Islam mengajar kita supaya menjadikan Al-Quran dan As-sunnah sebagai panduan dan rujukan di dalam kehidupan. Kedua rujukan ini diperturunkan sebagai wahyu dan pemutus di dalam urusan kehidupan manusia. Malangnya tak semua manusia mampu menguasai pertunjuk yang dibawa oleh kedua-duanya apatah lagi memahami isi kanduangan Al-Quran dan As-sunnah itu kecuali para ulama dan mereka yang berilmu.
Para ulama Islam membahagikan hukum syarak iaitu apa yang terhasil daripada Al-Quran dan As-sunnah sebagai “Ketetapan dari Allah ke atas perbuatan-perbuatan hamba yang mukallaf sama ada ia perlu dilakukan atau perlu ditinggalkan atau diberi pilihan untuk melakukannya atau meninggalkannya.”
Poligami ialah sebuah hukum syarak yang tidak boleh dipertikaikan.
Allah swt menyebut dengan jelas amalan poligami sebagai sesuatu yang diizinkan di dalam ayat 3 Surah An-Nisa yang bermaksud : “Maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja.” (An-Nisa : 3)
Poligami ialah sebuah hukum syarak yang wajib diimani dalam erti kata lain diterima dengan hati yang redha, yakin dan percaya kepada pembuat Syarak (Allah SWT) serta tidak mempertikaikannya dan tidak meyimpan rasa tidak berpuas hati kerana yang sedemikian itu boleh membatalkan Iman. Menolak poligami bermakna orang yang menolaknya tidak menghormati Allah SWT selaku pembuat hukum syarak dan mempertikaikannya bermakna mempertikaikan kebijaksanaan dan kekuasaan Allah SWT.
Firman Allah SWT : “Tidak ada yang memperdebatkan tentang ayat-ayat Allah, kecuali orang-orang yang kafir.” (Al-Mukmin : 4)
“(Iaitu) orang-orang yang memperdebatkan ayat-ayat Allah tanpa alasan yang sampai kepada mereka. Amat besar kemurkaan (bagi mereka) di sisi Allah dan di sisi orang-orang yang beriman. Demikianlah Allah mengunci mati hati orang yang sombong dan sewenang-wenang.” (Al-Mukmin : 35)
Menerima poligami dan meredhai-Nya tidaklah bermaksud mesti melaksanakannya serta merta langsung seketika itu jua sebaliknya diterima dan dibenarkan dengan maksud dibuat mengikut kemampuan, kelayakkan dan kemaslahatan yang ditunjuk ajar oleh syarak. Hal ini perlu difahami bahawa beriman dan menerima hukum syarak itu ialah wajib namun hukum melaksanakan kewajipan itu tertakluk pula kepada hukum yang lain mengikut situasi, masa dan keperluan seseorang yang berbeza-beza.
Seperti solat yang wajib didirikan sekalipun ianya juga tetap tertakluk kepada masuknya waktu solat sekiranya waktu untuk solat belum masuk (baik subuh, zohor, asar,maghrib, Insyak) maka solat belum menjadi wajib sebaliknya sekadar sunat. Manakala jika dibuat pada waktu yang salah dan tempat yang dilarang seperti solat di atas kubur misalnya maka hukumnya berubah menjadi haram.
Diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, An-Nasa’i dari Aisyah bahawasanya Rasulullah saw bersabda : “Allah mengutuki orang-orang Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur Nabi-Nabi, sebagai masjid.”
Diriwayatkan oleh Ahmad dari Abi Mirzad Al-Ghanawi bahawasanya Rasulullah saw bersabda : “Janganlah kamu solat kepada kubur (menghadap ke kubur) dan janganlah kamu duduk atasnya.”
Oleh yang demikian hendaklah kita memahami dengan jelas akan kedudukan sesebuah hukum syarak sebelum dilaksanakan bagi mendapat keredhaan Allah SWT dan mencapai maksud syarak.
