≡ Menu

Orang Melayu Dan Penghayatan Dalam Beragama

Masalah penghayatan nilai-nilai Islam di kalangan orang-orang Melayu (yang keseluruhannya beragama Islam) sering ditimbulkan dengan penuh rasa bimbang dan gawat sekali.
Selama ini kita sering merasa bingung dan tenggelam punca apabila dibangkitkan persoalan kenapakah anak-anak muda Melayu yang banyak terlibat dalam gejala sosial dan krisis moral yang berlaku di negara kita? Kenapakah peratusan kejadian jenayah sosial dan salah laku yang melanggar nilai-nilai moral dan akhlak semakin meningkat di kalangan anak-anak Melayu mengatasi peratusan kejadian yang sama di kalangan etnik yang lain?

Persoalan ini ditimbulkan kerana jika dikaji dari segi lojiknya maka anak-anak Melayu yang beragama Islam itu sepatutnya tidak akan terlibat dengan gejala sosial dan salah laku yang bertentangan dengan ajaran agama itu.

Anak-anak Melayu yang sepatutnya menjadi contoh dan model kepada orang lain tentang penghayatan nilai-nilai moral yang baik dan komitmen kepada ajaran agama yang suci. Tetapi apa yang berlaku nampaknya adalah sebaliknya, iaitu orang-orang yang menerima ajaran yang baik dan nilai-nilai moral yang murni itu pula yang lebih banyak terlibat dalam salah laku sosial dan melakukan seribu satu maksiat dari perbuatan yang menyalahi undang-undang negara hingga kepada perbuatan serius yang melanggar hukum-hukum agama.

Persoalan pokoknya tentulah bukan persoalan keunggulan dan kemurnian ajaran agama itu, kerana sememangnya tidak dapat dinafikan sama sekali bahawa ajaran agama adalah ajaran yang amat baik, mengandungi nilai-nilai sejagat yang dapat memberi kesejahteraan kepada manusia keseluruhannya sekiranya diamalkan dengan baik.

Jadi isunya di sini ialah isu penghayatan nilai-nilai agama dan pelaksanaan ajaran agama yang menjadi asas kepercayaan dan akidah orang-orang Melayu. Apakah orang-orang Melayu benar-benar memahami agamanya sebagai satu cara hidup yang lengkap? Dan kalau difahami sistem hidup agama itu, apakah orang-orang Melayu benar-benar dapat menghayati dan melaksanakannya? Apakah kehidupan seharian dan aktiviti keseluruhannya sentiasa dipandu oleh nilai-nilai ajaran agamanya? Atau ajaran itu hanya tinggal menjadi pengetahuannya sahaja?

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Dari satu sudut yang lain dalam kegawatan ekonomi, politik dan lain-lain, nampaknya soal moral yang menjadi inti pati ajaran agama mulai timbul satu demi satu yang membuktikan pegangan longgar orang-orang Melayu terhadap nilai-nilai moral yang bertunjangkan agama.
Timbul soal usahawan dan para peniaga Melayu yang tamak haloba, tidak ikhlas, berkepentingan diri dan bersikap kebendaan melulu.

BACA:  Jadikan Al-Quran Sebagai Peneman, Insya'Allah, Pintu Hati Akan Terbuka Ke Arah Kebaikan.

Timbul soal salah guna kuasa, rasuah yang berleluasa, penipuan dan seribu satu manipulasi semata-mata untuk mengaut kekayaan.
Malah dalam kerancakan pilihan parti politik sekarang ini pun, nampaknya para pimpinan parti dari atas hingga ke bawah, seperti Presiden dan Timbalan Presiden, terpaksa bekerja keras untuk memupuk nilai-nilai moral di kalangan ahli-ahli parti supaya tidak tersalah laku dalam keghairahan merebut jawatan-jawatan yang tertentu.

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pada minggu lalu mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak memilih orang-orang yang tidak bermoral dan yang tamak menjadi pemimpin mereka. Malahan pilihan haruslah didasarkan kepada pertimbangan yang adil berpandukan kepada prinsip kebersihan dan persaingan yang sihat.

Hal ini dibangkitkan kerana dalam waktu-waktu yang terakhir ini parti politik bangsa Melayu ini pun mengalami keributan perebutan kuasa yang kadang-kadang bertukar menjadi keganasan fizikal dan penglibatan polis FRU.
Pendeknya perebutan wang, nama dan kedudukan ini sering menjadikan orang Melayu lupakan ajaran dan nilai-nilai moral agamanya.

Mursyid Am PAS sendiri pada satu ketika dulu mendedahkan bahawa dalam partinya juga terdapat orang-orang yang berjuang kerana kebendaan dan kepentingan diri. Kenyataan ini mengesahkan lagi tentang kelemahan manusia dalam menghadapi cabaran nafsu kebendaan dan kemasyhuran nama, pangkat dan sebagainya walau di mana sekali pun mereka berada.

Jadi dalam menganalisa dan memecahkan kebuntunan ini, atau dengan kata-kata yang lebih tegas, untuk menjadikan agama lebih berkesan, dan ajaran serta nilainya lebih dihayati dan dipraktikkan oleh orang-orang Melayu, maka pertama sekali haruslah dipecahkan persoalan bagaimanakah ‘agama itu boleh menjadi kuasa yang berkesan dalam memandu kehidupan seharian orang Melayu.

BACA:  [Tazkirah] Ahli Kumpulan Letto Pernah Menjadi Atheist Tetapi Rahmat Allah Lebih Luas

Hal ini merupakan satu isu yang sungguh kompleks, terutamanya dalam masyarakat moden yang menghadapi era teknologi canggih dan proses globalisasi yang serba cepat ini.
Pelajaran agama di sekolah yang senng disemak dan ditambah masanya, kelihatan agak lesu untuk memberi kesan yang baik dalam membentuk keperibadian, tingkah laku dan sikap para pelajar.
Hal ini perlu dikaji secara serius oleh pihak yang mempunyai hubungan dengan pendidikan. Apakah dalam hal ini terdapat kesilapan dari segi pengisian kurikulum, kaedah mengajar, buku teks, atau kesilapan guru dan penonjolan model guru serta penekanan pengajaran yang silap?

Para sarjana dan ulamak Islam sendiri boleh mengambil keadaan dan kelonggaran yang berlaku sebagai sebahagian dari kelemahan dan kegagalan sendiri dalam usaha membentuk masyarakat yang bermoral dan berakhlak tinggi.

Apakah aktiviti dakwah dan pendidikan yang mereka jalankan selama ini berada di landasan yang betul? Apakah agama hanya dapat dilihat dan didedahkan dari sudut hukum fiqah dan perundangan semata-mata? Apakah agama itu hanya hukum hakam dan halal haram sahaja?

Kajian harus dilakukan apakah kita sudah cukup menjalankan dakwah dan pendidikan ummah dari segi pembangunan minda dan pemikiran, peningkatan ilmu pengetahuan dan teknologi maju berasaskan nilai-nilai murni dan ajaran Islam itu sendiri? Apakah kita sudah cukup mengkaji jiwa dan pengalaman manusia umumnya untuk menerima ajaran agama kita dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab?
Saya fikir kita harus memikirkan hal ini secara serius, dan para ulamak Islam haruslah mengkaji semula agenda mereka dalam membangunkan agama sebagai wadah kehidupan orang-orang Melayu secara betul dan sistematik, merangkumi semua aspek yang penting, supaya apabila disebut “orang Melayu” maka penghayatannya adalah “Islam” dalam ertikata yang sebenarnya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.