Membazir sahabat syaitan
وَءَاتِ ذَا ٱلْقُرْبَىٰ حَقَّهُ وَٱلْمِسْكِينَ وَٱبْنَ ٱلسَّبِيلِ وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ٢٦
إِنَّ ٱلْمُبَذِّرِينَ كَانُوٓا۟ إِخْوَٰنَ ٱلشَّيَـٰطِينِ ۖ وَكَانَ ٱلشَّيْطَـٰنُ لِرَبِّهِۦ كَفُورًۭا ٢٧
Maksudnya: Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan Janganlah kamu membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
(Al-Isra’: 26-27)
Pengajaran ayat :
1. Ibnu Mas’ud mengatakan bahwa istilah tabzir (تبذر) bermaksud membelanjakan harta bukan pada jalan yang benar. Manakala Qatadah mengatakan, tabzir adalah membelanjakan harta di jalan maksiat kepada Allah, jalan yang tidak benar, serta untuk kerosakan.
2. Jangan boros dalam membelanjakan harta. Pembaziran atau pemborosan merupakan sifat yang tergolong dalam sifat berlebih-Iebihan atau melampaui batas. Sifat ini dikeji oleh Allah.
3. Rasulullah pernah menasihat sahabat yang sedang berwuduk. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash RA, beliau berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ـ صلى الله عليه وسلم ـ مَرَّ بِسَعْدٍ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ فَقَالَ ” مَا هَذَا السَّرَفُ ” . فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ ” نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini ?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf? Lalu baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”
4. Allah memerintahkan kepada orang Islam untuk menunaikan kewajibannya, iaitu memenuhi hak keluarga dekat, orang-orang miskin, dan orang-orang dalam perjalanan.
5. Pembaziran makanan banyak berlaku pada bulan Ramadan kerana mengikut hawa nafsu, sedangkan puasa itu bertujuan melatih diri untuk mengekang hawa nafsu. Eloklah rezeki yang ada dikongsi bersama mereka yang memerlukan.