Hukum syarak menurut para fuqaha adalah terbahagi kepada dua bahagian iaitu hukum Taklifi ( التكليفي) dan hukum Wad’ie (الوضعي) dan secara ringkas hukum taklifi bermaksud hukum yang mengandungi tuntutan untuk melaksanakannya atau meninggalkannya atau berbentuk pilihan di antara melakukan atau tidak melakukannya. Manakala Hukum wad’ie ialah hukum yang menjadikan sesuatu itu sebagai sebab, syarat, atau penghalang kepada sesuatu yang lain.
Perbahasan berkenaan hukum taklifi (hukum yang dibebankan ke atas mukallaf seperti kita semua) akan menyebabkan kita dapat menyedari bahawa di dalam Islam setiap perintah Allah SWT itu tidaklah bermakna semuanya menjadi wajib atau apa yang dilarang itu berbentuk haram yang membawa dosa sebaliknya boleh jadi ianya menjadi pilihan atau digalakkan untuk ditinggalkan tanpa dibebani perintah dan hukuman.
Hukum taklifi (perintah Allah yang dibebankan ke atas mukallaf) terbahagi kepada lima bahagian iaitu wajib, sunat, harus, haram dan makruh. Penetapan sesuatu perkara dalam syarak itu apakah wajib, harus, sunat dan haram tidaklah berlaku secara mutlak dan kekal tanpa berubah sebaliknya tertakluk kepada keadaan, masa dan keperluan sesuatu perkara itu kerana syariat Islam ini berbentuk fleksible dan anjal bagi memastikan matlamat utamanya itu tetap tercapai iaitu mengabdikan manusia kepada Allah SWT melalui jalan yang diredhai-Nya.
Oleh yang demikian, hendaklah difahami bahawa apakah Poligami itu menjadi sunat, harus, wajib, haram dan makruh juga adalah berubah-ubah mengikut situasi, masa serta keperluan seseorang. Tujuan saya menyebutkan hal di atas ialah supaya kita memahami bahawa di dalam Islam keadilan itu bukanlah semestinya sama rata sebaliknya meletakkan sesuatu pada tempatnya.
Luka dan Duka Sebelum Berpoligami
Ramai pasangan suami isteri bergaduh dan bercerai berai sebelum berlakunya poligami. Hal ini berlaku disebabkan hasrat suami untuk berpoligami tidak dapat diterima oleh isteri lalu menyebabkan rumahtangga yang dibina berpuluhan tahun atau bertahun-tahun hancur berkecai.
Hasil penelitian saya, ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan berlakunya pergaduhan dan perselisihan suami isteri kerana hasrat suami untuk berpoligami.
Rasa Dikhianati
Jika melihat kepada pihak isteri, hasrat suami untuk berpoligami akan mendapat halangan dan tentangan kerana ramai isteri merasa dikhianati oleh suami mereka. Kasih sayang selama bertahun-tahun dirasakan sia-sia dan tidak berbekas di hati suami sehingga dia mahu mencari wanita lain.
Wanita mempunyai pemikiran dan cara berfikir yang tidak sama dengan lelaki justeru itu cara penilaian wanita adalah berbeza dengan lelaki termasuk cara mereka melakukan analisis dan pertimbangan terhadap sesuatu. Mereka memandang perkahwinan sebagai sesuatu yang besar dan perlu dihormati dan padanya ada kewajipan-kewajipan yang perlu ditunaikan. Mereka tidak berkira untuk bekorban kerana perkahwinan, bekerja gigih, membuat dan melakukan apa sahaja demi perkahwinan mereka.
Apa yang dipandang oleh wanita itu ialah pada perkahwinan kepada institusi dan survival rumahtangga.
Oleh itu apabila pasangan mereka (suami) tidak melaksanakan kewajipan perkahwinan seperti memberi nafkah, gagal menunaikan hak-hak perkahwinan yang pada mereka penting maka mereka akan merasa sedih dan geram serta tidak kurang kadang kala meletup dengan kemarahan sehingga mengundang perceraian.
Lelaki tidak seperti itu, mereka tidak memandang kepada perkahwinan itu sebagai sesuatu yang besar sebaliknya mereka memandang kepada pasangan itu sendiri. Institusi perkahwinan tidak menjadi perkara pokok bagi lelaki berbanding diri dan peribadi pasangan mereka itu.
