“Encik, kenapa tak habiskan lauk ni?”
“Saya risau nanti luka bernanah atau gatal-gatal.”
Masyarakat kita sememangnya kaya dengan adat serta pantang-larang yang sudah sebati dengan kehidupan seharian sejak zaman generasi terdahulu lagi. Hal ini termasuklah dalam bab pemakanan, kerana topik ini adalah sesuatu yang dipraktikkan setiap hari.
Namun, adakah semua pantang-larang yang diwarisi ini tepat? Dari sudut perubatan dan kesihatan, adakah terdapat pantang-larang yang sebenarnya akan lebih memudaratkan sekiranya diamalkan tanpa diselidik terlebih dahulu?
Antara salah satu pantang-larang yang sering menjadi buah mulut dan masih menjadi pegangan ramai ialah makanan pantang untuk penyembuhan luka. Ini termasuk luka akibat trauma, kebakaran, kemalangan, masalah kesihatan seperti diabetes, luka selepas pembedahan, atau lain-lain.
Masih terdapat segelintir masyarakat yang percaya bahawa makanan seperti ayam atau telur akan melambatkan proses penyembuhan dan menjadikan luka gatal serta bernanah. Jadi tidak hairanlah apabila terdapat sebilangan besar pesakit dengan luka di wad berasa takut untuk menjamah apatah lagi menghabiskan lauk-pauk di setiap waktu hidangan berat.
Fungsi Pemakanan dalam Penyembuhan Luka
Selain daripada penjagaan kebersihan, wound dressing, serta ubat-ubatan seperti antibiotik, pemakanan juga merupakan salah satu faktor penting dalam memastikan luka sembuh dengan lebih cepat. Antara nutrien asas yang diperlukan dalam proses penyembuhan luka ialah protein, vitamin A dan C, zat besi, zink, serta kalori secara keseluruhannya.
Kepentingan Protein
Protein termasuk dalam tiga kumpulan makronutrien utama selain karbohidrat dan lemak. Fungsi asas protein adalah untuk memastikan pertumbuhan badan dan untuk membaiki sel.
Seperti sebuah rumah yang dibina daripada batu-bata, protein pula dibina daripada blok asid amino yang lebih kecil. Asid amino digunakan oleh tubuh badan untuk membina otot dan tulang, enzim, serta hormon. Sumber protein termasuklah daripada haiwan (ikan, ayam, daging) dan tumbuh-tumbuhan (kekacang) serta susu dan hasil tenusu (keju, yogurt).
Asid amino terbahagi kepada dua kumpulan; asid amino perlu (essential amino acid) yang harus didapatkan daripada sumber makanan, dan asid amino tidak perlu (non-essential amino acid) yang boleh dihasilkan oleh tubuh badan sendiri.
MITOS
Ayam dan telur tidak boleh dimakan ketika proses penyembuhan luka kerana ia mengakibatkan gatal-gatal, nanah, serta melambatkan luka untuk sembuh.
FAKTA
Ayam dan telur adalah contoh sumber protein yang baik dalam membantu penyembuhan luka. Telur diklasifikasikan sebagai sumber protein lengkap serta kaya dengan vitamin dan mineral. Elakkan makanan ini HANYA jika anda mempunyai alahan terhadapnya.
Selamat Beramal