SELEPAS pelbagai spekulasi, pengarah dan penerbit, Michael Ang akhirnya membuat pengakuan bahawa dia sudah memeluk agama Islam kira-kira setahun lalu.
Menurut Michael, dia berkongsi dengan masyarakat tentang perkara itu kerana enggan membiarkan masyarakat terus berteka-teki mengenai status agamanya terutama apabila dia mengunjungi masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
“Alhamdulillah, kini sudah lebih setahun saya bergelar seorang Muslim. Saya dah sedia memberitahu semua mengenai perkara ini. Sejujurnya, selama saya mendalami agama Islam, masih ada banyak perkara yang saya harus pelajari.
“Untuk saya mula tunaikan solat Jumaat, lebih baik saya berterus terang daripada ada orang melihat saya di masjid dan memperkatakan tentang perkara ini.
“Sebenarnya, kalau boleh tak nak memperbesarkan kerana ini antara saya dan Allah,” katanya secara eksklusif menerusi laman Youtube Official Ria X pada Selasa.
Sementara itu, pengarah filem Kimchi Untuk Awak ini meminta peminat mendoakan yang terbaik dan berharap penghijrahannya ini diberkati.
“Doakan sahaja saya kekal di jalan ini dan saya alu-alukan segala tunjuk ajar. Semoga kita semua menjadi yang terbaik di sisi Allah,” katanya.
Sebelum ini, pemilik nama Michael Ang Hai Swee ini dikatakan sudah memeluk agama Islam apabila memberitahu mula belajar berpuasa pada Ramadan tahun lalu.
Menerusi muat naik terbaharu di Instagram, ramai peminat meninggalkan komen mengucapkan syukur di atas penghijrahannya itu.
“Alhamdulillah, dah setahun Michael peluk Islam. semoga sentiasa dibukakan pintu rezeki.
“Alhamdulillah, kami sangat berbangga dengan kamu. Bertambah seorang lagi umat Nabi Muhammad, nanti puasa penuh ya,” komen peminat.
Sumber: mStar