Lelaki jarang membincangkan perkahwinan mereka sebaliknya mereka lebih mudah berbicara mengenai pasangan mereka. Apa yang dipandang oleh lelaki ialah diri wanita itu, isterinya lebih penting daripada perkahwinan.
Oleh yang demikian, apabila seseorang lelaki berhasrat untuk berpoligami, maka dia berhasrat untuk memiliki seorang lagi wanita yang pada anggapannya menambah lagi cinta dan kasih serta keseronokkan serta kegembiraan di dalam hidupnya tanpa bermaksud memperendahkan apa yang sedia ada.
Sikapnya takala itu seperti seseorang yang memiliki seorang anak, kemudian berhasrat pula untuk memiliki lagi anak yang baru tanpa bermaksud memperendahkan atau merasa kurang sayang terhadap anak yang sedia ada.
Dia tetap sayang pada anak-anaknya cuma keinginan fitrahnya mahukan anak yang ramai dan lebih dari apa yang sedia ada. Justeru itu usahanya dianggap tidak salah dan dia bukannya mendera atau mahu / terniat hendak menyakitkan hati anaknya yang sedia ada cuma dia suka jika memiliki seorang lagi anak yang baru.
Manakala bagi orang perempuan, mereka berpendapat suami mereka itu seperti mahukan perkahwinan yang baru kerana perkahwinan dan kehidupan kekeluargaan yang lama dahulu tidak disukainya atau tidak membahagiakannya.
Maka lahirlah tanggapan bahawa “suaminya sudah tidak menyayanginya, suaminya sudah tidak menyayangi anak-anak, suaminya sudah tidak menyukai dan tidak menghargai perkahwinan dan kehidupan rumahtangga yang sudah dan pernah dilaluinya bersama-sama sewaktu susah dan senang.”
Wanita memandang kepada institusi perkahwinan itu yang dianggap akan dikhianati oleh sang suami melalui usahanya berpoligami.
Lelaki akan mengungkapkan bahawa mereka akan “dapat isteri yang baru.”
Wanita pula akan mengungkapkan bahawa suaminya akan “berkahwin baru.”
Tidak sama pemikiran masing-masing.
Si suami hanya membayangkan akan mendapat tubuh badan dan peribadi isteri baru tanpa wujud apa-apa perubahan besar terhadap hidupnya kerana dia adalah ketua keluarga.
Manakala si isteri pula akan membayangkan si suaminya akan memiliki rumahtangga baru yang akan dihabiskan masa dan sumber yang ada sebelum ini kepada rumahtangga baru sekaligus sumber yang ada itu terpaksa dibahagi dua atau tiga lalu menjadi sedikit dan berkurangan.
Mereka memandang bahawa suaminya itu akan memiliki sebuah rumahtangga dan kehidupan institusi perkahwinan yang lain yang menjadi saingan dan terbina di atas keruntuhan dan kelemahan institusi perkahwinan diri mereka.
Rasa tidak dihargai
Wanita kebanyakkannya merasa tidak dihargai dan dilayani dengan sewajarnya oleh suami mereka apabila sang suami meluahkan hasrat untuk berpoligami. Masakan tidak setelah berpuluhan tahun bersama sebagai suami isteri tiba-tiba suami menyatakan hasrat untuk berkahwin lagi.
Disamping perasaan dikhianati, muncul perasaan geram dan sedih apabila suami tidak menghargai jasa baik isteri yang selama ini sudah terlalu banyak bekorban dan bersusah payah demi suami.
Faktor jantina yang berfikiran berbeza kerapkali menyumbang kepada salah faham yang berterusan apabila kaum wanita memandang bahawa si suami menyukai wanita lain atau mahu berpoligami kerana lupa dan tidak mengenang jasa serta budi baik mereka.
Sedangkan kaum lelaki tidak berfikiran begitu. Semakin baik dan berjasa isterinya itu maka semakin yakin dan percayalah mereka bahawa si isteri akan dapat menerima poligami dan akan menjadi penyokong mereka.
