≡ Menu

Nauzubillah, Jauhilah HambaMu Ini Dari Sifat Kedekut. Sifat Yang Tercela

Musibah yang melanda kehidupan seringkali menjadi medan ujian keimanan dan menduga kesatuan hati setiap insan. Begitulah musibah banjir yang melanda beberapa negeri di dalam negara dalam tempoh getir ketika kita masih berjuang melawan penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia. Syukur alhamdulillah, dalam situasi ini, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan latar belakang, mempamerkan sifat keprihatinan yang tinggi bersama-sama bersolidariti dengan kesukaran yang dialami.

Semenjak awal tempoh musibah tersebut melanda, tular beberapa video yang dikongsikan oleh warganet di ruang maya mengenai keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta kerabat baginda menyantuni masyarakat yang terkesan dengan musibah banjir di beberapa lokasi di dalam negara. Baginda dilihat memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda meredah kawasan yang dinaiki air, mencemar duli menziarahi pusat pemindahan mangsa banjir manakala Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut berkenan memasak makanan di pusat pemindahan mangsa banjir. Keteladanan tersebut wajar dijadikan ikutan terbaik kepada setiap warga masyarakat untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan mengikut kemampuan masing-masing.

Sabda baginda Nabi Muhammad SAW di dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Seorang Muslim ialah saudara terhadap Muslim (yang lain), dia tidak boleh menganiaya dan tidak akan dianiaya oleh orang lain. Sesiapa yang melaksanakan hajat saudaranya, maka Allah SWT akan melaksanakan hajatnya. Sesiapa yang melapangkan kesusahan seseorang Muslim, Allah akan melapangkan kesukarannya pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru dalam konteks ini, komitmen agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diteruskan dengan misi bantuan dan sumbangan kepada masyarakat yang terkesan di bawah misi Musaadah Covid-19 yang dimulakan semenjak awal tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula pada Mac tahun lalu. Inisiatif ini berasaskan prinsip bahawa kebajikan masyarakat dalam tempoh yang getir ini perlu sentiasa dijadikan keutamaan.

Di Wilayah Persekutuan, misi tersebut turut melibatkan penyertaan sukarelawan dari masjid yang turut membantu dan menghantar bantuan serta sumbangan ke negeri yang terlibat dengan banjir. Bantuan yang disampaikan ini diharapkan dapat meringankan kesusahan mangsa banjir serta menggambarkan bahawa masjid di Wilayah Persekutuan juga amat prihatin terhadap kesulitan yang dialami melalui hubungan erat dengan anak-anak kariah di negeri terlibat. Jawi Food Bank bersama masjid di Wilayah Persekutuan sentiasa cakna dan bersedia membantu berdasarkan keupayaan yang ada walaupun turut sama menghadapi kesukaran dalam tempoh pandemik ini.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Di dalam al-Quran dan hadis banyak dirakamkan mengenai kelebihan dan keutamaan menghulurkan bantuan dan meringankan kesusahan orang lain. Setiap amalan baik yang dilakukan dengan niat yang ikhlas pasti akan diganjari dengan pahala oleh Allah SWT termasuk perbuatan memberi dan bersedekah kepada sesiapa yang memerlukan. Firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa’ ayat 114 yang bermaksud: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”

BACA:  Asal Nak Buat Benda Baik, Mesti Ada Yang Menghalangnya. Ini 3 Punca Menurut Imam Al-Ghazali

Begitu besar dan banyak ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada golongan yang gemar bersedekah termasuk menghapuskan dosa dan kesalahan terdahulu dengan syarat menyesali dan menginsafi perbuatan tersebut dengan taubat nasuha. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermasud: “Demi Allah! Sesungguhnya kamu telah bertanya padaku tentang sesuatu yang besar. Sesungguhnya ia memang mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah kepadanya. Kamu menyembah Allah tanpa menyekutukan sesuatu dengan-Nya, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji di Baitullah. Kemudian Baginda bersabda lagi: Tidakkah kamu mahu aku tunjukkan pintu-pintu kebaikan? Puasa itu perisai. Sedekah memadam dosa seperti mana air memadam api.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Sedekah adalah perbuatan yang sangat disukai Allah SWT. Golongan yang bersedekah juga akan diberikan ganjaran yang berlipat ganda. Allah SWT  berfirman di dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 261 yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

Golongan yang gemar bersedekah juga adalah golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT pada hari akhirat dengan syarat dilakukan dengan ikhlas tanpa tujuan untuk menunjuk-nunjuk ataupun riak. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 271 yang bermaksud: “Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian daripada kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

BACA:  Beri Makan Kucing Liar, Tapi Jiran Jiran Tak Selesa Sebab Bau Najis

Nabi Muhammad SAW sendiri adalah contoh terbaik di dalam amalan bersedekah. Baginda seringkali memberikan makanan kepada golongan miskin. Umat Islam amat digalakkan untuk memberi sedekah dan menginfaqkan harta kepada golongan yang memerlukan serta tidak meminta-minta. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Salah seorang daripada kamu yang keluar pada waktu pagi lalu memikul kayu di atas belakangnya untuk dijual, lalu dia mengeluarkan sedekah sebahagian daripada jualan kayu dan dengan (baki wang) itu dapat mencukupkan dirinya sehingga dia tidak perlu meminta kepada orang lain, adalah lebih baik baginya daripada meminta kepada seseorang (yang tidak pasti) diberi ataupun ditolak. Demikian itu, tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Mulai dengan orang-orang yang ada dalam tanggunganmu.” (Hadis riwayat Muslim)

Amalan bersedekah dapat menyucikan hati, membuang sifat mazmumah dan terkeji di dalam diri serta menambahkan rezeki. Ia juga menghindarkan kita daripada mengutamakan keduniaan dan materialistik, menjauhkan diri daripada sikap bongkak dan sombong, terhindar daripada sifat kedekut serta melahirkan rasa syukur.

Kita tidak rugi dengan bersedekah, malah kerugian sebenar adalah bagi orang yang terlambat untuk bersedekah. Firman Allah SWT di dalam surah al-Munafiqun ayat 10 yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh.”

Walaupun kita sedang mengharungi tempoh getir, ia bukan bermaksud kita terhalang daripada menghulurkan bantuan berdasarkan kemampuan yang ada. Semua ini dilakukan berasaskan keyakinan bahawa Allah SWT akan mempermudahkan urusan hidup, melapangkan rezeki, mengurniakan kerjaya yang berkat, menganugerahkan keluarga yang sejahtera dan rakan yang sentiasa sudi membantu lantaran kecaknaan kita terhadap kesempitan insan lain.

Bagi mereka yang sedang melalui musibah ini, pertingkatkan amalan kerohanian dan ibadah jangan sesekali dilupakan. Sentiasa patuhi arahan pihak berkuasa. Kita semua mendoakan agar musibah yang melanda negara pulih segera.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.