≡ Menu

Minuman & Makanan Penduduk Neraka

NERAKA merupakan satu tempat bagi kesudahan yang paling buruk kepada umat manusia yang melanggar perintah dan kufur kepada Allah SWT. Namun manusia juga mengalami kesukaran untuk mentaati-Nya kerana wujudnya pelbagai ujian dan cabaran untuk melindungi diri daripada terhumban ke dalam neraka. Antara cabaran terbesar ialah syaitan yang menggoda manusia agar terpedaya dengan segala tipu dayanya mengheret manusia menjadi penghuni neraka. Ujian yang datang di dalam pelbagai bentuk, sama ada berupa satu keazaban atau kenikmatan. Di dalam menghadapi ujian ini juga, di penghujungnya manusia mempunyai dua pilihan iaitu berakhir di syurga atau neraka.

Melalui slot Mau’izati yang ke udara di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani berkongsi mengenai suasana neraka agar kita sentiasa memohon agar diri dan keluarga dilindungi daripada dihumban ke dalam neraka dan tiada manfaatnya di atas nikmat yang Allah kurniakan ketika hidup di dunia jika akhirnya menerima azab di Hari Akhirat kelak. Apabila tiba hari kebangkitan, manusia berada di dalam keadaan sangat lapar dan kehausan, lebih 70 kali ganda dahsyatnya ketika hidup di dunia dahulu. Ketika berada di Padang Mahsyar, setiap manusia menginginkan air yang berada di dalam Telaga Kauthar untuk menghilangkan kehausan dan antara jalannya agar manusia dapat minum pada waktu itu ialah dengan mengikuti sunnah Rasulullah SAW disepanjang kehidupan mereka. Walaupun dengan hanya meminum seteguk sahaja air di Telaga Kauthar itu, ia mampu menghilangkan segala kelaparan, dahaga dan kesedihan sepanjang tempoh berada di Padang Mahsyar. Namun tidak semua umat Nabi Muhammad SAW berpeluang untuk meneguk air di telaga itu, tetapi sebaliknya beroleh minuman yang disediakan di dalam neraka.

Jenis minuman pertama yang menjadi hidangan kepada penghuni neraka ialah hamim. Abdullah bin Isa al-Kharras menyebut daripada Daud, daripada Iqrimah bahawa Ibnu Abbas menyebut hamim adalah panas yang membakar, air yang masuk ke dalam kerongkong dalam keadaan panas. Air panas itu mendidih sejak Allah menciptakan langit dan bumi sehinggalah tibanya waktu ketika penghuni neraka meminumnya dan dituangkan di atas kepala mereka sehingga terlerai anggota tubuh badan mereka. Ibnu Wahab menyebut daripada Ibnu Zaid, hammim adalah air mata penghuni neraka yang terkumpul di dalamnya, dan air itu diminum oleh mereka. Syabib menuturkan daripada Iqrimah, daripada Ibnu Abbas bahawa panasnya hamim itu sehingga tidak ada lagi tahap kepanasan selepasnya kerana kepanasan sudah berada di kemuncaknya. Saat diberi minum kepada penghuni neraka ketika kemuncak kepanasannya, siap dihulurkan besi-besi pengait dimasukkan bersama ke dalam tengkuk mereka. Manusia yang diazab begini adalah di kalangan mereka yang meminum arak, memakan rasuah dan memakan makanan yang diharamkan Allah ketika hidup dahulu. Rasulullah SAW sentiasa berpesan agar jangan sesekali memasukkan sesuatu yang haram ke dalam tubuh badan kerana setiap daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka nerakalah tempat yang sesuai bagi mereka.