Lelaki kerapkali menganggap wanita yang baik dan berbakti terhadap mereka akan berkongsi rasa serta memahami mereka sehingga tidak kurang yang menganggap isterinya itu adalah dirinya dan dirinya itu adalah isterinya (merasa sebahagian daripada hidupnya) lalu menganggap akan mendapat sokongan bagi berpoligami kerana si isteri akan bergembira dapat membantu dirinya.
Rupanya mereka tersilap sangka.
Wanita tidak begitu kerana kebanyakkan wanita melakukan kebaikan ialah untuk diri mereka sendiri untuk memenuhi kehendak dan tuntutan hati mereka. Kaum wanita melakukan kebaikan dan budi adalah didorong kerana mengelakkan daripada rasa bersalah, rasa takut dan rasa hal itu dapat menenteramkan hati mereka.
Ini ialah suatu hal yang berbentuk umum dan merujuk kepada ramai wanita. Mereka lebih suka melakukan kebaikan kepada suami dengan hasrat supaya dapat disayangi dan dapat memiliki hati suami mereka sekaligus boleh mendapatkan apa yang mereka hajati. Kaum wanita setelah melakukan kebaikan kepada sang suami akan merasa sedih apabila si suami tidak membalas kembali dengan memberikan apa yang mereka hajati seperti barangan atau apa pun jua.
Sekiranya mereka tidak mendapat apa yang mereka hajati, maka mereka akan berusaha cuba menenteramkan hati mereka dengan alasan bahawa hal semacam itu ialah sebuah pengorbanan untuk perkahwinan mereka agar ianya berterusan.
Namun bila suami ingin berpoligami maka segala pengorbanan itu akan menjadi sia-sia dan bertukar menjadi penderitaan yang tiada gunanya kerana akhirnya suami mereka tetap ingin berkahwin lagi.
Takut untuk menghadapi hari mendatang
Ramai orang menolak poligami khasnya kaum wanita kerana takut menghadapi hari-hari yang akan datang apabila bergelar madu atau mempunyai madu. Mereka takut menghadapi kata-kata dan cakap orang di sisi dan di sana sini yang berbisik-bisik berkenaan kelemahan diri mereka, takut dan tidak mahu orang berkata bahawa suami mereka sudah tidak menyayangi mereka dan takut untuk menghadapi cakap-cakap orang.
Allah SWT befirman menaggapi hal ini :
“Dan wanita-wanita di kota berkata: “Isteri Al Aziz menggoda pembantunya untuk menundukkan dirinya (kepadanya), sesungguhnya cintanya kepada pembantunya itu adalah sangat mendalam. Sesungguhnya kami memandangnya dalam kesesatan yang nyata.” Maka tatkala wanita itu (Zulaikha) mendengar cercaan mereka, diundangnyalah wanita-wanita itu dan disediakannya bagi mereka tempat duduk, dan diberikannya kepada masing-masing mereka sebuah pisau (untuk memotong jamuan), kemudian dia berkata (kepada Yusuf): “Keluarlah (nampakkanlah dirimu) kepada mereka.” Maka tatkala wanita-wanita itu melihatnya, mereka kagum kepada (keelokan rupa) nya, dan mereka melukai (jari) tangannya dan berkata: “Maha sempurna Allah, ini bukanlah manusia. Sesungguhnya ini tidak lain hanyalah malaikat yang mulia.” Wanita itu berkata: “Itulah dia orang yang kamu cela aku kerana (tertarik) kepadanya, dan sesungguhnya aku telah menggoda dia untuk menundukkan dirinya (kepadaku) akan tetapi dia menolak. Dan sesungguhnya jika dia tidak mentaati apa yang aku perintahkan kepadanya, nescaya dia akan dipenjarakan dan dia akan termasuk golongan orang-orang yang hina.” (Yusof : 30-32)
Kaum wanita terkenal dengan fitrahnya yang mudah mengikuti kehendak ramai orang dan hal yang semacam itu dapat terlihat oleh kita betapa merekalah yang menjadi pelanggan kepada produk-produk media massa dan mudah mengikut fesyen, iklan dan pengaruh ramai.
