dan apa yang cukup menarik aspek kerja keduniaan yang boleh menghasilkan dividen berterusan tersebut adalah kerja yang boleh menghasilkan manfaat dalam pelbagai bidang kehidupan dunia yang sudah ditinggalkan oleh seseorang yang dulunya mengusahakan kerja-kerja berkenaan.
Tergambar jelas betapa dinamiknya ajaran Islam yang mewujudkan peruntukan bonus dan dividen berganda seperti di atas. Betapa tidaknya, sekirannya diperhatikan peruntukan sedekah jariah tersebut, maka sudah tentu kalangan Muslim yang hidup di dunia ini mestilah mempersiapkan diri dengan melakukan kerja dan usaha dalam bidang ekonomi dan perusahaan sehingga mereka berupaya muncul menajdi golongan yang berpendapatan lumayan.
Dan seterusnya, dengan itu membolehkan mereka menyumbang sedekah jariah yang bermakna dalam kehidupan bermayarakat, seumpama membina masjid, membina penempatan anak yatim, golongan gelandangan yang tidak bernasib baik dan berbagai-bagai usaha lain dalam bentuk sedekah jariah.
Kemudian dalam bidang keilmuan, maka untuk membolehkan umat Islam meninggalkan bentuk-bentuk ilmu atau juga teknologi yang boleh diambil manfaat oleh kalangan manusia yang masih hidup, mereka semasa hidup di dunia ini mestilah bersungguh-sungguh meneroka, menyelidik dan mempelajari ilmu-ilmu tertentu sehingga ke tahap boleh menghasilkan sesuatu penemuan yang boleh diambil manfaat oleh makhluk ciptaan Allah SWT seluruhnya.
Dalam konteks zaman kini yang begitu terbuka ruang penerokaan dan penyelidikan dalam pelbagai bidang ilmu dan teknologi, umat Islam yang sedar mesti mengambil peluang mempersiapkan diri menyelidik secara mendalam bagi menghasilkan sesuatu bentuk ilmu atau teknologi yang boleh membantu mewujudkan kemudahan dan keselesaan dalam kehidupan seharian, lalu ilmu atau teknologi tersebut ditinggalkan untuk kegunaan manusia sejagat setelah dia meninggal dunia. Umat Islam berkenaan akan terus mengutip dividen serta bonus berbentuk pahala.
Aspek ketiga yang dijelaskan oleh hadis di atas ialah berkaitan dengan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebajikan dan kebaikan ibu bapa mereka yang sudah meninggal dunia. Perihal ini sebenarnya berkait langsung dengan aspek pendidikan akhlak anak-anak yang perlu diberikan perhatian oleh kalangan ibu bapa sehingga berjaya melahirkan anak-anak yang baik nilai akhlak mereka.
Sesungguhnya cabaran mendidik anak-anak untuk membolehkan mereka muncul dengan personaliti unggul adalah sesuatu yang cukup sukar dalam kehidupan pada era pascamoden sekarang. Terlau banyak halangan berbentuk nilai negatif yang wujud di persekitaran kehidupan semasa, malahan kadang-kadang nilai tidak baik tersebut dibawa masuk langsung ke dalam rumah menerusi pelbagai program yang disajikan dalam peralatan telekomunikasi canggih semasa seperti TV, internet serta pelbagai bentuk media baru.
Namun, kalangan umat Islam yang menyedari keperluan mendidik anak-anak agar berakhlak mulia mestilah memberikan komitmen padu dan iltizam berterusan dalam usaha menjayakan pendidikan akhlak anak-anak.
Ternyata bahawa tiga aspek utama yang dijelaskan oleh Nabi SAW sebagai aspek-aspek tinggalan yang boleh menghasilkan manfaat kepada kalangan Muslim yang sudah meninggal dunia dengan perkara yang boleh menyediakan kekuatan dan kehebatan kepada tamadun ummah dan sekali gus pula boleh menjadikan umat Islam sebagai ummah yang disegani.
Betapa tidaknya, aspek-aspek yang perlu dijayakan semasa hidup, lalu ditinggalkan setelah mati tersebut merupakan tiga tonggak utama kepada kekuatan sesebuah tamadun iaitu: kekuatan ekonomi, penguasaan ilmu dan pendidikan akhlak.
Dalam lain perkataan, ajaran Islam telah sedia menawarkan insentif terbaik kepada umatnya supaya mereka mengambil peluang berkenaan dan sekali gus dengan itu, apabila manusia Muslim menyahut serta menerima baik tawaran berkenaan, mereka sebenarnya melaksanakan kerja-kerja bagi memperkukuhkan wibawa ummah dan tamadun mereka. Demikianlah betapa dinamiknya ajaran Islam yang direncanakan oleh Pencipta yang sememangnya Maha Megetahui laluan ke puncak bagi makhluk manusia ciptaan-Nya. Namun cukup malang sekali, dalam dunia kenyataan, jelas umat Islam memilih untuk tidak menerima tawaran keemasan yang disediakan oleh ajaran Islam tersebut.