Foto Kredit: Harian Metro
Umat Islam perlu menghadapi musibah ini dengan sabar dan reda serta menuruti nasihat serta panduan dikeluarkan pihak berkuasa.
Kita juga dituntut bermunajat kepada Allah SWT. Ia dapat membezakan akhlak manusia dalam menghadapi musibah atau ujian.
Berbeza dengan orang beriman, mereka semakin dekat hubungannya dengan Allah SWT, manakala masa dipenuhi amalan soleh.
Amalan soleh yang dituntut ialah memastikan lidah memperbanyakkan taubat dan istighfar.
Allah SWT berfirman: “Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada antara mereka dan Allah tidak akan menyeksa mereka yang sedang mereka beristighfar (meminta ampun).” (Al-Anfal: 33)
Allah SWT mengajar kita sentiasa bertaubat dan beristighfar kerana Dia tidak akan menyeksa hamba-Nya yang sentiasa melakukannya.
Bertaubat daripada dosa sama ada besar atau kecil ialah tuntutan syarak yang tidak boleh ditangguh. Berterusan melakukan dosa kecil pula akan menyebabkan dosa besar menyusul.
Segera bertaubat walaupun melakukan dosa kecil. Hikmah memperbanyakkan taubat juga dapat membuka pintu rezeki.
Firman Allah SWT: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): “Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu; dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Nuh: 10-12)
Orang beriman juga hendaklah meyakini sesuatu yang berlaku adalah berdasarkan qada dan qadar Allah SWT.
Firman Allah SWT: “Tiada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan sedia ada dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya. Sesungguhnya mengadakan yang demikian itu mudah bagi Allah.” (Al-Hadid: 22)
Hal ini penting agar kita dapat menjauhi diri daripada sifat saling menyalahkan antara manusia, apatah kepada Allah SWT atas ujian yang menimpa diri serta keluarga.
Usah biarkan sifat ini bersarang di hati sedikit pun. Kita hendaklah sentiasa berusaha menghadapi dan melepaskan diri daripada ujian berkenaan.
Kita juga sepatutnya menguatkan lagi hubungan dengan Allah SWT. Kita perlu bermunajat kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh dan berusaha menghindarkan diri daripada berterusan melakukan maksiat.
Kita juga hendaklah terus melaksanakan amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi munkar (mencegah kemungkaran).
Selain itu, perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT sama ada dalam keadaan senang atau susah.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka Allah makbulkan permohonannya ketika dalam kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa senang.” (Hadis riwayat Tirmidzi dan al-Hakim)
Antara doa pilihan yang boleh diamalkan seperti diriwayatkan Sayidatina Ummu Salamah: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada seorang hamba ditimpa musibah kemudian dia berkata: ‘Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali (Al-Baqarah, 156). Ya Allah, berikanlah ganjaran pahala kepadaku dalam musibahku ini dan gantikanlah kepadaku apa yang lebih baik daripada itu,’ kecuali Allah akan memberi ganjaran pahala dalam musibahnya itu dan menggantikan baginya apa yang lebih baik daripada itu.”
Ummu Salamah berkata: “Ketika (suamiku) Abu Salamah meninggal dunia, aku membacakan doa sebagaimana Rasulullah menyuruhku itu, kemudian Allah menggantikan kepadaku orang lebih baik daripadanya (suamiku), iaitu Rasulullah SAW.” (HR Muslim)
Dalam menghadapi musibah, kita juga diperintahkan untuk berikhtiar kerana tidak ada penyakit yang tiada ubatnya melainkan tua dan mati.
Allah SWT menciptakan penawar bagi setiap penyakit. Rasulullah SAW memerintahkan kita untuk berikhtiar mencari penawarnya.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, diciptakan juga penawar. Maka berubatlah kamu.” (HR Imam Ahmad)
Justeru, bersama-sama kita terus bermunajat, bertaubat dengan memperbanyakkan istighfar, sentiasa menuruti nasihat serta arahan daripada pemerintah dan bersabar dalam menghadapi musibah ini.
Hindarilah persengketaan dan perbalahan sia-sia yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat. Mohonlah ampun dan berdoa kepada Allah SWT agar menghilangkan segera wabak ini.
Kelak, kita dapat melaksanakan segala syiar Islam dengan sempurna. Seberapa banyak dan besar dosa kita sekalipun, terus bertaubat memohon ampun kepada Allah SWT kerana Dialah Tuhan yang Maha Pengampun dan Maha Menerima taubat hamba-Nya.