Ketakutan ini berpunca apabila hidup mereka selama ini dianggap bahagia dan sempurna dan mereka berbangga serta bergembira dengan status dan keadaan rumahtangga mereka serta perkahwinan mereka yang menjadi kebanggaan. Namun semuanya itu bakal berakhir dengan hasrat suami yang mahu mendirikan poligami.
Poligami dianggap seperti virus yang mengubah hidup dan kebahagiaan rumahtangga mereka, kehadiran orang baru dianggap menambah seribu satu beban dan cabaran kepada rumahtangga mereka.
Satu hal yang pelik berkenaan poligami ialah ianya menambah bukan mengurang. Ianya menambah orang baru dan bukannya mengurangkan orang seperti kematian yang mengurangkan jumlah ahli keluarga. Namun ada sesetengah wanita lebih rela mati daripada berpoligami.
Kegagalan suami untuk berkomunikasi dengan baik
Suami perlu bijak menangani komunikasi dengan isteri supaya dapat menyampaikan maksud dan hasrat dengan baik dan mendapat sokongan serta persetujuan isteri.
Dimaksudkan komunikasi yang berkesan dan baik ialah apabila suami berjaya membuatkan isteri memahami keperluan suami, menyetujui hasrat suami dan bersedia menyokong dan menanggung beban poligami bersama-sama suami di dalam menempuh kehidupan berumahtangga bersama-sama.
Bukan hanya suami berpoligami tetapi isterinya turut berpoligami bersama dengan menerima seorang madu.
Suami yang mampu berkomunikasi yang baik sebegini sangatlah jarang disebabkan itu kita sering melihat ramai orang yang berpoligami namun hanya di pihak suami sedangkan isteri-isterinya itu tidak pula bermadu sebaliknya mereka mencuka seorang diri dengan kehidupan dan anak-anak masing-masing.
Tips Merawat Luka Sebelum Berpoligami
Luka poligami dapat dielakkan sejak awal lagi jika sang suami dapat menjadi seorang suami yang mithali kepada isteri dan anak-anak. Suami yang mithali bermaksud suami yang soleh dan dapat menjadi contoh serta teladan kepada isteri dan anak-anak sehingga di dalam rumahtangga dia mampu berperanan sebagai guru, sebagai murabbi (pendidik) dan sebagai ketua keluarga yang berwibawa.
“Maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi : dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja.” (An-Nisa : 4)
Keadilan dari sudut bahasa bermaksud kebenaran atau kelurusan di dalam perbuatan tanpa ada penyelewengan (Lihat Qamus Al-Muhith hal. 1331)
Manakala daripada maksud syarak, keadilan merujuk kepada kemampuan untuk menegakkan hukum Allah SWT (Hukum Syarak) dan melaksanakannya dengan lurus tanpa ada penyelewengan sehingga terlaksana amanah dan terpenuh segala tuntutan agama.
Berkata Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, “Allah SWT mengutuskan rasul dan menurunkan kitab-Nya untuk ditegakkan kepada manusia dengan lurus (saksama) dan itulah keadilan yang dengannya tertegak bumi dan langit.”
Inilah syarat asas poligami iaitu adil yang bermaksud mampu menegakkan Al-Quran dan As-sunnah terhadap keluarga.
Al-quran dan As-sunnah itulah keadilan.
Duit bukanlah syarat utama poligami sebaliknya keilmuan dan kemampuan memimpin dan mentadbir keluarga itulah yang paling utama. Perkahwinan bukanlah ibarat membeli barangan sebaliknya ia seumpama menanam tanaman yang memerlukan kepada kemahiran, pengetahuan, kesabaran dan kesungguhan untuk memastikan tanaman mengeluarkan hasil yang lumayan sehingga boleh dinikmati buahnya.
Suami yang gagal mendidik isterinya tidak layak berpoligami
Allah SWT befirman yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari Neraka yang bahan-bahan bakarannya: Manusia dan batu (berhala); Neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (At-Tahrim : Ayat 6)
Ramai orang yang berpoligami gagal mendidik isteri-isteri mereka sedangkan tanggungjawab mereka terhadap isteri itu ialah mendidik dan menjadi pakaian yang melindungi serta ketua yang memandu isteri menuju Allah SWT.