BACA:  Jangan Buang Uncang Teh, Ada Kegunaan Yang Kita Tak Tahu Pun Selama Ini

Jenis minuman kedua yang diberi kepada penghuni neraka ialah ghassaq. Ibnu Abbas menyebut ia adalah benda yang mengalir daripada kulit dan daging orang kafir iaitu peluh yang ditadah, lalu diberi minum kepada ahli neraka yang lainnya. Ghassaq adalah sejuk sifatnya dan apabila memasuki tubuh badan menyebabkan rasa amat sakit kepada mereka yang meminumnya. Abdullah bin Amru menyebut, ghassaq adalah nanah kental yang keluar daripada tubuh badan orang kafir, bersifat pekat dan likat. Seandainya setitis sahaja ghassaq tumpah di bahagian barat, nescaya ia akan mencemari sehingga di bahagian timur neraka. Mujahid pula berkata ghassaq adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dirasakan kerana terlalu sejuk sifatnya. Manakala Qaab berkata ia adalah ialah sumber daripada sengatan racun daripada seluruh binatang berbisa yang dikumpulkan, dan apabila datangnya anak Adam mencelupnya dengan sekali celupan, kulit dan dagingnya terlepas daripada tulang-tulangnya, ia melekat ditumit dan daging itu ditarik seperti yang dilakukan oleh seorang penarik pakaian. Saidi berkata ghassaq adalah air yang mata penghuni neraka yang diminum bersama hammim. Diriwayatkan oleh Dharraj daripada Abu Haisam kepada Said bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya satu timba daripada ghassaq ditumpahkan ke atas dunia, nescaya seluruh penghuninya akan berbau sangat busuk.” Sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Naba’, ayat 24-25: “Mereka tidak dapat merasai udara yang sejuk di dalamnya, dan tidak pula sebarang minuman – Kecuali air panas yang menggelegak, dan air nanah yang mengalir..”

Minuman ketiga bagi penghuni neraka ialah al-syadid sebagaimana disebut di dalam surah Ibrahim, ayat 17: “Ia meminumnya dengan terpaksa dan hampir-hampir tidak dapat diterima oleh tekaknya (kerana busuknya), dan ia didatangi (penderitaan) maut dari segala arah, sedang ia tidak pula mati (supaya terlepas dari azab seksa itu); dan selain dari itu, ada lagi azab seksa yang lebih berat.” Qatadah berkata al-syadid merupakan nanah yang bercampur dengan darah yang mengalir di antara daging dan kulit. Imam Ahmad dan al-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Umamah mengenai sabda Rasulullah, “Ia didekatkan kepada air nanah lalu mereka meminumnya dengan terpaksa. Apabila air nanah itu berada dekat dengan mukanya maka terbakarlah ia dan berguguranlah kulit, kepala dan rambutnya. Apabila diminum air itu menyebabkan putus ususnya hingga keluar daripada duburnya. Firman Allah di dalam surah Muhammad, ayat 15: “Sifat Syurga yang telah dijanjikan kepada orang-orang yang bertaqwa (ialah seperti berikut): ada padanya beberapa sungai dari air yang tidak berubah (rasa dan baunya), dan beberapa sungai dari susu yang tidak berubah rasanya, serta beberapa sungai dari arak yang lazat bagi orang-orang yang meminumnya, dan juga beberapa sungai dari madu yang suci bersih. Dan ada pula untuk mereka di sana segala jenis buah-buahan, serta keredaan dari Tuhan mereka. (Adakah orang-orang yang tinggal kekal di dalam Syurga yang sedemikian itu keadaannya) sama seperti orang-orang yang tinggal kekal di dalam neraka dan diberi minum dari air yang menggelegak sehingga menjadikan isi perut mereka hancur? (Sudah tentu tidak sama)!”

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Sahih Muslim daripada Jabir RA, menyebut, Rasulullah SAW bersabda, Allah telah berjanji, bagi sesiapa yang meminum satu minuman yang memabukkan yang dilarang di dalam Islam, kerana ia akan merosakkan akal dan menjatuhkan nilai dirimu lebih rendah daripada binatang. Dia akan diberi minuman di dalam neraka dengan peluh-peluh dan air-air bisa ahli neraka. Mereka yang terlibat dengan minuman memabukkan seperti arak termasuklah 10 golongan, di antaranya mereka yang menuangnya, menghidang atau membawanya, akan turut menerima azab diberi minuman tersebut di dalam neraka kelak. Di dalam neraka terdapat sungai yang dipenuhi dengan nanah bercampur darah dan berbau busuk. Penghuni neraka akan disembam ke dalamnya, dibukakan mulutnya dan dipaksa meminum air itu.

BACA:  3 Amalan Yang Menempatkan Kita Di Syurga. Amalkan Dengan Penuh Tawadhuk

Penulis: Hajah Fairuz Hj. Noordin

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 5 Januari 2017

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.