≡ Menu

Pakaian & Tempat Tidur Ahli Neraka

BAHAN bakaran api neraka terdiri daripada manusia dan batu-batan, di atasnya ada malaikat yang sangat bengis dan tegas serta tidak pernah melanggar perintah Allah. Apabila disebut tentang neraka, kita juga mengharapkan agar tidak sesekali malah walau sesaat pun dihumban ke dalamnya. Allah menciptakan api untuk membakar dan memanaskan manusia kerana kedahsyatannya itu sangat menakutkan dan mengerikan. Api neraka dibakar selama seribu tahun di dalam keadaan berwarna putih, seribu tahun kemudiannya bertukar menjadi biru dan seterusnya pada seribu tahun berikutnya menjadi merah, malah kini sudah bersedia untuk menghukum dan mengazab mereka yang melawan perintah-Nya.

Apabila dihumban ke dalam neraka, manusia berada di dalam keadaan tidak berpakaian dan menurut para ulama pakaian mereka juga diperbuat daripada api. Firman Allah di dalam surah al-Hajj, ayat 19-22: “Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan tentang Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka, serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak.Yang dengannya dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka, dan juga kulit badan mereka. Dan mereka pula disediakan batang-batang besi untuk menyeksa mereka. Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: “Rasalah kamu azab seksa yang membakar!”.

Menurut perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di dalam slot Mau’izati, Al-Qurtubi menyebut api dibuat untuk menyerupai pakaian kerana ia dipakai seperti baju. Orang kafir apabila dimasukkan ke dalam neraka akan dipakaian baju daripada api yang sedang marak itu. Ibnu Abbas pula berkata, seandainya hanya satu titis sahaja hamim yang dicurahkan kepada penghuni neraka, jika jatuh ke atas dunia nescaya akan meranapkan seluruh gunung-gunung yang ada di atas muka bumi ini. Sewaktu hamim dituang di atas kepala penghuni neraka, lalu masuk menembusi tempurung kepala sehingga sampai ke tenggorokan. Apabila masuk ke dalam tengkuk mereka, maka terpotonglah segala urat-urat perutnya, terputus dan keluar melalui kaki mereka dan setelah itu kembali semula kepada keadaan asal mereka sebelum ini. Manusia yang dibakar di dalam neraka, kobarannya akan melonjakkan mereka ke atas sehingga dapat dilihat oleh ahli syurga. Ketika berada di puncak neraka, mereka dihentam oleh malaikat menggunakan cambuk besi sehingga tersungkur kembali sejauh 70 musim ke dalam dasar neraka.

BACA:  Adab Berhadapan Dengan Suami, Para Isteri Wajib Tahu!

Dua golongan yang bertengkar sebagaimana yang dimaksudkan iaitu di antara golongan mukmin dan kafir mengenai Allah, yang berlaku pada Perang Badar iaitu Ali, Hamzah dan Ubaidah yang merupakan sahabat kepada Rasulullah SAW yang menentang Syaibah bin Rabi’ah, Utbah bin Rabi’ah dan Al-Walid bin Utbah. Ketiga-tiga daripada golongan kafir ini disediakan Allah pakaian yang dibakar di dalam neraka dan merupakan balasan kepada mereka di atas apa yang telah dilakukan akibat pertengkaran tersebut, dan ia merupakan pengajaran kepada manusia yang melawan perintah Allah SWT.

Disebut oleh Said bin Jubair, pakaian yang disediakan oleh Allah di dalam neraka juga terdiri daripada tembaga cair kemerahan yang paling panas. Pada ketika mengenakan pakaian itu, disiramkan air menggelegak di atas kepala mereka menyebabkan segala isi di dalam perut menjadi hancur luluh, begitu juga dengan kulit mereka. Zaid bin Aslam menyebut, dia mendengar bahawa penduduk-penduduk neraka itu tidak bernyawa tetapi tidak pula mati. Malaikat datang dengan membawa satu bekas dengan bantuan dua alatan besi kerana terlalu panas, jika bekas itu diletakkan hampir dengan wajahnya, malaikat itu bergerak menjauhinya. Apabila bekas itu diletakkan hampir dengan wajah penghuni neraka, ia dihentam oleh malaikat di kepala mereka hingga isi otaknya berserakan. Kemudian isi di dalam bekas yang dibawa malaikat itu dituang ke dalam kepala mereka yang pecah itu lalu masuk ke dalam tubuhnya.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Pakaian penghuni neraka yang ketiga ialah daripada tar berwarna hitam dan berbau busuk. Firman Allah di dalam surah Ibrahim, ayat 49-50: “Dan engkau akan melihat orang-orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu. Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka.” Pakaian kepada penghuni neraka terdiri daripada tar kehitaman yang sangat cepat menyalakan api. Apabila seekor unta yang berkudis terkena bahan ini, maka akan terbakar segala kudisnya akibat panas dan ketajaman tar itu. Daripada Abu Malik, Rasulullah SAW menyebut, “Ada empat perkara yang menyebabkan umat aku ini dibakar dengan pakaian neraka kerana berperangai seperti jahiliah yang dikekalkan walaupun mereka tidak lagi hidup pada zaman itu. Yang pertama ialah dia berbangga-bangga dengan keturunan kerana sepatutnya mereka perlu lebih berbangga menjadi hamba Allah. Sebab kedua ialah kerana mereka suka melaknat keturunan-keturunan mereka. Ketiga kerana suka memohon hujan daripada bintang-bintang, bukan daripada Allah. Dan perlakuan jahiliah yang keempat ialah suka meratap ke atas orang yang meninggal dunia. Golongan ini sekiranya tidak bertaubat sebelum tiba kematiannya, pada Hari Akhirat kelak dia akan dibangkitkan dengan dikenakan pakaian tar yang berperisaikan kudis-kudis yang berbau busuk.” Jagalah aurat dan jangan tergolong di kalangan mereka yang mengabaikannya kerana sesungguhnya aurat yang terdedah itu akan menempah pakaian dari neraka.

BACA:  Dakwah Secara Digital, Ini Pembaharuan Dalam Islam Yang Perlu Kita Fokus

Ngerinya keadaan di dalam neraka sehingga Allah turut menyediakan selimut dan tempat tidur bagi penghuninya. Di dalam Surah al-A’raaf, ayat 40-41, Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka tidak akan masuk Syurga sehingga unta masuk di lubang jarum dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan. Disediakan untuk mereka hamparan-hamparan dari api neraka, dan di atas mereka lapisan-lapisan penutup (dari api neraka) dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim (disebabkan keingkarannya).” Apa yang dilihat oleh penghuni neraka sebagai selimut itu hanyalah api yang bergulung-gulung kerana di dalam neraka tidak ada waktu untuk tidur. Allah menjadikan pembalasan yang begini untuk menakut-nakutkan manusia yang lalai dan leka kepada peringatan yang mengajak mereka untuk taat kepada perintah Allah ketika hidup di dunia dahulu.

Penulis: Hajah Fairuz Hj. Noordin

Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 12 Januari 2017

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.us/hantar-artikel.