Memberi nafkah batin dan zahir sahaja tidaklah mencukupi dan tidak akan mencapai maksud sebenar perkahwinan kerana ianya mempunyai maksud yang lebih daripada itu seperti pendidikan anak-anak, kebajikan dan agama isteri, peranan rumahtangga dan sumbangannya terhadap Islam.
Suami yang dihormati isteri, berstatus guru dan pendidik kepada isteri sahaja layak berpoligami manakala suami yang mengharapkan isteri-isterinya mencari ilmu di luar, terkial-kial mendidik dan membentuk anak-anak dan lebih teruk lagi terpaksa mengharapkan isterinya di dalam menjaga kebajikan dan maslahat anak-anak maka suami seperti ini tidak layak berpoligami.
Suami yang telah hilang kewibawaan dan sudah tawar aura kehebatannya perlu memperbaiki dirinya dan membina imej serta peribadi yang unggul terlebih dahulu di hadapan isteri untuk mendapatkan penghormatan dan kekuatan sebagai ketua keluarga.
Carilah terlebih dahulu harga diri dan kekuatan sebagai suami sebelum terjun ke dunia poligami.
Sekiranya pergaduhan telah tercetus selepas hasrat poligami diungkapkan
Pergaduhan yang tercetus di antara suami isteri kerana hasrat suami hendak berpoligami biasanya terjadi kerana si isteri tidak di dedahkan dengan hasrat poligami dan tidak diberi info dan masa yang mencukupi untuk isteri-isteri itu dapat menerima dan menghadam kenyataan tersebut.
Wanita memerlukan masa untuk apa jua.
Sang suami yang bijak pasti akan menyiapkan isterinya terlebih dahulu dengan poligami sebelum meluahkan hasrat untuk berkahwin lagi. Persiapan mentaliti dan minda si isteri seharusnya bermula sekurang-kurangnya setahun atau lebih bagi membiasakan emosi dan menguatkan ketabahan hati isteri mendepani cabaran-cabaran perasaan dan emosi seorang wanita.
Antara cara dan tips yang boleh dilakukan ialah seperti berikut :
Mendedahkan isteri dengan kuliah dan info berkenaan poligami tanpa menimbulkan syak isteri
Membawa isteri melihat keluarga yang berpoligami secara kebetulan dan tanpa menimbulkan syak isteri
Berbincang dengan isteri daripada masa ke masa berkenaan topik poligami tanpa menimbulkan syak isteri
Elakkan berdebat dan berbeza pendapat dengan isteri sewaktu berbicara berkenaan poligami sebaliknya jawab hujah isteri dan cuba mengetengahkan pendapat yang pro poligami dengan secara tidak langsung pada waktu yang berbeza.
Dekatkan isteri dengan agama dan terapkan taqwa dan tingkatkan ibadah dalam keluarga.
Pemerhatian secara umum menunjukkan poligami dapat utuh dan bertahan di dalam keluarga yang kuat beragama ini disebabkan amalan agama dan ibadah yang kukuh dapat menjadi benteng keluarga mendepani pelbagai cabaran dan krisis rumahtangga.
Matlamat Berpoligami
Ramai lelaki tersungkur di pintu gerbang poligami apabila mereka gagal menyakinkan para isteri mengapa mereka perlu berpoligami. Alasan demi alasan diberikan namun tiada satu pun yang lekat dan valid di sisi isteri untuk mengizinkan suami berpoligami.
Bahkan satu demi satu macam halangan demi halangan akan menimpa si suami untuk menyebabkan mereka akhirnya tersungkur dan gagal berpoligami sehingga lebih teruk ada yang kehilangan isteri yang sedia ada kerana kegagalan mereka memperbaiki kembali situasi dan keadaan rumahtangga mereka akibat luka oleh hasrat poligami.
Antara alasan yang paling popular dipergunakan oleh kaum lelaki ialah untuk membantu janda dan wanita-wanita yang masih membujang (andartu) dan memberikan perlindungan dan membantu kehidupan mereka.
Alasan ini sudah cukup lapuk di kalangan isteri dan mereka akan bertanya kembali dengan berkata kenapa mesti berkahwin ? Apakah tidak cukup jika dengan memberikan wang ehsan dan derma serta sedekah setiap bulan ? Kenapa awak baik sangat ? Sejak bila awak mengambil berat persoalan orang lain ? Kenapa tiba-tiba nak menjadi pembela kaum wanita dan janda ?
Sudah tentu isteri tidak boleh menerima alasan tersebut.
Seorang lelaki yang tidak pernah tahu tarikh peperiksaan sekolah anak-anak, tidak mengingati di kelas manakah anak-anaknya berada, siapakah nama guru sekolah anaknya dan dengan siapakah anaknya berkawan tiba-tiba mahu menjadi pembela kaum wanita dan janda ?
Seorang lelaki yang selama ini tidak pernah memberikan klimaks dan kepuasan kepada isterinya di atas katil, gagal memberikan nafkah dan menghargai isteri dengan membawanya makan di luar sebulan sekali kini hendak menjadi seorang dermawan dan lelaki mulia yang menyelamatkan wanita andartu dan janda ?
Siapakah yang tidak marah ?
Apa yang ada jarang disyukuri dan amanah sedia ada pun belum terpenuhi inikan pula mahu ditambah beban dan bala menambah seorang lagi isteri ?
خيركم خيركم لأهله وأنا خيركم لأهلي
Nabi SAW bersabda : “Sebaik-baik orang dikalangan kamu ialah orang yang paling baik terhadap keluarganya dan akulah yang paling baik terhadap keluargaku.” (Hadis riwayat Tirmidzi)
Beban tiada, batu digalas
Ramai orang tidak mengerti dan melihat dengan mata kasar yang dibutakan oleh nafsu di hati apabila melihat keindahan poligami dan keseronokkan mempunyai ramai isteri. Mereka terlupa bebanan dan kewajipan besar yang sarat terkandung di dalam perkahwinan tersebut dan bagaimana terbebannya seorang suami yang terpaksa mengorbankan kepentingan dirinya untuk semua isteri-isteri dan anak-anak.
Bukan persoalan gaji yang berbelas ribu dan harta yang melimpah ruah sebaliknya berkait masalah pembahagian masa, kewajipan mendidik dan keperluan untuk membentuk anak-anak dan isteri-isteri yang kini menjadi lebih genting apabila rumahtangga semakin membesar dan cabaran semakin meningkat.
Setiap hari masa tetap 24 jam dan setiap minggu bilangan hari tetap 7 hari lalu bagaimanakah seorang suami yang sebelum ini dengan waktu yang diberikan itu pun sudah termengah-mengah menguruskan anak dan isteri serta gagal menyempurnakan banyak kewajipan ditambah dengan seorang lagi isteri yang menyebabkan masa untuk setiap pasangan menjadi berkurangan.
Usaha perlu digandakan, work smart bukan work hard perlu dilaksanakan bagi memastikan masa yang optimum dapat dipergunakan bagi menunaikan segala kewajipan dan tanggungjawab.
Betulkan dahulu matlamat anda berpoligami
Matlamat berpoligami dengan tujuan untuk melayani keperluan nafsu yang ekstrim, menampung kekurangan isteri yang tidak mampu menghasilkan zuriat, menambah umat dan memperbanyakkan keturunan atau apa jua alasan yang ada pada diri yang difikirkan valid seharusnya dikaji semula dan disusun mengikut kesesuaian waktu, masa dan keadaan serta keperluan.
Lihatlah realiti dan hati lalu buatlah percaturan dan pemerhatian apakah ini masa yang sesuai untuk berpoligami ?
Apabila seorang suami memiliki kekukuhan matlamat untuk berpoligami maka sokongan isteri dan persetujuannya InsyaAllah tidak akan menjadi masalah.
Tiada isteri solehah yang akan menolak hasrat suaminya untuk berpoligami jika benar matlamat dan tujuannya.
Nabi SAW bersabda : “Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah.” (hadis riwayat Muslim)
Sumber: Ustaz Emran